Tuesday 27 October 2015

Konsep Tauhid Melalui Story Telling

Perbualan semalam bersama anak lelaki 6 tahun selepas beliau membuat latihan dikir barat yang akan dipersembahkan di Festivel Sastera Kanak-Kanak esok 29 Oktober 2015.

Umar: Ibu, sembah berhajat itu apa?

Ibu: Emm, Umar agak-agak apa?

Umar: Entahlah. Sembah berhala tu Umar tahulah maksudnya sembah patung. Mana boleh kita sembah berhala kan ibu?

Ibu: Betul. Kenapa pula kita hendak sembah patung yang dicipta sendiri oleh manusia.

Umar: Orang yang sembah berhala tu ingat patung itu Tuhan. Tuhanlah yang cipta kita, mana ada manusia cipta Tuhan.

Ibu: Betul, betul, betul.

-----------------------------------------------------------------------

Cerita sembahan berhala banyak dicatatkan di dalam kisah-kisah Nabi. Golongan penyembah berhala sukar meninggalkan amalan nenek moyang mereka.

Saya teringat kepada kisah Nabi Ibrahim berdialog dengan kaum beliau.



Di manakah Tuhan?

Apabila melihat bintang bersinar di waktu malam. Inikah Tuhan?
Namun bintang hilang apabila siang menjelang.

Apabila melihat matahari galak memancarkan sinar. Inikah Tuhan?
Namun matahari hilang cahaya apabila senja berlabuh.

Lalu di manakah Tuhan?

Kisah Nabi Ibrahim bersama kad cerita kami masukkan ke dalam Modul Huffaz Cilik yang pertama. Anak-anak belajar konsep ketuhanan dengan cara mudah dengan penceritaan menggunakan Kad Cerita Bergambar saiz A3.



Thursday 15 October 2015

Tips Komunikasi Berpengaruh Anak-Anak


Tips Komunikasi Berpengaruh Anak-Anak
(sambungan)

+ Apabila anak memberitahu sesuatu, jangan menduga-duga perbuatannya. Biarkan mereka beritahu sehingga habis. Lihat dan dengar apa yang zahir sahaja.

+ Jangan melabel anak-anak.
   "Isk kakak ini macam nenek, pot pet pot pet."
   "Itulah kamu suka sangat berbohong."

+ Apabila anak menceritakan tentang perbuatan baik yang dilakukan, puji perbuatan itu.

+ Apabila melarang anak melakukan sesuatu, beritahu apa yang mereka tidak boleh buat dan apa yang boleh mereka buat.

Jadi ibubapa berpengaruh, bukan menyuruh-nyuruh.

#NotaParenting

http://wanrohaniismail.blogspot.my/

Wednesday 14 October 2015

Tips Komunikasi Berpengaruh Anak-Anak


Tips Komunikasi Berpengaruh Anak-Anak

+ Apabila anak menceritakan tentang sesuatu, dengar dan angguk-anggukkan kepala atau berkata ya, ya walaupun apa yang diceritakan itu ada keraguan.

+ Apabila anak bertanya atau mahu berikan respons, gunakan perkataan yang baik. Bahasa positif.

+ Jangan sebut atau ungkit perbuatan buruk yang pernah anak lakukan untuk dijadikan pengajaran. Padam rekod lama.

+ Dengar anak bercakap sehingga habis, jangan mencelah. Tunggu giliran bercakap. Ini mengajar anak supaya mendengar apabila orang bercakap dan tunggu giliran untuk bercakap.

Bersambung...

#NotaParenting

Wednesday 7 October 2015

Mendorong Anak-anak Menggunakan Nama Gaya Nabi Muhammad


Mendorong Anak-anak Menggunakan Nama Gaya Nabi Muhammad.

Nama kita merupakan 'label' bagi kita. Nama kita menunjukkan siapa diri kita. 

Orang kafir Quraisy telah menghantar Suhail bin Amr untuk berunding dengan Nabi Muhammad dalam peristiwa Perjanjian Hudaibiyyah. Suhail bermaksud mudah. Nabi Muhammad memuji Suhail dengan berkata, "“Sungguh beliau meMUDAHkan urusan saudara semua. Setiap kali orang-orang Quraisy mahukan rundingan, mereka pasti menghantar orang ini.” Rekod Sahih al-Bukhari.

Nabi Muhammad juga memuji nama individu tersebut serta nama tempat dan kabilahnya. 

Sebagai contoh, Buraidah adalah salah seorang sahabat Nabi Muhammad. Buraidah bermaksud dingin dan sejuk. Sewaktu berjumpa Nabi Muhammad, beliau memberitahu Nabi Muhammad bahawa namanya adalah Buraidah. Nabi Muhammad berkata kepada Abu Bakar, “Urusan kita akan dingin.” Yakni tenang dan nyaman. 

