Friday 29 August 2014

Bukan Susah Pun Hendak Buat Baik

Bunyi macam pelik sikit entri kali ni. Ceritanya begini, semalam saya keluar dengan anak-anak mencari sarapan. Kebanyakan gerai jualan pagi sudah tutup dan sudah habis makanan. Maklum sahaja jam sudah hampir jam 10 pagi. Kami berhenti di sebuah gerai, hanya nasi lemak biasa sahaja yang ada. Saya minta 3 nasi lemak bungkus.

Semasa kakak peniaga membungkuskan nasi lemak saya, datang seorang lelaki dari kedai bertentangan. Beliau mahu 2 bungkus nasi lemak. Kakak peniaga kata, "Sekejap saya bungkuskan yang ini dahulu nanti tengok masih cukup atau tidak". Selesai 3 bungkus saya, kakak peniaga beritahu lelaki tadi, tidak cukup untuk bungkusan seterusnya.

"Satu pun tak dapat ke kak?" Tanya lelaki tadi seperti mengharap. "Tak cukup lah dik" jawap kakak peniaga.

Saya berasa simpati dan mahu saja berkata, ambil sahaja 1 bungkus saya punya. Tapi entah kenapa suara tersekat di kerongkong. Saya lihat sahaja lelaki tadi berlalu pergi sambil melintas jalan.

Kakak peniaga membungkuskan semua nasi lemak dan telur yang ada untuk habiskan semua barang jualan beliau. Semakin banyak nasi yang perlu kami habiskan, gesa hati saya.

Dalam kereta, sambil memandu saya berfikir. Kenapa susah sangat mahu tawarkan satu bungkus nasi lemak. Sampai sahaja di rumah, saya dan anak-anak makan nasi lemak bersama. Sebelum itu, saya gorengkan segenggam ikan bilis untuk tambah selera. Nasi lemak sekarang tiada ikan bilis walau puas dikuis satu pun tidak berjumpa.

Oleh kerana nasi tambah yang kakak peniaga tadi letak, nasi masih berbaki dan kami semua sudah kekenyangan. Saya berasa sungguh menyesal. Bukan susahpun hendak buat baik!

Wednesday 27 August 2014

Apabila Anak Bertanya Tentang Kisah Ajaib

Bismillah

Suatu petang Umar datang dan menyapa ibu.

Umar: Ibu, Frozen tu tipu

Ibu: Betul. Tipu. Mana Umar tahu?

Umar: Abah cakap. Ultraman pun tipu. Boboiboy pun tipu. Manusia mana ada kuasa. Allah sahaja yang ada kuasa.

Ibu: Betul, betul, betul.

Umar: Ibu, Allah ada kuasa halilintar ke?

Ibu: Ada! Kuasa petir halilintar. Allah yang buat tu. Semua orang takut, syaitan pun takut.

Umar: Ooo..

Ibu: Kenapa agaknya manusia buat cerita begitu? Cerita yang menunjukkan manusia ada kuasa.

Umar: Tak tahu

Ibu: Cerita adalah dari khayalan manusia sendiri.

Umar: Khayalan tu apa?

Ibu: Khayalan itu adalah imaginasi daripada otak manusia. Hebatkan otak manusia yang Allah ciptakan, boleh imaginasi macam-macam. Imaginasi boleh tapi percaya tidak boleh.

Umar: Habis, apa yang kita boleh percaya?

Ibu: Kita hanya boleh percaya hanya Allah yang berkuasa atas tiap-tiap sesuatu. Kita juga percaya perkara pelik-pelik hanya yang diceritakan Allah dalam Al-Quran yang disampaikan oleh Rasulullah.

Umar: Apadia?

Ibu: Kisah Nabi Musa dengan tongkat sakti. Umar pernah dengar?

Umar: Tak pernah. Ibu, ceritalah..

Ibu: Sebenarnya bukan tongkat yang berkuasa, tetapi dengan izin Allah tongkat Nabi Musa boleh bertukar menjadi ular yang besar dan boleh membelah laut.

Umar: Ibu, cerita lagi

Ibu: Baik, nanti selepas mandi, solat dan mengaji Quran ibu ceritakan. Cerita ini ada dalam al-Quran Surah Taha.

Gambar koleksi sendiri

Nampaknya anak-anak tidak sabar untuk mendengar kisah dari al-Quran ini. Seusai sahaja mengaji terus minta ibu cerita.

InsyaaAllah, berjumpa lagi.

(Berbeza sedikit dengan skrip perbualan yang asal untuk melazatkan bahasa. Namun cerita dan pesanan yang ingin disampaikan serupa, InsyaaAllah)

Tuesday 26 August 2014

Ibu, Kenapa Kita Kena Mandi?

Baru semalam saya ada ceritakan tentang menyuruh anak mandi. Lewat petang semalam, hampir jam 7 petang, anak-anak masih lagi belum mandi. Tuala sudah ada di bahu tapi macam biasa akan ambil sedikit masa untuk masuk ke dalam bilik air.


Seusai ibu mandikan baby Ammar, Aiesyah datang dan bertanya, "Ibu, kenapa kita kena mandi?"

Soalan yang baik memang kena pada tempatnya. Otak saya berlegar mencari jawapan yang paling sesuai sambil menyusukan Ammar.

"Allah itu cantik dan Allah sukakan kecantikan." Kata saya memulakan hujah.

"Seseorang yang tidak mandi, cantik atau comot?"

"Comot!" Jawab Aiesyah pantas.

"Betul! Bila seseorang mandi, sabun wangi, gosok gigi, pakai baju yang cantik, sikat rambut, pakai tudung, cantik tak?" Tanya ibu lagi menguji.

