Showing posts with label Mendorong Anak. Show all posts
Showing posts with label Mendorong Anak. Show all posts

Tuesday, 15 October 2019

Didik Anak Solat - Bagaimana Caranya?

Beberapa hari lepas dengar satu perkongsian daripada seorang ustazah secara online. Kata beliau wajar anak diminta untuk solat di ruang terbuka. Sebaiknya ada satu ruang musolla di dalam rumah di mana setiap ahli keluarga solat di situ. Sekiranya anak solat di dalam bilik, maka pintu bilik perlu dibuka ketika mereka sedang solat.

Seingat penulis beginilah cara ibu dan ayah kami ajarkan kami solat. Semasa kecil hingga sekolah berasrama, tidak pernah solat di dalam bilik tidur sendiri. Kami hanya akan solat di dalam bilik ibu dan ayah.

Selalu solat kami diperhatikan dan begitu cara kami dididik untuk solat dengan lebih sempurna. Ada masa selepas solat ayah akan menguji bacaan dalam solat.

Ayah memang seorang yang tegas dalam bab ibadah. Apabila bangun pagi untuk solat Subuh, kami perlu tukar pakaian tidur sebelum solat atau sebaiknya mandi.

Kebanyakan waktu solat ayah akan ke masjid. Namun apabila ayah solat di rumah, kami semua akan solat berjemaah.

Sekarang apabila sudah menjadi ibu dan ayah, baru tahu bahawa sukarnya mendidik anak cukup lima waktu, apa lagi solat awal waktu dan sempurna bacaan dan pergerakannya. Al-Fatihah untuk ayah yang meninggalkan banyak kesan baik dalam diri kami.

Sebenarnya 80% anak-anak akan mengikut apa yang dilihat, hanya 10% apa yang didengar dan 10% lagi daripada lain-lain deria. Anak kena lihat ibu dan ayahnya solat, maka mereka akan mengikutnya.

Peribadi dan akhlak yang baik anak dibentuk daripada sempurnanya solat. Individu yang dilihat tenang, maka lihatlah solatnya juga tenang. Jangan pula perhatikan setiap orang yang solat pula lepas ni. Ini hanya sekadar pemerhatian secara keseluruhan.

Apa pun yang kita lakukan sebagai pendidik kepada anak-anak, penyerahan kita sepenuhnya kepada Allah Al-Mulk yang memiliki dan memegang hati setiap hambaNya. Ustazah ajarkan satu doa yang terdapat di dalam Al-Quran Surah Ghafir ayat 44.

Dan aku sentiasa menyerahkan urusanku kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Melihat akan keadaan hamba-hambaNya.
Sungguh terkesan dengan ayat tersebut. Apabila membaca dan meletakkan sepenuh penyerahan kepada Allah maka tiada apa pun yang perlu kita takut dan bimbang. Allahu.



Betapa selama ini saya mungkin lupa bahawa apa yang dilakukan adalah atas usaha sendiri, sedangkan sedikit pun tiada daya dan upaya melainkan dengan izin Allah.

Sekiranya sekarang kita ada masalah yang belum selesai, maka bacalah ayat tersebut berulang kali, Insha-Allah.

Berbalik kepada solat. Sebagai ibu hendak sangat tahu solat yang bagaimana dapat mendidik peribadi baik. Kita usaha, selebihnya serahkan kepada Allah.

Satu slot yang akan dibawa oleh Tuan Ashraf di dalam Bengkel Taxonomy Al-Quran berkenaan membina perwatakan dan tingkah laku melalui solat. Lihat juga di FB berkenaan maklumat pernuh bengkel ini.

Saya doakan tuan puan yang membaca artikel ini dikurniakan anak yang soleh yang sentiasa menjaga solat. Sungguh sebagai ibu dan ayah kita dambakan doa daripada anak yang soleh apabila kita sudah tiada lagi kelak.

Tinta Wan Anie
16 Okt 2019
Taman Cemerlang.



Monday, 28 January 2019

Kanak-Kanak Juga Membuat Pengesahan Maklumat

Anak-anak ni kita lihat mereka mononton cerita, sebenarnya mereka sedang membuat pemerhatian.

Anak akan belajar daripada penemuan saintifik atau verification yang dijumpai.

Jadi ibu ayah dan pendidik kena peka dengan apa yang masuk ke pemikiran anak melalui deria mereka.

Sotong. Sumber google.


Tadi sewaktu membersihkan sotong, ibu tunjukkan tulang, mata, gigi dan cecair hitam yang digunakan oleh sotong untuk menyelamatkan diri.

Nampak macama anak terima sahaja apa yang ibu beritahu, rupanya dia membuat pengesahan maklumat.

Anak keluar bertanya pula kepada abahnya. Ibu tidak dengar pula apa yang abah beritahu dia.

