Thursday 13 October 2016

Belajar Dari Orang Lain

7 hari selepas kelahiran anak kelima, kami ke klinik pakar kanak-kanak untuk membuat pemeriksaan ke atas bayi.


Semasa menunggu giliran dipanggil berjumpa doktor, kelihatan satu keluarga, ibu bersama dua anak. Seorang anak lelaki dan perempuan lingkungan usia 10 dan 8 tahun.

Anak lelaki tersebut berjalan ke sana ke sini. Adakala menumbuk dinding klinik, menghentakkan kaki. Sesekali dia bersama adiknya bermain di dalam kiub kecil yang dikhaskan untuk kanak-kanak kecil.

Setiap kali anak itu berlari atau melompat, setiap kali itu juga ibunya menjeling, memanggil dan menarik tangan anaknya. Barangkali tidak mahu anaknya mengganggu orang lain yang berada di situ. Apabila anaknya berlari beliau bertegas dengan berkata,"Walk, just walk"

Saya teringat kepada kisah Redha yang pernah saya tonton. Filem berkaitan kanak-kanak autistik yang sukar difahami perbuatan dan tingkah laku oleh orang luar. Episod ketika mereka membawa anak keluar makan masih saya ingat. Satu keluarga yang juga makan di situ mengatakan anak mereka biadab, tidak sopan. Sedih.

Seperti melihat seekor itik berenang, kelihatan sangat tenang di atas permukaan air. Ada orang yang mungkin memandang serong melihat ibu yang tidak henti mendiamkan anak. Ada yang meihat ibu itu garang dan sangat tegas dengan anak sendiri.

Setiap dari kita punya cerita berbeza. Orang lain hanya melihat luaran seperti melihat seekor itik yang kelihatan tenang berenang di atas permukaan air. Hakikatnya di dalam air, kaki itik berkayuh laju.

Cabaran, ujian dan dugaan yang dihadapi tiada siapa yang tahu. Simpati dengan ibu bapa yang tabah punya anak istimewa. Bukan mudah.

Kita yang melihat jangan mudah menilai dan memberi hukuman. Hidup ini begitulah. Tuhan berikan ujian berbeza mengikut kemampuan hambaNya.

Apabila melihat sesuatu yang tidak kena, berdoa untuk kebaikan bukan menyalahkan.


Tinta Wan Anie
Masih belajar menjadi ibu yang baik