Monday 3 October 2022

Dorong Anak Berakhlak Baik Dengan Bertanya Soalan Mudah

Malam itu, seperti biasa anak-anak akan datang membawa buku yang mahu ibu bacakan. Sambil kepala sudah terlentok ke tangan, mata sudah layu.
Ibu, ceritalah.
Ok boleh. Sebelum tu ibu nak tanya boleh?
Apa dia?
Siapa anak ibu yang solat hari ni?
Seorang anak menyahut, "Ammar".
Siapa anak ibu yang mengaji quran hari ni?
Anak yang sama menyahut, "Ammar"
Siapa anak ibu yang tolong ibu abah hari ni?
Dua-dua berebut memberitahu apa yang telah mereka lakukan hari ini.
Siapa anak ibu yang baca buku hari ini?
Memang ibu sendiri sudah tahu jawapan mereka. Berebut juga menunjukkan buku yang telah mereka baca pada hari tersebut.
Bagus. Bagus. Anak ibu yang melakukan perbuatan yang ibu sebutkan tadi pasti mendapat pahala kebaikan. Allah sayang anak yang solat, mengaji dan membantu ibu ayah.
Kalau Allah sayang, kita boleh masuk syurga ke ibu?
Itulah cita-cita semua orang yang beriman termasuk kita. Syurga yang super best.
Macam tu, esok Hadi nak solat jugalah.
Ammar pun nak solat penuh.
.


Apabila kita bertanya soalan untuk mendorong anak berakhlak baik, tanya soalan berikut:
1. Soalan yang berkaitan dengan perbuatan baik yang mahu anak lakukan.
2. Soalan tentang akhlak baik yang mudah untuk mereka lakukan.
3. Soalan yang sesuai dengan usia mereka.
Soalan yang ibu tanya tadi adalah berkaitan dengan solat, mengaji, membaca buku dan membantu ibu ayah. Itu semua adalah akhlak baik yang mahu ibu dorong anak lakukan setiap hari.
Dilarang untuk membuat sesi bertanya soalan ini semasa anak merajuk, marah, atau bergaduh dengan adik beradiknya.
Jangan bertanya sekiranya anak ralit bermain, menonton tv atau apa sahaja situasi yang menyebabkan anak kurang fokus.
Pilih masa yang sesuai, sebelum tidur, di dalam kenderaan atau semasa makan bersama.
Sesuai juga untuk mulakan sesi pembelajaran di sekolah dengan bertanya soalan akhlak yang berkaitan dengan pelajar.
Lakukan berulang kali. Ia adalah satu proses dan bukan keajaiaban.
Mudah mudahan anak kita semua didorong dengan kebaikan dan menjadi penyejuk mata.
Satu doa yang bagus untuk diamalkan sentiasa, baca apabila teringat anak-anak kita. Bayangkan wajah mereka.
"Tuhanku, anugerahkan kepadaku (anak) yang termasuk di kalangan orang yang soleh."
Ini adalah doa Nabi Ibrahim AS sebelum dikurniakan anak Nabi Ismail AS.
Mudah mudahan Allah kurniakan kita anak yang soleh. Amin.

Tuesday 15 October 2019

Didik Anak Solat - Bagaimana Caranya?

Beberapa hari lepas dengar satu perkongsian daripada seorang ustazah secara online. Kata beliau wajar anak diminta untuk solat di ruang terbuka. Sebaiknya ada satu ruang musolla di dalam rumah di mana setiap ahli keluarga solat di situ. Sekiranya anak solat di dalam bilik, maka pintu bilik perlu dibuka ketika mereka sedang solat.

Seingat penulis beginilah cara ibu dan ayah kami ajarkan kami solat. Semasa kecil hingga sekolah berasrama, tidak pernah solat di dalam bilik tidur sendiri. Kami hanya akan solat di dalam bilik ibu dan ayah.

Selalu solat kami diperhatikan dan begitu cara kami dididik untuk solat dengan lebih sempurna. Ada masa selepas solat ayah akan menguji bacaan dalam solat.

Ayah memang seorang yang tegas dalam bab ibadah. Apabila bangun pagi untuk solat Subuh, kami perlu tukar pakaian tidur sebelum solat atau sebaiknya mandi.

Kebanyakan waktu solat ayah akan ke masjid. Namun apabila ayah solat di rumah, kami semua akan solat berjemaah.

Sekarang apabila sudah menjadi ibu dan ayah, baru tahu bahawa sukarnya mendidik anak cukup lima waktu, apa lagi solat awal waktu dan sempurna bacaan dan pergerakannya. Al-Fatihah untuk ayah yang meninggalkan banyak kesan baik dalam diri kami.

Sebenarnya 80% anak-anak akan mengikut apa yang dilihat, hanya 10% apa yang didengar dan 10% lagi daripada lain-lain deria. Anak kena lihat ibu dan ayahnya solat, maka mereka akan mengikutnya.