"Mestilah cantik" Jawab Aiesyah.

"Sebab itu kita kena mandi sekurang-kurangnya dua kali sehari untuk menjaga kebersihan dan memastikan diri kita sentiasa cantik dan kemas." Sambung ibu sambil tersenyum.

"Oh, begitu"

Dalam kepala ibu terlupa mahu highlight kan tentang kebersihan. Boleh ibu kaitkan dengan hadis kebersihan sebahagian daripada iman yang pernah Aiesyah belajar di Pasti dulu. Tidak mengapa, asalkan Aiesyah berpuashati dengan jawapan ringkas ibu. InsyaaAllah lain masa boleh kaitkan dengan isu kebersihan pula apabila minta anak-anak kemaskan bilik. Ting! Idea.



Monday 25 August 2014

Memahami Anak

Sebagai ibu, ada masa saya rasa seperti orang asing dengan anak sendiri. Biasanya perasaan ini muncul apabila saya bercakap atau menyuruh sesuatu, anak buat tidak tahu. Sekarang baru saya faham perasaan ibu saya apabila saya tidak laksanakan apa yang ibu saya minta.

Ada masa bila saya minta sesuatu, anak-anak menjawab dan memberi alasan mereka sendiri. Petang semalam, selesai menyusukan baby Ammar, saya minta Aiesyah bawakan kerusi baby untuk saya letak dan tidurkan baby. "Boleh tak ibu bawa baby ke sini dan letakkan baby di tempat kerusi baby berada" jawab Aiesyah.

Memang betul pun apa yang Aiesyah katakan, adakala saya sebagai ibu perlu bijak apabila meminta sesuatu dari anak-anak. Mereka juga tidak suka disuruh-suruh. Bila saya fikirkan semula, banyak sangatkah permintaan saya kepada anak-anak?

Setiap hari saya perlu ulang banyak kali perkara yang sama, suruh anak-anak mandi, kemas bilik, kemas barang mainan yang bersepah, suruh mengaji dan macam-macam lagi. Sehingga saya sendiri rasa jemu dan akhirnya saya buat tidak tahu sahaja. Anak-anak sebenarnya buat apa yang saya minta tapi tidak ditunaikan serta merta. 


Anak-anak bukan robot, niat saya untuk mendisiplinkan mereka. Namun ada masa perlu juga ada tolak ansur. Apabila menyuruh sesuatu, saya mahu result segera. Sedangkan mereka juga ada pilihan sendiri. 


Apabila anak meminta sesuatu, berikan syarat

Ini bukanlah solusi terbaik, namun ia berkesan serta merta. Contohnya bila anak-anak minta untuk pasangkan sesuatu cerita, ibu minta mereka solat terlebih dahulu. On the spot anak-anak akan buat. Jangan biasa dengan amalan bersyarat ini, sesekali tidak mengapa.


Terangkan kepada anak, bukan memarahi

Sabar adalah satu sifat yang perlu dipupuk dan dibaja. Sebagai ibu seringkali sifat sabar tercabar. Belajar untuk bertenang, ambil nafas panjang, hembus sambil istighfar dan selawat. Marah adalah tindakan spontan, bila ditahan, InsyaaAllah boleh dikawal. Terangkan kepada anak kenapa perlu mereka buat itu dan ini. Lama-kelamaan anak akan memahami.


Mendekati jangan menjauhi

Ada anak yang meluahkan emosi dengan mengamuk dan menangis apabila permintaannya tidak dipenuhi. Dua hari lepas Umar mengamuk apabila tidak dapat barang yang dia mahu berebut dengan kakaknya Aiesyah. Saya yang berada di dalam bilik air ketika itu mendengar bunyi pintu bilik air diketuk dan ditendang dengan kuat. Mula-mula saya mahu biarkan sahaja dia begitu sehingga amarahnya reda sendiri. Namun tidak sampai hati menjauhkan diri daripada anak yang perlukan 'seseorang' untuk diluahkan perasaan kecewa. 

Saya keluar dari bilik air dan memegang bahu Umar, bertanya kepadanya bagaimana ibu boleh tolong. Umar masih menangis dan beritahu dia mahu 'barang itu'. Saya tenangkan dia dengan memeluk sekuat hati. Anak yang meronta sukar dipeluk. Bila tangisannya reda, saya pujuk untuk mandikan dia. Usai mandi dia sudah ceria seperti biasa.

Cukup setakat ini dahulu, InsyaaAllah lain masa kita berjumpa lagi.

Puasa Syawwal 1435H

Teks: Wan Rohani

Isnin 25 Ogos 2014 bersamaan 29 Syawwal 1435H.

Alhamdulillah selesai 6 hari puasa di bulan Syawwal, masih berbaki lagi 17 hari. Perlahan kayuh mulakan dari awal. Tidak mahu lagi berlengah-lengah menggantikan puasa yang wajib. Tahun lepas belum habis Syawwal sudah selesai puasa qada', tahun ini memang tidak mampu untuk habiskan bulan ini.

Esok adalah hari terakhir Syawwal. Ambil peluang berpuasa 6 hari di bulan ini kerana besar pahalanya. Berpuasa sebulan di bulan Ramadhan dan 6 hari di bulan Syawwal seperti berpuasa setahun.

Walaupun Ammar Hafiz belum lagi 3 bulan dan menyusu badan sepenuhnya, bukan alasan untuk menangguhkan puasa ganti. InsyaaAllah boleh, 2 atau 3 hari seminggu secara santai. Hari ini bangun terlewat sedikit, sedar lagi 5 minit azan Subuh. Tidak sempat bersahur. Saya perlu ambil kurma dan makan sedikit nasi semasa sahur untuk tenaga sepanjang hari. InsyaaAllah bekalan susu untuk Ammar mencukupi.


