Monday 13 June 2016

Anak-Anak Belajar Melalui Kesemua Deria

Semasa mengisi petrol pagi tadi, saya terbau satu haruman pencuci lantai. Bauan yang pernah saya hidu 3 tahun lepas.

Pencuci ini selalu digunakan oleh pembantu tadika semasa saya mengajar di tadika sepanjang 2013. Betapa deria bau dapat mengimbau kembali segala memori yang berlaku pada tahun tersebut. Kuatnya peranan satu pancaindera yang dianugerahkan Tuhan kepada kita.

Seusai mengisi minyak, ketika memandu saya terfikir. Adakah saya sebagai pendidik dan ibubapa telah menggunakan keseluruhan pancaindera bagi merangsang perkembangan anak-anak? Atau hanya menggunakan deria dengar dan lihat?

Apabila bercakap anak mesti dengar, apabila tunjukkan sesuatu anak perlu lihat.

Bukahkah anak-anak belajar melalui kesemua deria yang dianugerahkan kepada mereka?


Nota Fikir
9 Ramadan 1437H


Sunday 12 June 2016

Doakan Ibu Sentiasa Kuat

Anak ketiga saya datang menyapa, "Ibu ni asyik tidur sahaja"

"Ibu rehat sekejap"

"Habis kenapa tutup mata?"

"Ibu bertafakur"

"Tafakur tu tidur lah tu"

Memang ibu hampir terlelap tadi, terkejut mendapat sapaan daripada Umar.

Andainya anak-anak tahu, tenaga ibu semakin lemah. Usia kandungan hampir mencecah 34 minggu. Badan ibu semakin lesu walaupun ibu sudah ambil beberapa makanan tambahan untuk membantu kecergasan.

Andai anak-anak tahu, tidur malam ibu sering terganggu. Sukarnya ibu mendapat lena yang panjang. Mengiring ke kanan tidak kena, ke kiri juga sama.

Andai anak-anak tahu, kaki ibu semakin lemah apabila berdiri lama. Menampung beban yang semakin bertambah. Pinggang lenguh.

Perjalanan 40 minggu ini bukan mudah apabila usia semakin meningkat. Anak semakin ramai.

Apabila anak-anak besar kelak, jangan lupa membantu sehabisnya apabila isteri berbadan dua. Perjalanan yang panjang sehingga anak habis menyusu. Ada masa emosi terganggu, usah mengambil hati. Berikan sokongan dan perhatian. Zuriat di dalam rahim juga perlukan belaian dan emosi positif seorang ayah.

Walau memenatkan, namun ibu masih bertahan. Doakan ibu sentiasa kuat meniti minggu-minggu akhir ini.

Wan Anie
34 minggu
8 Ramadan 1437H