Tuesday, 15 October 2019

Didik Anak Solat - Bagaimana Caranya?

Beberapa hari lepas dengar satu perkongsian daripada seorang ustazah secara online. Kata beliau wajar anak diminta untuk solat di ruang terbuka. Sebaiknya ada satu ruang musolla di dalam rumah di mana setiap ahli keluarga solat di situ. Sekiranya anak solat di dalam bilik, maka pintu bilik perlu dibuka ketika mereka sedang solat.

Seingat penulis beginilah cara ibu dan ayah kami ajarkan kami solat. Semasa kecil hingga sekolah berasrama, tidak pernah solat di dalam bilik tidur sendiri. Kami hanya akan solat di dalam bilik ibu dan ayah.

Selalu solat kami diperhatikan dan begitu cara kami dididik untuk solat dengan lebih sempurna. Ada masa selepas solat ayah akan menguji bacaan dalam solat.

Ayah memang seorang yang tegas dalam bab ibadah. Apabila bangun pagi untuk solat Subuh, kami perlu tukar pakaian tidur sebelum solat atau sebaiknya mandi.

Kebanyakan waktu solat ayah akan ke masjid. Namun apabila ayah solat di rumah, kami semua akan solat berjemaah.

Sekarang apabila sudah menjadi ibu dan ayah, baru tahu bahawa sukarnya mendidik anak cukup lima waktu, apa lagi solat awal waktu dan sempurna bacaan dan pergerakannya. Al-Fatihah untuk ayah yang meninggalkan banyak kesan baik dalam diri kami.

Sebenarnya 80% anak-anak akan mengikut apa yang dilihat, hanya 10% apa yang didengar dan 10% lagi daripada lain-lain deria. Anak kena lihat ibu dan ayahnya solat, maka mereka akan mengikutnya.

Peribadi dan akhlak yang baik anak dibentuk daripada sempurnanya solat. Individu yang dilihat tenang, maka lihatlah solatnya juga tenang. Jangan pula perhatikan setiap orang yang solat pula lepas ni. Ini hanya sekadar pemerhatian secara keseluruhan.

Apa pun yang kita lakukan sebagai pendidik kepada anak-anak, penyerahan kita sepenuhnya kepada Allah Al-Mulk yang memiliki dan memegang hati setiap hambaNya. Ustazah ajarkan satu doa yang terdapat di dalam Al-Quran Surah Ghafir ayat 44.

Dan aku sentiasa menyerahkan urusanku kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Melihat akan keadaan hamba-hambaNya.
Sungguh terkesan dengan ayat tersebut. Apabila membaca dan meletakkan sepenuh penyerahan kepada Allah maka tiada apa pun yang perlu kita takut dan bimbang. Allahu.



Betapa selama ini saya mungkin lupa bahawa apa yang dilakukan adalah atas usaha sendiri, sedangkan sedikit pun tiada daya dan upaya melainkan dengan izin Allah.

Sekiranya sekarang kita ada masalah yang belum selesai, maka bacalah ayat tersebut berulang kali, Insha-Allah.

Berbalik kepada solat. Sebagai ibu hendak sangat tahu solat yang bagaimana dapat mendidik peribadi baik. Kita usaha, selebihnya serahkan kepada Allah.

Satu slot yang akan dibawa oleh Tuan Ashraf di dalam Bengkel Taxonomy Al-Quran berkenaan membina perwatakan dan tingkah laku melalui solat. Lihat juga di FB berkenaan maklumat pernuh bengkel ini.

Saya doakan tuan puan yang membaca artikel ini dikurniakan anak yang soleh yang sentiasa menjaga solat. Sungguh sebagai ibu dan ayah kita dambakan doa daripada anak yang soleh apabila kita sudah tiada lagi kelak.

Tinta Wan Anie
16 Okt 2019
Taman Cemerlang.



No comments:

Post a comment