Friday 22 August 2014

Doa Apabila Menghadapi Musibah/Kehilangan

Bismillah
Alhamdulillah

Wahai Allah Yang Maha Pengasih
Wahai Allah Yang Maha Penyayang
Wahai Allah Yang Maha Pengampun

Terima kasih memberikan kami kasih sayang yang tidak terhitung. Bantulah kami untuk memberikannya kepada mereka yang sedih, sakit dan kesunyian. Berikanlah mereka kekuatan untuk terus hidup dan beriman kepadaMu. Wahai Allah yang menerima taubat, ampuni kami.

Semalam 22 Ogos 2014 adalah hari negara menerima kepulangan mangsa tragedi #MH17. Seluruh rakyat Malaysia bersedih di atas apa yang telah menimpa mangsa tragedi. Sekalung takziah untuk keluarga mangsa, moga Allah beri kekuatan kepada mereka. Menerima berita kehilangan bukanlah sesuatu yang mudah. Namun barangsiapa yang redha dengan ketentuan Tuhan, akan diampuni dosa dan ditambah phala berganda, InsyaaAllah.

Ibu kongsikan di sini satu doa yang elok diamalkan apabila ditimpa musibah atau kehilangan sesuatu termasuk orang yang kita sayang.
Sesungguhnya kita adalah kepunyaan Allah dan sesungguhnya kepadanya kita dikembalikan. Wahai Allah berilah pahala atas musibah ini dan gantikanlah dengan yang lebih baik daripadanya. (Hadis Riwayat Muslim)
Dari Ummi Salamah isteri Rasulullah (selawat ke atas baginda) berkata bahawa aku mendengar Nabi bersabda; Tidaklah seorang hamba yang mengalami musibah lalu mengucapkan doa ini melainkan Allah memberinya pahala atas musibah itu dan menggantinya dengan yang lebih baik.

Ummi Salamah berkata ketika bekas suamiku meninggal, aku mengamalkan doa itu. Masa itu aku tidak dapat fikirkan orang yang lebih baik dari Abu Salamah. Sehinggalah aku dikurniakan suami yang lebih baik iaitu Nabi Muhammad (selawat Allah kepada baginda).

Hanya Allah dan Rasul yang lebih tahu.

Thursday 21 August 2014

Bisnes Online

Apakah idea bisnes yang boleh dijalankan di rumah?
- Bisnes online (menjual produk secara fizikal atau dropship)
- Perkhidmatan seperti menjahit baju, langsir, cadar, sarung bantal, selimat dan sebagainya
- Membuat dan menjual kek, cupcakes, tempahan untuk majlis dan keraian
- Catering, masakan berat dan minuman petang, kuih-muih dan sebagainya

Ini antara bisnes yang boleh dijalankan di rumah, sekiranya tiada kemahiran maka bisnes online (jual produk) menjadi kelaziman ramai ibu-ibu yang memulakan perniagaan di rumah.

Apakah yang diperlukan untuk memulakan perniagaan online di rumah?
- Laptop dan kemudahan internet
- Akaun bank yang boleh menggunakan Internet Banking
- Email akaun dan no tel bimbit

Untuk permulaan hanya itu sahaja yang diperlukan, bagaimana untuk mulakan?
Buka akaun fb, cari kenalan baru, sertai group yang berkaitan
Cari peluang memulakan perniagaan secara dropship (biasanya tidak ada sebarang modal diperlukan)
Pilih barangan yang kita suka/minat untuk pasarkan.

Buka FB Page khas untuk produk tersebut
Buat 1 blog untuk produk tersebut

Pasarkan produk dengan memberikan maklumat yang jelas dan lengkap
- Nyatakan tentang produk, kelebihan kepada pengguna, bagaimana untuk pembeli, no akaun, no tel dan alamat email untuk dihubungi.

Bergabung bersama kami lebih 800 blog di Akademi Bekerja Di Rumah. Saya boleh ajarkan bagaimana caranya. Bina blog dan buat Fanpage di facebook. Hubungi saya di FB Wan Anie atau wassap 013-2821450.

Tuesday 19 August 2014

Merancang Jadual Bekerja Dari Rumah


Teks: Wan Rohani

Bekerja dari rumah kedengaran seperti mudah tapi tidak sebagaimana anggapan segelintir ibu-ibu yang mahu mendapatkan 'title' WAHM. WAHM adalah singkatan bagi Working At Home Mom.

Bekerja di rumah jauh beza dengan bekerja di pejabat. Perkara pertama yang saya notis adalah susahnya mahu fokus apabila bekerja di rumah. Suasana berbeza dengan dikelilingi anak-anak dan keselesaan di rumah sendiri.



Mahukah ibu-ibu saya berikan sedikit tips dan panduan untuk merancang jadual kerja di rumah.

1. Mulakan hari di awal pagi. Waktu pagi adalah waktu yang paling saya suka. Tenang, nyaman, sunyi. Tiada gangguan anak-anak. Bersihkan diri, bersendirian dengan Allah. Solat sunat, mengaji al-Quran atau berzikir.

2. Tuliskan perkara yang perlu diselesaikan dari yang paling penting sehingga kurang penting.

3. Selesaikan urusan anak-anak terlebih dahulu terutama melibatkan anak kecil. Susukan dahulu, salin lampin, sediakan makanan dan lain-lain. Jangan sampai anak minta berkali-kali atau menangis, ini akan mengganggu kerja, kadangkala mengganggu emosi.

4. Kerja rumah dan masak dilakukan waktu awal pagi atau waktu senggang.

5. Masak dengan kuantiti banyak supaya ibu tidak kerap ke dapur. 

6. Lakukan kerja seperti basuh baju, kemas dapur dan sapu lantai sebelum tidur. Waktu pagi lebih indah bila rumah teratur dan dapur kemas.