Nabi Muhammad bertanya, “Saudara dari mana?” Buraidah menjawab, “Dari Aslam.” Aslam bermaksud selamat. Nabi Muhammad berkata kepada Abu Bakar, “Kita akan selamat.” Nabi bertanya lagi, “Dari kumpulan mana?” Buraidah menjawab, “Sahm.” Sahm bermaksud panah. Nabi Muhammad berkata, “Panah saudara akan meluncur keluar.” – Rekod al-Syamail fi al-Nabiy al-Mukhtar oleh al-Husin bin Mas’ud al-Baghawi al-Syafie (m. 515H)

Teknik :
Katakanlah anak kita bernama Aqil. Dia berumur 5 tahun. Aqil bermaksud pintar, bijak cerdik. Dialog boleh dilakukan seperti berikut :
Ibu : Siapa yang bernama Aqil?
Aqil : Saya!
Ibu : Aqil bermaksud bijak. Ibu mendoakan Aqil BIJAK memilih kawan. Pilih kawan-kawan yang suka menolong orang lain.
Aqil : Baik ibu!

Tukar skrip setiap hari dan beritahu maksud namanya memandangkan namanya adalah dalam Bahasa Arab, sehingga anak itu sudah biasa dengan maksud namanya. Apabila dia sudah tahu maksud namanya, ia akan menjadi 'label' bagi dirinya. Teknik ini juga sesuai untuk guru-guru pra sekolah dan sekolah rendah.


Tuesday 6 October 2015

Memberitahu Anak-Anak Tentang Adab Meminta Izin


Sumber Google
Ibu: Mahukah anak-anak ibu belajar tentang adab-adab yang disebutkan di dalam Quran?

Anak: Nak, nak. Adab apa ibu?

Ibu: Adab yang pertama: Larangan masuk ke bilik ibu dalam 3 waktu kecuali dengan izin.
Ada 3 waktu, anak-anak tidak boleh masuk ke dalam bilik ibu dan abah kecuali dengan izin

Anak: Waktu apa ibu?

Ibu: Waktu pertama sebelum Subuh
Kedua waktu tengahari
Ketiga selepas Isyak

Apabila hendak masuk, perlu minta izin dengan memberi salam.

Begini caranya, "Assalamualaikum, boleh saya masuk?" Selepas diberi keizinan barulah masuk.

Anak: Kenapa begitu ibu?

Ibu: Itu adalah arahan yang telah ditentukan oleh Allah. Ada disebutkan di dalam Surah An-Nur: Ayat 58. Surah ini di ayat pertama, Allah sebutkan bahawa ini adalah surah yang Allah turunkan dan wajibkan hukumnya supaya manusia beringat.

Sebelum subuh - mungkin ibu dan abah belum lagi bangun.
Tengahari - waktu panas, waktu mandi dan menukar pakaian
Selepas Isyak - waktu tidur

Anak: Oh begitu.

Ibu: Adab yang kedua. Apabila kita ke rumah orang. Beri salam 3 kali sahaja. Sebaiknya tempoh masa salam yang pertama dengan salam kedua seperti solat 4 rakaat (sekitar 5 minit). Tuan rumah mungkin sedang solat atau dalam bilik air.

Anak: Lamanya...

Ibu: Ya itu adabnya, sekiranya kita tidak mahu menunggu atau tiada jawapan atau disuruh pulang, maka kembali lah kita.

Anak: Ketuk pun kena 3 kali ke ibu?

Ibu: Sebaiknya begitu. Semakin tinggi penghormataan ke atas seseorang, semakin perlahan ketukan. Contohnya ketuk dengan 1 jari atau kuku sahaja.

Anak: (praktis ketuk dengan 1 jari dan kuku) Oh tak boleh ketuk kuat-kuat.

Ibu: Ya. Semasa memberi salam. Kita dilarang menghadap pintu, bimbang terlihat aurat penghuni rumah atau sesuatu yang tidak sepatutnya.

Anak: Jadi kena berdiri macam mana?

Ibu: Mengiring ke kanan atau ke kiri.

Ibu: Oh, ada satu lagi. Apabila orang bertanya, "Siapa ini?" Maka hendaklah kita jawab dan sebutkan nama, "Saya Umar" atau "Saya Aiesyah"

Anak: Itulah, ini bila orang tanya, malu-malu.

Anak: Dia pun sama.

Ibu: Dah cukup untuk kali ini. Lain kali kita sambung adab yang lain pula.


Apabila anak mendengar dan menekuni apa yang ibu beritahu, seperti mendengar ibu bercerita.


Rujukan utama adalah Kitab Tarbiyatul Aulad Fil Islam - Abdullah Nasih Ulwan