Thursday, 14 August 2014

Rangsang Anak Minat Membaca

"Anak saya sudah 7 tahun tapi masih belum pandai membaca". Antara SMS yang saya terima daripada seorang ibu yang prihatin dengan perkembangan anak mereka. Ianya bermula selepas saya berkongsi bagaimana saya mengajar anak sulung saya dahulu membaca di hujung usia 6 tahun di blog ini.

Tujuan saya tiada lain ketika itu hanyalah mahu berkongsi bahawa dengan kesungguhan, semuanya tidak mustahil. Mengambil masa sepenuhnya semasa cuti sekolah hujung tahun 2011 mengajar anak yang akan memasuki sekolah rendah membaca. Jangan malu dan rasa tertekan sekiranya mengalami situasi serupa, dengan pelbagai bahan bantu yang ada di pasaran sekarang. Tinggal lagi mahu dengan tidak mahu.

Antara kesilapan yang pernah saya lakukan dalam mendidik anak, tidak menghiraukan perkembangan anak dan hanya menyerahkan tanggungjawab tersebut bulat-bulat kepada guru di tadika.

Apabila menerima aduan daripada ramai ibu di luar sana, saya tahu bahawa saya tidak berseorangan ketika itu. Saya pegang pada kata-kata, tiada istilah lewat apabila kita mahu mulakan. Just do it!

Saya kagum dengan ibu yang prihatin, meluangkan masa mengajar anak-anak di rumah apabila ada waktu terluang. Salah satu tanggungjawab yang mesti dipikul oleh ibu dan bapa adalah memberikan pendidikan awal. Mengajar anak membaca adalah sebahagian kecil daripada tugasan mendidik yang lebih besar seperti mengajar anak mengenal Allah dan Rasul, solat, membaca al-Quran, akhlak dan adab.


Mengajar anak membaca juga berlaku secara tidak langsung
Saya selalu sarankan kepada ibu-ibu yang bertanya supaya biasakan membaca buku di depan anak-anak. Jadikan membaca buku cerita kepada mereka satu rutin. Anak yang didedahkan dengan buku sejak kecil lebih gemar membaca dan mudah membaca. Mulakan dari bayi dengan memperkenalkan buku yang sesuai seperti buku jenis kain.


Perpustakaan mini di rumah
Sediakan ruangan buku-buku di rumah. Kajian menunjukkan, rumah yang memiliki sekurang-kurangnya 20 buah buku ilmiah, menghasilkan anak-anak yang mempunyai kecenderungan bagi memasuki universiti. Pembacaan yang dimulakan di rumah adalah titik awal menimbulkan minat sukakan buku dan ilmu di kalangan anak-anak.

Hari tanpa TV
Gantikan hari tanpa TV di rumah dengan aktiviti membaca. Secara tidak langsung menggalakkan minat membaca serta mengurangkan minat menonton.

Kurangkan penggunaan Internet
Mengurangkan penggunaan Internet juga membantu anak gemar membaca. Penggunaan Internet perlu diawasi supaya anak tidak mengakses laman yang tidak sepatutnya. Hadkan masa anak-anak bagi tujuan ini.

Lawati perpustakaan awam berdekatan
Sesekali bawa anak ke perpustakaan awam. Terdapat banyak pilihan buku yang sesuai untuk anak-anak. Luangkan masa sebulan sekali menghabiskan masa dan melakukan aktiviti di sana.

InsyaaAllah sedikit usaha kita mampu mengubah persepsi anak-anak tentang buku dan ilmu.

Teks oleh Wan Rohani


No comments:

Post a Comment