7. Sediakan ruangan masa untuk berehat atau tidur sekejap di waktu tengahari sebelum Zohor. Lebih mudah ibu bangun awal pagi.

8. Me Time. Tidak semestinya bersendirian. Bergantung kepada individu, ada yang gemar habiskan masa di spa, ada yang gemar habiskan masa dengan rakan. 

9. Pastikan ada masa berkualiti dengan anak. Jangan hanya membiarkan anak-anak bermain sendirian.

10. Seronok dengan perancangan dan jadual yang dibuat. Boleh tukar dan ubah ikut kesesuaian dan keselesaan sendiri.

Sekiranya ibu-ibu ada perancangan untuk bekerja sendiri atau menjadi suri di rumah sambil jana pendapatan, saya cadangkan baca Buku Jana RM Dari Rumah tulisan Puan Masayu Ahmad. Banyak panduan dan tips diberikan. Juga dijual dalam bentuk E-Book Jana Wang Dari Rumah.

Sehingga berjumpa lagi.


Sunday 17 August 2014

Memarahi VS Menerangkan

Anak kecil ditimang-timang, dipeluk dan dicium hampir setiap saat. Lihat sahaja muka bayi, mahu sahaja dipeluk cium. Hilang semua tekanan dan masalah apabila dapat peluk dan cium ahli syurga ini.

Apabila anak semakin besar, 4-5 tahun usianya sudah semakin lincah, pandai meneroka sekeliling. Bedak dijadikan salji, air dilantai dijadikan permainan meluncur. Apabila memegang pen, pensil mula melakar dan menghasilkan karya seni di kertas dan dinding rumah. Mencampurkan semua bahan yang ada di dapur untuk resepi rekaan terbaru dan dimasukkan dalam peti ais untuk lihat hasilnya.

Ini cuma sebahagian kecil penerokaan dan kaji selidik anak-anak. Semakin membesar semakin mencabar. ada sahaja perkara yang mereka lakukan. Pada mereka ianya satu keseronokan tapi kenapa dimarah pula?

Kasihan anak-anak yang semakin membesar. Hampir setiap perkara baru yang mereka lakukan dimarahi ibu. Peluk cium ibubapa semakin berkurangan. Apa puncanya?

Apakah ibu dan ayah sudah tidak sayangkan saya? Sudah tentu tidak. Tetapi kenapa saya selalu dimarahi? Apabila bermain dengan adik, adik ambil barang saya, saya yang kena marah. Adik tumpahkan air, saya yang kena lap. Ani sepahkan mainan, saya yang kena kemas.


Mungkin inilah antara keluhan anak-anak yang semakin membesar. Adakala tindakan ibubapa menyebabkan anak berfikir begitu. Setiap perkara yang ditegur perlu diberi penerangan kenapa tidak boleh. Anak-anak akan lebih memahami setiap situasi. Namun bukan sekali dua, anak-anak perlu diterangkan berkali-kali tentang sesuatu perkara untuk mengingatkan mereka.

Memarahi anak adalah perkara yang biasa bagi segelintir ibubapa, namun jangan sampai mencederakan emosi anak-anak. Ini memberi impak tindakan anak-anak apabila berhadapan situasi sama. Ia boleh terbawa-bawa sehingga anak dewasa sekiranya tidak diubah. 

Saya teringat pada satu hadis yang dipelajari semasa kursus mendorong pelajar menggunakan Teknik Nabi.
Anas bin Malek melaporkan, pada satu masa dia dan orang-orang lelaki lain sedang berada di dalam masjid bersama-sama Nabi Muhammad. Tiba-tiba masuklah seorang lelaki Arab dari kampung ke dalam masjid, lalu lelaki itu berdiri dan membuang air kecil.
Melihat kejadian itu, sahabat-sahabat Nabi yang ada di situ terus mengherdik lelaku tersebut. Sebaliknya Nabi Muhammad berkata,"Jangan buat dia terhenti kencingnya. Biarkan sahaja" Lalu semua yang ada membiarkan sahaja orang kampung itu menghabiskan kencingnya.
Selepas itu Nabi Muhammad memanggil lelaki itu dan berkata kepadanya, "Sesungguhnya di dalam masjid ini tidak boleh kencing atau membuang sedikit pun kotoran, sebaliknya hanya boleh berzikir mengingati Allah, bersembahyang, dan membaca Quran". Kemudian Nabi Muhammad menyuruh salah seorang yang ada pergi mengambil air setimba, lalu disirami kencing itu.
Hadis no 186 dalam kitab ringkasan Sahih Muslim. 

Sudah ada idea bagaimana untuk menerangkan kepada anak-anak apabila membawa mereka ke masjid?


Thursday 14 August 2014

Rangsang Anak Minat Membaca

"Anak saya sudah 7 tahun tapi masih belum pandai membaca". Antara SMS yang saya terima daripada seorang ibu yang prihatin dengan perkembangan anak mereka. Ianya bermula selepas saya berkongsi bagaimana saya mengajar anak sulung saya dahulu membaca di hujung usia 6 tahun di blog ini.

Tujuan saya tiada lain ketika itu hanyalah mahu berkongsi bahawa dengan kesungguhan, semuanya tidak mustahil. Mengambil masa sepenuhnya semasa cuti sekolah hujung tahun 2011 mengajar anak yang akan memasuki sekolah rendah membaca. Jangan malu dan rasa tertekan sekiranya mengalami situasi serupa, dengan pelbagai bahan bantu yang ada di pasaran sekarang. Tinggal lagi mahu dengan tidak mahu.

