Friday 3 November 2017

Pujian Membina Keyakinan Diri Anak


Cara paling mudah untuk menaikkan keyakinan (self-estim) anak-anak adalah dengan pujian.

Walaupun anak cuma melakukan perkara kecil.

Pujian adalah alat paling ampuh untuk digunakan sebagai ganjaran positif bagi tingkah laku baik anak-anak.

Apabila adik jatuh semasa bermain, abang datang bantu adik. Sambil menenangkan adik, abang menepuk kuat badan adik membuang pasir halus yang melekat.

Perhatikan gelagat dua beradik itu, kemudian ayah datang menghampiri abang sambil memegang bahu abang, ayah berkata:

"Ayah lihat abang bantu adik tadi, itu adalah perbuatan yang mulia. Ayah bangga mempunyai anak yang suka menolong. Allah mengasihi orang yang mengasihi orang lain."


Tips memberi pujian:
1. Pujian mesti diberikan segera
2. Pujian diberikan secara terbuka
3. Pujian khusus kepada perkara yang dilakukan
4. Tutup mata pada kesilapan (tepuk adik dengan kuat)

#NotaParenting


Saturday 7 October 2017

Usahawan Bermula Dari Usia Kecil

Hari usahawan sekolah merupakan platform yang bagus untuk memperkenalkan anak pelajar dengan asas bisnes. 

Pada hari ini, setiap kelas ada gerai jualan sendiri. 

Guru bersama pelajar akan tentukan kelas mereka akan jual apa. Katakan sandwich. 

Berapa banyak yang hendak dijual? 

Apa bahan mentah yang kita perlukan? 

Berapa kos yang diperlukan sebagai modal awal? 

Berapa harga sandwich yang kita akan jual? 

Anak ada maklumkan bahawa gerai yang mendapat kupon paling banyak menjadi juara. 

Kupon terbanyak itu maksudnya apa? 

Jualan tertinggi. 

Dunia usahawan bukanlah hanya jualan yang paling banyak. 

Kita lihat gerai mana yang mendapat perhatian pelanggan dari sudut khidmat pelanggan, gerai mana yang punya usp tersendiri. 

Tahun lepas ada pelajar yang memakai apron datang ke meja ibu bapa yang sedang duduk berbual dan menikmati makanan, mereka menunjukkan barang jualan dan mula buat promosi. Inisiatif yang bagus. Lain daripada gerai-gerai yang lain. 

Selepas selesai sesi, lihat berapa jualan yang diperoleh. Dari jumlah itu tolak semua perbelanjaan, lihat untung atau rugi. 

Jualan -  perbelanjaan = Untung / Rugi

Kita percaya sekiranya setiap tahun anak pelajar didedahkan dengan perkara ini, kefahaman dan minat mereka terhadap bisnes akan tertanam. Boleh dicungkil bakat bisnes yang ada pada sesetengah pelajar. 

Ada pelajar yang pandai khidmat pelanggan, ramai yang suka beli dengan dia. 

Ada pelajar yang cekap menyusun atur ruang dan menyediakan bahan. 

Ada pula yang bijak mengira sesuai di bahagian kaunter. 

Akan datang, kita boleh sediakan platform yang sesuai sepanjang tahun untuk usahawan cilik mengembangkan bakat mereka. Bukan hanya di hari usahawan sekolah sahaja. Melalui media sosial, blog dan bahan penulisan atau hari usahawan cilik setiap negeri. 

Beberapa tahun akan datang anak remaja dan anak muda lebih memonopoli bidang ini mengikut arus zaman. Orang lama dan veteran menjadi mentor dan guru sahaja. 

Usahawan bermula dari usia kecil. 

Wan Anie

Bermula online ke offline kembali online. 

Tuesday 1 August 2017

Menerangkan Apa Yang Perlu Dilakukan, Bukan Hanya Melarang

Anak 3 tahun sedang memberus muka adiknya 11 bulan dengan berus cat. Adiknya tidak selesa dan mula menangis. Si abang nampaknya semakin ralit dengan aktiviti seninya itu. 

Apakah respon kita apabila melihat situasi ini?

Menepis tangan abang. 
Memarahi abang dengan berkata, "Jangan buat adik!" 

Bagi anak ini, dia bukan sedang buat adik atau buli, dia cuma mahu bermain dan berekspesimen dengan benda baru yang dijumpai. 

Pada awalnya, saya melarang dengan berkata, jangan buat begitu! 

Jadi apa yang anak boleh buat? 

Kemudian, saya berkata dengan nada yang sedikit kuat sambil menunjukkan cara mengecat untuk menarik perhatian.

"Ini berus. Berus ini gunanya untuk cat almari."

"Ini berus. Berus untuk cat dinding, cat basikal."

Saya sambung lagi selepas melihat anak mula melihat gerakan saya sambil menunjukkan cara memberus.

Kemudian, anak mula senyum dan mengulang apa yang saya katakan.

"Oh... Cat almari warna hitam. Cat basikal warna merah."

 Nampaknya dia sudah mula memberi respon. Bermakna dia mula faham apa yang disampaikan. 

Terus Ammar ke almari sambil menggerakkan berus di situ. Kemudian, dia pergi pula kepada bekas berisi anak patung dan melakukan perkara yang sama.

Lega.

Ini adalah teknik yang betul untuk menerangkan kepada anak apa yang boleh dilakukan. Serta menunjukkan cara yang betul untuk menggunakan alat mainan.

