Monday, 25 August 2014

Memahami Anak

Sebagai ibu, ada masa saya rasa seperti orang asing dengan anak sendiri. Biasanya perasaan ini muncul apabila saya bercakap atau menyuruh sesuatu, anak buat tidak tahu. Sekarang baru saya faham perasaan ibu saya apabila saya tidak laksanakan apa yang ibu saya minta.

Ada masa bila saya minta sesuatu, anak-anak menjawab dan memberi alasan mereka sendiri. Petang semalam, selesai menyusukan baby Ammar, saya minta Aiesyah bawakan kerusi baby untuk saya letak dan tidurkan baby. "Boleh tak ibu bawa baby ke sini dan letakkan baby di tempat kerusi baby berada" jawab Aiesyah.

Memang betul pun apa yang Aiesyah katakan, adakala saya sebagai ibu perlu bijak apabila meminta sesuatu dari anak-anak. Mereka juga tidak suka disuruh-suruh. Bila saya fikirkan semula, banyak sangatkah permintaan saya kepada anak-anak?

Setiap hari saya perlu ulang banyak kali perkara yang sama, suruh anak-anak mandi, kemas bilik, kemas barang mainan yang bersepah, suruh mengaji dan macam-macam lagi. Sehingga saya sendiri rasa jemu dan akhirnya saya buat tidak tahu sahaja. Anak-anak sebenarnya buat apa yang saya minta tapi tidak ditunaikan serta merta. 


Anak-anak bukan robot, niat saya untuk mendisiplinkan mereka. Namun ada masa perlu juga ada tolak ansur. Apabila menyuruh sesuatu, saya mahu result segera. Sedangkan mereka juga ada pilihan sendiri. 


Apabila anak meminta sesuatu, berikan syarat

Ini bukanlah solusi terbaik, namun ia berkesan serta merta. Contohnya bila anak-anak minta untuk pasangkan sesuatu cerita, ibu minta mereka solat terlebih dahulu. On the spot anak-anak akan buat. Jangan biasa dengan amalan bersyarat ini, sesekali tidak mengapa.


Terangkan kepada anak, bukan memarahi

Sabar adalah satu sifat yang perlu dipupuk dan dibaja. Sebagai ibu seringkali sifat sabar tercabar. Belajar untuk bertenang, ambil nafas panjang, hembus sambil istighfar dan selawat. Marah adalah tindakan spontan, bila ditahan, InsyaaAllah boleh dikawal. Terangkan kepada anak kenapa perlu mereka buat itu dan ini. Lama-kelamaan anak akan memahami.


Mendekati jangan menjauhi

Ada anak yang meluahkan emosi dengan mengamuk dan menangis apabila permintaannya tidak dipenuhi. Dua hari lepas Umar mengamuk apabila tidak dapat barang yang dia mahu berebut dengan kakaknya Aiesyah. Saya yang berada di dalam bilik air ketika itu mendengar bunyi pintu bilik air diketuk dan ditendang dengan kuat. Mula-mula saya mahu biarkan sahaja dia begitu sehingga amarahnya reda sendiri. Namun tidak sampai hati menjauhkan diri daripada anak yang perlukan 'seseorang' untuk diluahkan perasaan kecewa. 

Saya keluar dari bilik air dan memegang bahu Umar, bertanya kepadanya bagaimana ibu boleh tolong. Umar masih menangis dan beritahu dia mahu 'barang itu'. Saya tenangkan dia dengan memeluk sekuat hati. Anak yang meronta sukar dipeluk. Bila tangisannya reda, saya pujuk untuk mandikan dia. Usai mandi dia sudah ceria seperti biasa.

Cukup setakat ini dahulu, InsyaaAllah lain masa kita berjumpa lagi.

No comments:

Post a Comment