Antara kesilapan yang pernah saya lakukan dalam mendidik anak, tidak menghiraukan perkembangan anak dan hanya menyerahkan tanggungjawab tersebut bulat-bulat kepada guru di tadika.

Apabila menerima aduan daripada ramai ibu di luar sana, saya tahu bahawa saya tidak berseorangan ketika itu. Saya pegang pada kata-kata, tiada istilah lewat apabila kita mahu mulakan. Just do it!

Saya kagum dengan ibu yang prihatin, meluangkan masa mengajar anak-anak di rumah apabila ada waktu terluang. Salah satu tanggungjawab yang mesti dipikul oleh ibu dan bapa adalah memberikan pendidikan awal. Mengajar anak membaca adalah sebahagian kecil daripada tugasan mendidik yang lebih besar seperti mengajar anak mengenal Allah dan Rasul, solat, membaca al-Quran, akhlak dan adab.


Mengajar anak membaca juga berlaku secara tidak langsung
Saya selalu sarankan kepada ibu-ibu yang bertanya supaya biasakan membaca buku di depan anak-anak. Jadikan membaca buku cerita kepada mereka satu rutin. Anak yang didedahkan dengan buku sejak kecil lebih gemar membaca dan mudah membaca. Mulakan dari bayi dengan memperkenalkan buku yang sesuai seperti buku jenis kain.


Perpustakaan mini di rumah
Sediakan ruangan buku-buku di rumah. Kajian menunjukkan, rumah yang memiliki sekurang-kurangnya 20 buah buku ilmiah, menghasilkan anak-anak yang mempunyai kecenderungan bagi memasuki universiti. Pembacaan yang dimulakan di rumah adalah titik awal menimbulkan minat sukakan buku dan ilmu di kalangan anak-anak.

Hari tanpa TV
Gantikan hari tanpa TV di rumah dengan aktiviti membaca. Secara tidak langsung menggalakkan minat membaca serta mengurangkan minat menonton.

Kurangkan penggunaan Internet
Mengurangkan penggunaan Internet juga membantu anak gemar membaca. Penggunaan Internet perlu diawasi supaya anak tidak mengakses laman yang tidak sepatutnya. Hadkan masa anak-anak bagi tujuan ini.

Lawati perpustakaan awam berdekatan
Sesekali bawa anak ke perpustakaan awam. Terdapat banyak pilihan buku yang sesuai untuk anak-anak. Luangkan masa sebulan sekali menghabiskan masa dan melakukan aktiviti di sana.

InsyaaAllah sedikit usaha kita mampu mengubah persepsi anak-anak tentang buku dan ilmu.

Teks oleh Wan Rohani


Belajar Daripada Kehidupan


Saya ingin kongsikan satu puisi yang ditulis oleh Dorothy Law Nolte, Children Learn What They Live


  • Apabila anak banyak dikritik, mereka belajar mengutuk
  • Apabila anak banyak mengalami permusuhan, mereka belajar berseteru
  • Apabila anak banyak mengalami ketakutan, mereka belajar prihatin
  • Apabila anak banyak dikasihani, mereka belajar mengasihi diri sendiri
  • Apabila anak banyak dicemuh, mereka belajar menjadi pemalu
  • Apabila anak banyak mengalami perasaan cemburu, mereka belajar iri hati
  • Apabila anak banyak mengalami hal yang memalukan, mereka belajar berasa bersalah
  • Apabila anak banyak diberikan dorongan, mereka belajar mempercayai diri
  • Apabila anak menikmati toleransi, mereka belajar sabar
  • Apabila anak banyak dipuji, mereka belajar menghargai
  • Apabila anak diterima dikasihi, mereka belajar mengasihi
  • Apabila anak diberikan perhatian, mereka belajar yakin diri
  • Apabila anak berasa diakui, mereka belajar mempunyai sasaran
  • Apabila anak diajar memberi, mereka belajar bermurah hati
  • Apabila anak dibiasakn jujur, mereka belajar mengatakan yang sebenarnya
  • Apabila anak merasakan keadilan, mereka belajar bersikap adil
  • Apabila anak banyak diberikan kemurahan dan pertimbangan, mereka belajar menghormati
  • Apabila anak berasa tenteram, mereka percaya diri dan orang sekeliling
  • Apabila anak merasakan persahabatan dalam kehidupan mereka, mereka belajar bahawa dunia ini adalah tempat yang menyenangkan

Anak-anak belajar daripada perkara yang mereka lihat, alami dan rasai.


Tuesday 12 August 2014

Anak Saya Nakal Lah!


"Saya tidak tahu nak buat apa lagi"
"Anak saya ni nakal sangat, bila kita cakap dia buat tak tahu"

Keluh seorang ibu kepada saya semasa kami berjumpa di majlis rumah terbuka. Saya senyum sahaja, tidak tahu bagaimana untuk memulakan bicara.

Saya bukan pakar kanak-kanak, pengalaman masih sangat cetek. Namun saya percaya setiap anak yang dianugerahkan ada keistimewaan tersendiri. Ibubapa adalah pendidik dan pembimbing yang diamanahkan untuk menyemai serta membaja benih kebaikan dalam diri anak-anak.


Sebagai ibu yang bekerja di rumah, kesabaran selalu diuji. Adakala terikut juga dengan panahan syaitan dan nafsu amarah. Jadi perkongsian ini untuk ingatan diri sendiri, bagaimana menangani anak nakal.

1. Tiada istilah anak nakal
Tukar 'anak nakal' kepada 'anak kreatif' atau 'anak bijak' supaya sel-sel otak menterjemahkan yang sama. Setiap kali abang usik adik, tukar dari skrip "Jangan usik adik" kepada "Abang main dengan adik baik-baik". Setiap kali ibu menyebut, ia adalah doa. Ingat bahawa Allah akan mengikut apa yang kita sangka.