Kemudian, dia datang lagi dan beritahu, "Betullah cecair hitam sotong tu untuk selamatkan diri. Sekejap lagi Ammar nak tengok cerita Doraemon yang ada sotong. Ammar nak tengok betul ke dia keluarkan dakwat hitam."

Ah Sudah.....

"Betullah ibu, sotong dalam cerita Doraemon pun ada keluar dakwat, tapi warna pink. Bila kena gajah jadi melekat."

Siapa yang pernah menonton filem Doraemon pasti tahu apa yang Ammar ceritakan.

Pengesahan maklumat atau verification adalah salah satu kemahiran berfikir yang bijak.

Ibu akan kongsikan berkenaan 'How To Teach Your Child Think' oleh Edward De Bono.


Ada yang nak tahu? Bagaimana kita boleh kaitkan dengan teknik mendorong anak berfikir.

Wednesday, 14 November 2018

Kenali Konsep Diri Anak

Konsep Diri adalah kepercayaan seseorang terhadap dirinya sendiri.

Saya seorang yang penyayang.
Saya suka membantu orang lain.
Saya rajin berkebun.
Saya berani bercakap di hadapan.
Saya bijak dalam Matematik.

Itu semua adalah konsep diri yang terbina dalam diri.

Bagaimana untuk tahu konsep diri anak? Tanyakan kepada mereka atau minta mereka senaraikan.

Saya seorang ........

Daripada senarai tersebut, kita boleh lihat adakah anak mempunyai semua konsep diri yang positif?

Contoh;

Ahmad seorang kanak-kanak periang berusia lima tahun. Ahmad sukar bangun awal pagi.
Oleh kerana setiap pagi ibu dan bapa terpaksa berkejar masa ke tempat kerja, Ahmad sering dimarahi kerana lewat bangun pagi. Ada masanya kerana mengejar masa, Ahmad tidak mandi, hanya menukar baju sekolah.

Ayahnya sering marah, sampai di sekolah guru pula memerli Ahmad, "Jangan jadi macam Ahmad, selalu datang lewat. Sudahlah lewat, tidak gosok gigi pula."

Walaupun begitu Ahmad masih tersengih menunjukkan giginya yang sedikit kuning apabila kawan-kawan mengketawakan dirinya.

Secara tidak langsung konsep diri yang terbentuk dalam diri Ahmad, lambat bangun pagi.

Walaupun begitu, konsep diri boleh berubah.

Dala kes Ahmad tadi, ibu bapa dan guru memainkan peranan mendorong Ahmad supaya dapat bangun pagi.

Bagaimana caranya?

Kita akan lihat dalam beberapa teknik yang akan dikongsi seperti teknik pujian, fokus kepada kebaikan dan bertanya soalan akhlak.


Wan Anie
.

Tuesday, 13 November 2018

Pujian Sebagai Ganjaran Sosial Positif

Cara paling mudah untuk menaikkan keyakinan (self-estim) anak-anak adalah dengan pujian. Walaupun anak cuma melakukan perkara kecil.

Pujian adalah alat paling ampuh untuk digunakan sebagai ganjaran positif bagi tingkah laku baik anak-anak.

Apabila adik jatuh semasa bermain, abang datang bantu angkat adik. Sambil menenangkan adik, abang menepuk kuat badan adik membuang pasir halus yang melekat.

Perhatikan gelagat dua beradik itu, kemudian si ayah datang sambil memegang bahu abang, ayah berkata,

"Ayah lihat abang bantu adik tadi, itu adalah perbuatan yang mulia. Ayah bangga mempunyai anak yang suka menolong. Allah mengasihi orang yang mengasihi orang lain"

Tips memberi pujian:
1. Pujian mesti diberikan segera
2. Pujian diberikan secara terbuka
3. Pujian khusus kepada perkara yang dilakukan
4. Tutup mata pada kesilapan (tepuk adik dengan kuat)


Wan Anie
#NotaParenting
http://wanrohaniismail.blogspot.my/

Monday, 12 November 2018

Pujian Diberikan Secara Spesifik

"Bagus" atau "Sangat baik" tidak cukup spesifik untuk mempengaruhi tingkah laku anak. Mendorong dengan pujian perlu spesifik dan jelas.

+ Ibu gembira kakak basuh pinggan selepas makan. Ringan kerja ibu.
+ Sukanya ibu lihat kakak berkongsi mainan lego dengan adik. Nanti adik boleh jadi bff kakak.
+ Bagusnya abang cuci dan vakum kereta. Bersih berkilat kereta kita.

Teknik mendorong anak berakhlak baik akan menerangkan dengan lebih terperinci bagaimana pujian sebagai ganjaran sosial yang mudah diberi.

Selain pujian, senyuman, doa, pelukan, kata-kata semangat merupakan ganjaran sosial positif yang tiada kos melaksanakannya namun memberi kesan kepada anak-anak.

Wan Anie
13.11.2018
#NotaParenting