Sunday 27 December 2015

Kanak-Kanak Belajar Daripada Pengalaman Sendiri

Kanak-Kanak Belajar Daripada Pengalaman Sendiri

Anak-anak mudah belajar apabila mengalami sendiri perkara tersebut.


Sebagai contoh:
1. Anak melihat gambar gajah
2. Anak melihat replika gajah
3. Anak melihat gajah

Dalam 3 situasi ini, pengalaman yang mana membuatkan anak-anak lebih faham dan tahu tentang gajah?


Gajah adalah haiwan yang selalu disebut atau haiwan yang mudah dilihat di dalam buku kanak-kanak terutama buku mengenal haiwan atau buku perkataan pertama saya. Malah gajah juga adalah haiwan yang ada disebutkan di dalam Quran di dalam Surah Al-Fiil.

Anak-anak lazimnya tahu tentang gajah, rupa gajah, gajah ada belalai, telinga gajah besar. Namun sekiranya anak tidak melihat sendiri mereka tidak dapat membayangkan sebesar mana gajah tersebut.

Beberapa bulan lepas, kami sempat singgah di Pusat Intervensi Gajah di Temerloh. Apabila melihat sendiri gajah secara live (hands on experience) anak-anak lebih tahu detail tentang gajah. Semasa di sana, kami membiarkan sahaja anak-anak memerhati dan bercakap sesama mereka.

Apabila pulang, anak-anak mula melukis haiwan tersebut. Kali ini lukisan mereka lebih detail. Siap dengan bulu-bulu di badan gajah, makanan yang gajah makan serta bilangan anak kaki gajah (yang bulat seperti jari/kuku). Sehinggakan kami sendiri terkejut dengan pemerhatian detail anak-anak.

Jujurnya saya sendiri tidak tahu bilangan anak kaki gajah walaupun sudah berusia lebih 30-an ini.

Sekarang baru saya faham kenapa pengalaman sebenar itu lebih bermakna kepada kanak-kanak.