2. Jangan menjerit
Bercakap sambil menjerit sangat memalukan. Cukuplah menjerit, anak-anak juga punya harga diri. Mereka tidak nampak seperti berkecil hati tetapi memberi kesan dalam minda separa sedar. Apabila anak sudah biasa disuruh mendengar dengan jeritan bimbang anak tidak akan mendengar dengan cara lembut.

3. Beri perhatian
Adakala anak bertindak keterlaluan hanya untuk menagih perhatian daripada ibubapa. Apabila pulang ke rumah, berilah masa kepada anak-anak. Dengar apa yang mereka beritahu, pandang wajah dan berikan perhatian kepada apa yang dicakapkan. Bertanya kepada mereka, cakna apa yang berlaku. Teladani Rasulullah yang berpaling seluruh tubuh apabila bercakap. 
Tips mengendalikan anak yang sukar untuk mengikut arahan, duduk biar level kita dan anak sama dengan kata lain rendahkan badan, pegang muka dan pandang mata anak. Biar mata bertentang mata pada aras yang sama. Cakap dengan nada yang perlahan dan jelas. 
4. Puji mereka
Berilah perhatian kepada kelakuan baik anak. Puji serta merta. Apabila melihat abang ambilkan mainan adik yang jatuh, usah tunggu terus puji, "Ibu kagum abang tolong ambilkan mainan adik yang jatuh. Abang memang abang yang baik, ibu suka". 
Jangan perli dengan berkata, "Amboi baik sangatlah abang tu!" atau pujian yang bercampur dengan kenyataan negatif seperti ini, "Nanti lepas ambil mainan, usik adik pula".

Doa yang boleh diamalkan

5. Doakan anak-anak
Sentiasa doakan anak-anak apabila teringat. Bukan hanya selepas solat. Mohon Allah dorongkan kita menjadi ibubapa dan kawan terbaik untuk anak-anak. Moga anak-anak sentiasa lembut hati dan dijauhkan dari kebatilan yang berada di sekeliling mereka.

6. Tidurkan anak-anak
Lazimnya anak-anak suka tidur berteman. Ambil masa berkualiti ini untuk bercakap dengan anak-anak, selami hati mereka. Bercerita kisah teladan atau kisah kita masa kecil dahulu sebagai pengajaran buat mereka. Bacakan Al-Fatihah, Selawat, An-Nasyrah dan Surah Thoha 1-5 ke ubun-ubun anak semasa mereka tidur.

7. Sediakan makanan yang baik
Makanan yang diambil sedikit sebanyak memberi kesan. Kurangkan pengambilan gula atau coklat sekiranya anak kita sedia aktif. Berikan makanan yang baik daripada air tangan sendiri. Sesekali suapkan anak-anak makan.

8. Bacakan Al-Quran dan Hadis di rumah
Hadis adalah kata-kata Rasulullah yang penuh hikmah. Membacanya boleh melembutkan hati.

Berilah perhatian dan kasih sayang kepada anak, jika kasih sayang itu adalah ubat, maka ubat ini adalah yang terbaik untuk menyembuhkan segala penyakit yang ada

Apakah kita banyak senyum atau masam di depan anak-anak? Renungkan.

Mohon kongsikan tips yang lain di ruangan komen di bawah. InsyaaAllah semoga membantu dan berjumpa lagi.

Teks oleh Wan Rohani



Sunday 10 August 2014

Terima Kasih Allah

Teks: Wan Rohani

Bismillah

Salah satu cara untuk mengajar diri bersyukur adalah dengan sentiasa mengucapkan terima kasih. Terima kasih Allah. Ungkapan yang biasa ini payah juga terlantun dari bibir jika tidak dibiasakan.

Terima kasih Allah aku masih bernafas hari ini
Terima kasih Allah Engkau berikan aku kesihatan yang baik
Terima kasih Allah suamiku masih ada, sihat sejahtera
Terima kasih Allah anak-anak masih ada disampingku setiap hari

Apabila menyebut ungkapan terima kasih setiap kali bangun pagi, hati lebih tenang. Kasih sayang kepada pasangan dan anak-anak semakin bertambah. Baru semalam saya mendapat khabar sedih seorang kawan sekolah saya kehilangan anak lelaki beliau buat kali kedua. Jadi amatlah tidak wajar sekiranya saya tidak bersyukur dengan kurniaan 3 anak lelaki yang sihat dan comel.


Kami mahu anak-anak sentiasa berterima kasih dengan apa yang ada. Berterima kasih tandanya bersyukur dan tidak mengeluh dengan yang belum ada. 

Apabila kami makan makanan yang istimewa, seusai makan kami akan sama-sama kata, "Terima kasih Allah, terima kasih ibu sebab masak" jika makan di rumah. "Terima kasih Allah, terima abah sebab belanja" bila makan di luar. 

Kadang kami silap. Berterima kasih bukan hanya apabila mendapat barang baru, makan makanan yang istimewa, mendapat duit lebih. Berterima kasih dengan apa yang ada, juga dengan yang belum ada.

Anak-anak banyak belajar dari kita sendiri sebagai ibubapa. Saya percaya ibubapa yang sentiasa mengucapkan terima kasih kepada anak-anak, lebih mudah diteladani.

Semalam saya menulis dua cerita dalam buku nota untuk entri hari ini, tapi entah kenapa bila memegang keyboard tajuk ini pula yang keluar. InsyaaAllah untuk entri akan datang.

Mohon undur diri, InsyaaAllah berjumpa lagi.