Peribadi dan akhlak yang baik anak dibentuk daripada sempurnanya solat. Individu yang dilihat tenang, maka lihatlah solatnya juga tenang. Jangan pula perhatikan setiap orang yang solat pula lepas ni. Ini hanya sekadar pemerhatian secara keseluruhan.

Apa pun yang kita lakukan sebagai pendidik kepada anak-anak, penyerahan kita sepenuhnya kepada Allah Al-Mulk yang memiliki dan memegang hati setiap hambaNya. Ustazah ajarkan satu doa yang terdapat di dalam Al-Quran Surah Ghafir ayat 44.

Dan aku sentiasa menyerahkan urusanku kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Melihat akan keadaan hamba-hambaNya.
Sungguh terkesan dengan ayat tersebut. Apabila membaca dan meletakkan sepenuh penyerahan kepada Allah maka tiada apa pun yang perlu kita takut dan bimbang. Allahu.



Betapa selama ini saya mungkin lupa bahawa apa yang dilakukan adalah atas usaha sendiri, sedangkan sedikit pun tiada daya dan upaya melainkan dengan izin Allah.

Sekiranya sekarang kita ada masalah yang belum selesai, maka bacalah ayat tersebut berulang kali, Insha-Allah.

Berbalik kepada solat. Sebagai ibu hendak sangat tahu solat yang bagaimana dapat mendidik peribadi baik. Kita usaha, selebihnya serahkan kepada Allah.

Satu slot yang akan dibawa oleh Tuan Ashraf di dalam Bengkel Taxonomy Al-Quran berkenaan membina perwatakan dan tingkah laku melalui solat. Lihat juga di FB berkenaan maklumat pernuh bengkel ini.

Saya doakan tuan puan yang membaca artikel ini dikurniakan anak yang soleh yang sentiasa menjaga solat. Sungguh sebagai ibu dan ayah kita dambakan doa daripada anak yang soleh apabila kita sudah tiada lagi kelak.

Tinta Wan Anie
16 Okt 2019
Taman Cemerlang.



Friday 30 August 2019

Diplomasi Dengan Anak, Tegas Ada Masanya

Diplomasi atau berunding adalah salah satu sifat yang mahal harganya.

Kanak-kanak yang dididik dengan sifat pandai berunding biasanya senang diterima dan bijak bersosial dengan rakan sebaya mereka.

Contoh sifat berunding ialah apabila anak melihat adik bermain barang kesukaannya, anak boleh tawarkan sesuatu yang lain kepada adik untuk mendapatkan barangnya. Atau anak boleh bercakap baik-baik tanpa merebut barang itu.

Suatu sifat baik boleh dilatih dengan dua perkara;

1. Apabila ibu bapa dan pendidik menunjukkan caranya

2. Apabila ibu bapa dan pendidik sentiasa membuat rundingan yang baik dengan mereka.

Anak lazimnya akan mengikuti sifat dan tingkah laku seperti mana yang mereka lihat atau mereka alami.

Anak begini dilihat lebih matang dan pandai bawa diri. Mereka tahu mengawal emosi dan tidak mudah marah-marah.

Kadang kala sebagai ibu bapa kita perlu bertegas sedikit tanpa perlu marah-marah.


Semalam ada perkongsian daripada seorang pensyarah yang juga bapa. Beliu ceritakan bagaimana beliau bertegas dengan anak-anak sewaktu mereka keluar makan di restoran.

Beliau sudah pesan kepada anak-anak supaya 'behave' dan kawal tingkah laku apabila di restoran. Sementara menunggu makanan tiba, anak-anak beliau berlari di kawasan restoran tersebut.

Beliau berjumpa dengan pelayan, dan bertanya sekiranya makanan belum disiapkan, minta dibatalkan dan beliau mengajak anak-anak pulang ke rumah dengan perut kosong.

Apabila anak bertanya, beliau tegaskan bahawa keputusan perlu dibuat kerana anak-anak tidak dapat kawal tingkah laku, berlari dan mengganggu pelanggan lain di situ.

Jadi makan malam yang diidamkan oleh anak-anak dibatalkan atas faktor mereka sendiri. Semenjak itu anak-anak lebih berhati-hati dan mengawal tingkah laku apabila berada di kedai makan.

Nampaknya tegas dalam mendidik ini perlu supaya anak tahu bahawa kita serius apabila menerangkan sesuatu.

Begitulah, ada masa kita bergurau, namun ada waktu tegas itu perlu mendahului.

Biasanya bapa lebih mudah bersikap begini, itu sebab bapa dilihat lebih serius dan berpengaruh di hadapan anak-anak.

Ibu juga boleh bersikap begitu dengan berlatih. Kurangkan bercakap terus dengan tindakan.

Selamat bercuti menyambut Hari Kemerdekaan Ke-62 dan Salam Maal Hijrah 1441H.

