Wednesday 24 February 2016

Memuji Anak Tidak Perlu Melambung Tinggi, Asalkan Melekat Di Sanubari

Seawal jam 5.30 pagi anak-anak telah bangun, mandi dan bersiap. Apabila azan Subuh berkumandang, anakanda berdua telah bersedia untuk mengikuti ayah mereka ke masjid.

Apabila mereka kembali ke rumah, ibu mereka bertanya;

"Apakah yang menyebabkan anakanda berdua bangun awal dan solat di masjid pagi ini?"

Hampir serentak, anak-anak menjawab, "Kami mahu 27 pahala"

Mendengar itu, ibunya terus berkata, "(Subhanallah) Maha Suci Allah yang telah memberi hidayah kepada anakanda berdua membuatkan ayah dan ibunya redha."

Anakanda berdua itu keluar dari rumah menuju ke sekolah dengan wajah berseri-seri.

----------------------------------------------------------------------------

Ini adalah salah satu contoh skrip memuji yang boleh digunakan apabila anak-anak melakukan perintah Allah tanpa disuruh. Mereka terdorong melakukannya dengan dorongan dalam diri mereka sendiri (intrinsik).

Pujian tidak perlu melambung tinggi asalkan melekat di sanubari.


Thursday 18 February 2016

Biar Conteng Muqaddam Asalkan Berhasil

Conteng Muqaddam

Anak-anak belajar dengan pelbagai cara. Jadi jangan terhad dengan satu kaedah sahaja.

Ada anak yang suka mendengar dan mengikut sahaja bacaan (auditori)
Ada anak yang suka melihat objek lain semasa belajar mengaji. Ini cara mereka belajar dengan lebih cepat (visual)
Ada anak yang suka menggerakkan tangan dan badan semasa mengaji (kinestetik)

Raikan sahaja stail pembelajaran anak-anak syurga ini. Selain menggunakan muqaddam dan kad imbas, boleh gunakan poster yang dibuat sendiri daripada kad manila untuk pengukuhan bacaan, pembelajaran secara berpusat (beramai-ramai) sambil menggerakkan tangan. 

Selain itu untuk anak-anak jenis visual boleh juga minta mereka lukis di muqaddam masing-masing menggunakan krayon.

Saya pernah buat begini dengan seorang anak mengaji yang susah hendak mengingat bunyi pada awalnya. Sebagai contoh bunyi 'KA' kami kaitkan dengan kaki. Bentuk seperti L hampir sama. Setiap kali ada anak ini melihat 'KA' dia akan melihat kaki dan sebutkan kaki 'KA'

Tidak perlu menggunakan alat bantu dan kaedah mengajar yang mahal. Apabila anak-anak dapat mengaji dengan baik, itulah yang paling mahal.