Friday 8 August 2014

Menyantuni Anak-Anak


Teks: Wan Rohani

Bismillah

Saya teringat satu buku yang pernah dibaca, Aisyah: Keanggunan Sejati. Tertarik dengan buku pink ini kerana Aisyah adalah isteri yang lebih dikasihi Rasulullah berbanding isteri yang lain. Semasa di hujung hayat baginda sentiasa bertanya bilakan giliran di rumah Aisyah, menunjukkan betapa cintanya Rasulullah sentiasa mahu berdamping dengan Aisyah. Beruntungnya kita jika menjadi isteri yang sentiasa dicintai.


Dalam buku tersebut terselit satu kisah yang diceritakan oleh Aisyah tentang Fatimah anakanda Rasulullah.
Aisyah menyatakan, "Tiada seorang pun yang lebih mirip Nabi Muhammad selain Fatimah binti Rasulullah dalam perkara berkaitan sifat, sikap, dan tingkah laku semasa duduk ataupun berdiri. Apabila Fatimah datang kepada Nabi Muhammad, baginda akan berdiri dan menyambutnya, menciumnya lalu mendudukkannya di tempat baginda duduk. Apabila Nabi Muhammad datang kepada Fatimah, beliau akan berdiri menyambut ayahnya, menciumnya, lalu mendudukkan baginda di tempat beliau duduk tadi." Hadis dicatat oleh Tarmizi, Hakim dan Ibnu Hibban.

Lihat betapa baginda Rasulullah menyantuni anakanda Fatimah. Menunjukkan penghormatan yang sangat tinggi di antara anak dan bapa. Bagaimana baginda menyantuni Fatimah, begitu juga Fatimah menyantuni baginda Rasulullah.

Maka benarlah seperti yang kita semua maklum bahawa anak mengikut seperti apa yang dilihat. Apa yang dilihat dan didengar seperti pita rakaman yang melekat di minda bawah sedar anak.
Aisyah berkata, "Pada suatu hari, kami para isteri sedang berkumpul bersama kekasih Allah. Tiada seorang pun yang tidak hadir. Pada masa itu Fatimah datang. Beliau berjalan dengan cara jalan yang sama, saling tidak tumpah seperti cara jalan Nabi Muhammad. Semasa beliau melihat Fatimah, beliau segera menyambutnya dan berkata, "Selamat datang, anakku." Beliau mendudukkan Fatimah di sebelah kanan ataupun kirinya. Kemudian, beliau membisikkan sesuatu kepada Fatimah, lalu Fatimah menangis dan sedih. Apabila melihat Fatimah menangis, beliau kembali membisikkan sesuatu kepadanya. Tiba-tiba Fatimah tertawa.

Saya bertanya kepada Fatimah, Kekasih Allah hanya berbisik kepadamu dan tidak kepada isteri yang lain, lalu kamu menangis? Selepas Nabi Muhammad pergi, saya bertanya kepada Fatimah, "Apakah yang pesuruh Allah bisikkan kepadamu?" Fatimah menjawab, saya tidak boleh ,membuka rahsianya.

Selepas kewafatan Nabi Muhammad, saya bertanya kepada Fatimah sekali lagi, "Kamu perlu beritahu saya apa yang dibisikkan pesuruh Allah pada masa itu." Fatimah menjawab, "Baiklah, Saya boleh beritahumu sekarang. Kali pertama beliau berbisik, beliau berkata malaikat Jibrail selalunya datang sekali ataupun dua kali setahun menyemak bacaan Qurannya. Tetapi tahun ini ia datang dua kali. Pesuruh Allah mengagak beliau akan dipanggil mengadap Allah tidak lama lagi. Beliau berkata, 'Taatlah kepada perintah Allah dan bersabarlah. Saya adalah penghulu terbaik buatmu.' Pada masa itulah saya menangis seperti yang kamu lihat pada masa itu. melihatkan tangisanku, Nabi Muhammad kembali berbisik kepadaku. Beliau berkata, 'Wahai Fatimah, sukakah kamu menjadi ketua para wanita yang baik Islamnya di kalangan umatku?' lalu saya tertawa sebagaimana yang kamu lihat." Kisah ini dicatat oleh Bukhari, Muslim, Tarmizi dan Ibnu Majah.

Tidak mampu menjadi ibubapa sebaik baginda, namun itulah contoh teladan sepanjang zaman. Lihat bagaimana Rasulullah menceritakan hal baginda kepada Fatimah, kemudian menggembirakan hati Fatimah yang sedih.

InsyaaAllah berjumpa lagi.

Thursday 7 August 2014

Selesaikan Hutang Kad Kredit

Bismillah

Sejak semalam saya terfikir untuk tulis tentang hutang. Pada mulanya mahu tangguhkan dulu tajuk yang serius, mahu tulis yang santai-santai sahaja dulu. Namun bila difikirkan balik, pengurusan kewangan dan hutang ini menjadi topik penting yang tidak boleh diambil mudah. Apalagi sekiranya tuan dan puan berhajat untuk bekerja sendiri, memulakan perniagaan atau bekerja di rumah.

Hutang kad kredit sekiranya tidak diurus dengan baik boleh mengheret kita kepada hutang sampai tua. Keazaman untuk selesaikan semua hutang mesti kuat. Contohnya mahu bereskan semua hutang dalam tempoh masa tertentu. Ilmu tentang pengurusan kewangan perlu dicari dan dipelajari. 

Saya pasti ramai di luar sana yang mahu melangsaikan segala hutang dengan segera tapi tidak tahu bagaimana cara. Mahukan tuan dan puan sekiranya saya memperkenalkan satu ebook yang memberikan 12 teknik cara menyelesaikan hutang kad kredit?