Tinta Wan Anie
30 Ogos 2019.


Tuesday 21 May 2019

Saya Sayang Kamu

Bengkel Bercerita tadi, Puan Ibtihaj atau Cikgu Ib berkongsi tentang satu buku bertajuk 'saya Sayang Awak'. Kisah tentang seekor haiwan, tidak pasti haiwan apa. Macam tupai pun ya, ada belang di atas kepala. Haiwan yang sama dengan watak utama buku cerita Di Mana Orang Salji Saya. Gurunya meminta supaya diucapkan saya sayang awak sehingga 100 kali. Jadi dia mula mengucapkan; saya sayang awak meja,
saya sayang awak kerusi,
saya sayang awak langit,
saya sayang awak burung,
saya sayang awak angin,
saya sayang awak buku.

Ha begitulah. Sehingga sampai di rumah, dia berkata kepada ibu dan ayahnya;

Saya sayang ibu. Saya sayang ayah. Namun ibu dan ayahnya memberi respon acuh tidak acuh sahaja.

Ibu dan ayahnya masih kehairanan apabila mendengar anaknya terus mengucapkan sayang kepada semua objek yang dijumpai.

Sayang sayang awak katil,
saya sayang awak bantal,
saya sayang awak teddy bear.

Sehingga malamnya, suasana menjadi sunyi. Barulah ibu dan ayahnya perasan yang mereka tidak lagi mendengar suara anaknya.

Mereka berdua masuk ke bilik dan berkata, "saya sayang kamu, anakku."

Perasaan sayang perlu diungkap, bukan hanya disimpan di dalam hati.

Ungkapan baik memberi seribu makna hanya apabila diucapkan.
Tinta Wan Anie
22 Mei 2019

Friday 19 April 2019

Adakah Anak Akan Lebih Bijak Dengan Bermain?

Adakah anak-anak akan lebih bijak dengan bermain?

Apakah dengan bermain boleh membantu anak membaca dan menulis?

Kajian menunjukkan bahawa anak-anak yang banyak menggunakan otot jari akan lebih kemas tulisannya. Ini kerana apabila anak bermain otot tangan menjadi kuat, menulis memerlukan kekuatan pada otot jari dan tangan.

Permainan seperti monkey bar dapat menguatkan pegangan otot jari dan tangan.

Baru-baru ini, ibu ada sertai kelas berkaitan bermain di media online. Ada ilmu baru yang boleh dikongsikan di sini, Insha-Allah.

Bermain ini ada level dan tingkatan (stages). Jadi apabila anak bermian, kita perlu tahu di mana tahap bermain mereka.

Apakah jenis level tersebut?


1. Unoccupied Play

Ini adalah peringkat paling rendah. Ianya berlaku kepada bayi.
Apabila bayi bermain, tiada tujuan yang khusus. Hanya bermain.
Pola permainan anak akan meningkat mengikut usia anak.

2. Solitary Play

Peringkat ini adalah anak bermain sendiri tanpa perasan ada orang lain bermain berhampiran mereka.
Biasanya berlaku pada peringkat awal kanak-kanak di usia 1-2 tahun.

3. Onlooker Play

Apabila kanak-kanak melihat kawannya bermain, mereka akan bertanya soalan namun belum ada minta untuk turut bermain sama.
Mereka akan perhatikan dari jauh.

4. Parallel Play

Apabila kanak-kanak mula bermain sama dengan kanak-kanak lain tanpa sebarang komunikasi.
Mereka memberi perhatian satu sama lain, namun belum bermain bersama-sama.
Contoh apabila melihat kawannya bermain kereta, anak juga akan ambil kereta dan main.
Tidak bermain bersama-sama.

6. Social Play

Apabila kanak-kanak mula bermain bersama-sama, bertanyakan soalan.
Mereka sudah mula atur peranan masing-masing semasa bermain. Berkongsi idea.
Ini adalah peringkat bermain paling tinggi. Ada komunikasi, boleh berkongsi dan buat keputusan sesama mereka serta fikirkan solusi atau manipulasi supaya lebih seronok.


Bermain adalah pekerjaan kanak-kanak. Ini adalah tugas utama mereka.

Melalui bermain mereka mencapai kepuasan.
Melalui bermain meningkatkan kemahiran motor kasar dan halus.
Melalui bermain dapat meningkatkan kemahiran sosial kanak-kanak.
Melalui bermain meningkatkan skil kognotof, komunikasi dan pelbagai jenis perkembangan wajib bagi setiap kanak-kanak.

Sama ada kita perasan atau tidak, anak-anak belajar membuat keputusan semasa mereka bermain. Mereka akan yakin dengan diri sendiri.

Jadi, jangan terlalu menekankan tentang belajar membaca dan menulis sahaja.

Bersikap adil dengan mereka supaya anak-anak dapat hidup dengan seimbang.