Mendorong Anak-anak Menggunakan Nama Gaya Nabi Muhammad.
Nama kita merupakan 'label' bagi kita. Nama kita menunjukkan siapa diri kita.
Orang kafir Quraisy telah menghantar Suhail bin Amr untuk berunding dengan Nabi Muhammad dalam peristiwa Perjanjian Hudaibiyyah. Suhail bermaksud mudah. Nabi Muhammad memuji Suhail dengan berkata, "“Sungguh beliau meMUDAHkan urusan saudara semua. Setiap kali orang-orang Quraisy mahukan rundingan, mereka pasti menghantar orang ini.” Rekod Sahih al-Bukhari.
Nabi Muhammad juga memuji nama individu tersebut serta nama tempat dan kabilahnya.
Sebagai contoh, Buraidah adalah salah seorang sahabat Nabi Muhammad. Buraidah bermaksud dingin dan sejuk. Sewaktu berjumpa Nabi Muhammad, beliau memberitahu Nabi Muhammad bahawa namanya adalah Buraidah. Nabi Muhammad berkata kepada Abu Bakar, “Urusan kita akan dingin.” Yakni tenang dan nyaman.
Nabi Muhammad bertanya, “Saudara dari mana?” Buraidah menjawab, “Dari Aslam.” Aslam bermaksud selamat. Nabi Muhammad berkata kepada Abu Bakar, “Kita akan selamat.” Nabi bertanya lagi, “Dari kumpulan mana?” Buraidah menjawab, “Sahm.” Sahm bermaksud panah. Nabi Muhammad berkata, “Panah saudara akan meluncur keluar.” – Rekod al-Syamail fi al-Nabiy al-Mukhtar oleh al-Husin bin Mas’ud al-Baghawi al-Syafie (m. 515H)
Teknik :
Katakanlah anak kita bernama Aqil. Dia berumur 5 tahun. Aqil bermaksud pintar, bijak cerdik. Dialog boleh dilakukan seperti berikut :
Ibu : Siapa yang bernama Aqil?
Aqil : Saya!
Ibu : Aqil bermaksud bijak. Ibu mendoakan Aqil BIJAK memilih kawan. Pilih kawan-kawan yang suka menolong orang lain.
Aqil : Baik ibu!
Tukar skrip setiap hari dan beritahu maksud namanya memandangkan namanya adalah dalam Bahasa Arab, sehingga anak itu sudah biasa dengan maksud namanya. Apabila dia sudah tahu maksud namanya, ia akan menjadi 'label' bagi dirinya. Teknik ini juga sesuai untuk guru-guru pra sekolah dan sekolah rendah.
- Tuan Ahmad Saifuddin Yusof
No comments:
Post a Comment