InsyaaAllah hutang kita boleh selesai tanpa perlu bayar semua hutang itu, atau guna duit orang lain untuk membayarnya.


Klik sahaja gambar ebook untuk baca lebih lanjut.



Ebook ini ditulis oleh sifu kewangan saya Tuan Shamsuddin Kadir. Tuan dan puan boleh ikuti beliau di facebook atau layari www.ShamsuddinKadir.com

Banyak tips dan ilmu berguna yang selalu beliau kongsikan.

Sekian dulu, InsyaaAllah bertemu lagi.

Tuesday 5 August 2014

Teknik Memuji Berkesan

Manusia memang mudah nampak keburukan dari kebaikan yang ditunjukkan seseorang. Ibubapa lebih banyak menegur, memarahi dan menasihati kesilapan anak-anak berbanding memuji kebaikan yang mereka lakukan. Suami isteri boleh bermasam muka kerana sedikit kesilapan, hingga terlupa pada beribu kebaikan yang dicurahkan selama ini.



Saya teringat kata-kata Prof Dr. Muhaya, sekiranya kita selalu nampak keburukan orang lain, bermakna dalam diri kita penuh sifat negatif. Sekiranya kita hanya nampak kebaikan orang lain, dalam diri subur dengan sifat positif. Fikirkan kita manusia yang mana?

Jika mahu lahirkan insan cemerlang, tidak kira anak, rakan mahupun pekerja maka perlu suburkan kebaikan dalam diri mereka. Salah satu cara nak suburkan kebaikan adalah dengan memuji supaya mereka merasa seronok dan mengulangi kebaikan tersebut. Memarahi seseorang tidak perlukan kemahiran, tapi untuk memuji perlu kemahiran. Bagaimana cara memuji yang meninggalkan kesan kepada anak dan membuatkan mereka mengulangi perlakuan itu, mengulangi perlakuan itu, mengulangi perlakuan itu!


Segerakan Pujian
- Segera memuji semasa kebaikan itu dilakukan. Apabila melihat anak bersusah payah memegang penyapu dan menguis nasi yang diteraburkan mereka sendiri "Ha... macam ni lah anak ibu, suka tolong ibu kemas, senang kerja ibu bila hakim selalu tolong ibu macam ni"

Puji bila ada Orang Lain
- Pujilah abang di depan adik, pujilah suami di depan anak-anak kesannya lebih besar berbanding pujian seorang diri. Bangga bila ada yang tahu kebaikan yang dilakukannya.

Puji dengan Ikhlas
- Anak kecil pun dapat merasakan ini, keikhlasan dalam memuji. Puji dengan sepenuh hati bukan sindiran, lebih terkesan jika ibu puji anak dengan memegang kepala anak atau menepuk bahu, mencium dahi dan sebagainya.

Puji secara Specifik
- Pujian secara spesifik dan bukannya umum. Misalnya jika anak menunjukkan lukisan yang dihasilkan tidak cukup dengan hanya berkata "Wah, cantiknya lukisan adik!" Tetapi nyatakan lebih terperinci "Wah, cantiknya lukisan adik, pandai adik warnakan pokok dengan warna hijau dan rumah dengan warna kelabu"

Tidak disulami Kata-kata Negatif
- Jika hendak memuji, puji sahajalah tidak perlu dimasukkan yang negatif
"Wah, rajinnya anak ibu kemas meja, jangan harini jer, esok buat lagi yer"

Menggunakan Orang Ke-3
- Ayah berkata kepada anaknya "Semalam ibu ada cakap yang kamu sudah berubah sejak balik dari kursus haritu, solat 5 waktu pun terjaga, ibu dan ayah gembira sangat"


"Praise your child openly, reprehend them secretly" - W.Cecil

InsyaaAllah berjumpa lagi.

Monday 4 August 2014

Anak Yang Baik Adalah Anugerah

Bismillah

Seminggu kami pulang ke kampung meraikan Hari Raya bersama keluarga tercinta. Seminggu masih belum mencukupi untuk melawat semua saudara yang ada. Terasa cepat masa berlalu, belum puas berada di desa nan permai.

Perjalanan balik lebih membosankan berbanding perjalanan pulang ke kampung. Ikutkan hati mahu sahaja lama-lama di kampung. Apakan daya tuntutan kerja dan sekolah anak perlu diutamakan.

Biasanya dalam perjalanan ke mana-mana, ada sahaja perkara yang kami bincangkan bersama. Pengisian masa supaya perjalanan terisi dengan perkara yang berfaedah, bertukar pendapat, memahami dan menyelami hati pasangan. Antara waktu berkualiti kami berdua adalah semasa dalam perjalanan, boleh berbual bersama. Tiada gangguan gajet apabila suami memandu. Tiada bunyi bising apabila sistem audio kereta kami tidak digunakan.

Banyak perkara yang mengajar kami erti syukur. Anak-anak dan kehidupan. Bersyukur Allah kurniakan kami anak-anak yang sihat dan baik. Di kala ada ibubapa lain pening kepala memikirkan masalah anak mereka. Allah kurniakan kami anak yang baik bukan kerana kami pandai didik anak tetapi kerana kurniaan rezeki rahmat Allah kepada kami. Sama seperti hidayah yang Allah kurniakan kepada kita semua.

Allah tidak beri kita kemewahan yang melimpah tetapi kecukupan yang tidak perlu kita meminta-minta. Betapa banyaknya nikmat dan rezeki yang Allah beri, cuma kita yang tidak bersyukur.

Jika kita payah bersyukur dengan kurniaan yang sedikit, apakah kita akan bersyukur dengan yang banyak?



Sesungguhnya Allah lebih tahu.

Kekal positif, kekal proaktif.