Tuesday 13 June 2017

Bentuk Sikap Anak Dari Kecil

Ibu sakit pinggang. 

Anak itu memegang berus pencuci longkang sambil berkata, "Mari Ammar buat" 

Kemudian dia menggerakkan berus itu ke kiri dan kanan. Usianya baru mencecah 3 tahun. Sebelum itu sudah dicabut rumput di sekitar longkang. 

Hampir dua jam kami berenam mengerjakan longkang yang berlumut dan berlumpur. 

Boleh sahaja upah orang datang bersihkan, namun kami lebih suka bergotong-royong anak beranak. Biasanya apabila melakukan kerja begitu semua orang akan turun padang. 

Waktu begini kami dapat perhatikan sikap dan tingkah laku setiap anak.

+ Ada yang mulanya bersungguh kemudian mengelat.

+ Ada yang bersemangat dari awal sampai akhir. 

+ Ada pula yang akan buat bila berduet, mesti ada orang yang teman. Hai, macam ini pun ada! 

Sikap boleh dilatih sejak anak kecil melalui kerja-kerja begini. Ini antara perkara yang akan membentuk ciri-ciri apabila mereka dewasa kelak. 

Sekiranya mereka bekerja, bersungguh dalam menjalankan kerja. Jika bekerja sendiri tidak mudah putus asa. Apabila berbisnes buat sampai jadi. 

Tuesday 9 May 2017

Selamat Datang Ramadan Kareem

18 hari sahaja lagi Ramadan akan bersama kita.Kedatangannya dinanti, kehilangannya dirindui, InshaaAllah. 

Saya doa kita semua terutama Tuan/Puan yang membaca nota ini sempat bertemu dengan Ramadan kali ini.


Tahun ini dua minggu pertama puasa adalah cuti sekolah.


Sudah tentu ibubapa sudah mula merancang apakah yang mahu dilakukan semasa anak-anak cuti nanti.


Ini antara yang boleh kita lakukan di rumah supaya anak-anak menggunakan masa agar Ramadan lebih bermakna.

+ Membuat hiasan Ramadan Karim sebagai menyambut kedatangan bulan mulia yang dinanti.
+ Pergi ke majlis ilmu yang berkaitan.
+ Ceritakan kepada anak-anak tentang kelebihan Ramadan Mulia
+ Ajak anak untuk belajar tentang bentuk dan fasa bulan
+ Bawa anak merasai kemeriahan iftar dan Tarawih di masjid
+ Berikan ganjaran walaupun anak hanya belajar puasa separuh hari
+ Membaca dan bertadarus Al-Quran bersama
+ Sediakan buku skrap atau jurnal sebagai catatan pengalaman mereka.
+ Kongsi cerita menarik yang berlaku di zaman Rasulullah SAW semasa Ramadan
+ Jalankan Projek Infaq Ramadan bersama anak-anak. Infaq berupa kerja kebajikan, duit atau makanan.
+ Raikan kemeriahan Ramadan dengan sebarkan kebaikan dan sedekah sebanyaknya. Ini boleh dilakukan dengan menulis kad ucapan dan berikan sebagai hadiah.
+ Lakukan aktiviti setiap hari Ramadan di masa terluang atau semasa menunggu waktu berbuka.
Diharapkan Ramadan tahun ini memberi lebih makna.



Tinta Wan Anie Mencari makna hidup.

Thursday 23 February 2017

Tips tangani anak bercakap kasar


Berkata kasar adalah tingkah laku negatif.

Ini antara tips yang boleh dijadikan panduan apabila anak bercakap kasar.

Tips 1: Hanya beri perhatian dan respons pada tingkah laku yang baik/positif.

Tips 2: Sekiranya anak berkata kasar ketika sedang marah, biarkan sahaja dahulu. Menasihati orang yang sedang marah ibarat mencurah air ke daun keladi.

Tips 3: Gunakan waktu anak dalam keadaan seronok, gebira, tenang. Waktu begini anak mudah dipengaruhi.

Tips 4: Ikut apa yang Rasulullah (selawatlah ke atas baginda). Sentiasa mebalas kebaikan walaupun dilempar dengan keburukan. Cerita bagaimana Rasulullah memberi makan wanita tua yang selalu bercakap buruk dan kasar tentang Nabi.

Tips 5: Dalam Quran, antara perkataan yang banyak kali diulang adalah 'muhsinin' iaitu orang yang membuat kebaikan. Allah mengasihi orang yang berbuat kebaikan. Ganjaran pahala dan syurga. Sentiasa ingatkan anak dan diri sendiri.

Tips 6: Awasi kata-kata yang keluar daripada mulut ibubapa. Jangan jadi seperti ketam yang mengajar anak berjalan lurus.

Tips 7: Sentiasa mendoakan kebaikan untuk anak. Antara doa yang boleh diamalkan adalah:

"Ya Allah, jauhkan kebatilan yang ada di sekeliling anakku (sebutkan nama anak)"

"Ya Allah, lindungi dan pelihara kami dari hasutan syaitan yang sentiasa menyesatkan."


Tips 8: Didik anak supaya sentiasa membuat penilaian sendiri ke atas setiap perbuatan, kata-kata dan apa yang mereka mahu lakukan. Ini berkaitan kawalan diri dan emosi.

Orang yang tenang sentiasa menang.