Thursday 27 August 2015

Mendorong Pelajar Solat Tanpa Menyuruh Mereka Solat

Pelik. Bagaimana mendorong pelajar solat tanpa menyuruh mereka solat?

Ini adalah pengalaman saya sendiri. Kelas mengaji saya berlangsung setiap malam Isnin hingga Khamis setiap minggu. Pada malam Isnin lepas saya tergerak hati untuk tanyakan pelajar, "Sudah solat Maghrib ke semua ni?" (Ini bukan menggunakan Teknik Nabi)

Semua pelajar diam, ada beberapa pelajar yang menjawab tak dengan nada suara yang perlahan dan tersipu-sipu. "Oh patut lah sampai awal" (Ini juga bukan skrip Teknik Nabi). Walaupun saya terkejut dengan jawapan pelajar saya yang terdiri daripada kanak-kanak 5 - 12 tahun. 12 tahun itu sudah besar, ada beberapa orang sudah pun baligh.

Selepas semua duduk dan membaca Al-Fatihah, saya bertanya," Siapakah di sini yang Solat Maghrib sebelum datang kelas mengaji?" semua diam. Kemudian saya bertanya lagi,"Siapakah di sini yang susun selipar sebelum masuk?" hanya dua orang yang berkata saya. Memang sengaja saya bertanyakan soalan ini kerana saya perhatikan kasut dan selipar bergelimpangan seperti dibuka oleh orang yang dikejar hantu.

Saya diam memerhatikan gelagat pelajar-pelajar ini, Kemudian saya bertanya lagi,"Siapakah di sini yang bersalam dengan kedua ibubapa sebelum datang?" Hanya dua atau tiga orang sahaja yang mengangkat tangan dan berkata saya. Saya diam memerhati tanpa menunjukkan memek muka bersetuju atau tidak setuju.


Selepas semua diam saya berkata,"Sesungguhnya sesiapa yang melakukan perbuatan yang Ustazah sebutkan tadi, sudah tentu mendapat ganjaran pahala kebaikan."

Air muka kanak-kanak mula berubah, mereka tersenyum. Ada yang berkata, esok saya tak akan lupa untuk solat. Tiba-tiba bangun seorang pelajar 7 tahun keluar. Hairan. Rupa-rupanya beliau menyusun semua selipar yang berserakan di luar rumah. Tanpa menyuruh, anak ini terdorong untuk melakukan kebaikan.

Soalan yang sama saya tanya pada hari Selasa dan Hari Rabu. Apa yang mengejutkan saya, pada hari Rabu, sudah ramai yang mengangkat tangan selepas soalan yang sama saya utarakan. 

Sekiranya tuan puan pernah mengikuti Bengkel Teknik Nabi, ini adalah teknik menggunakan skrip bertanya soalan akhlak.


Kredit gambar www.pinterest.com

No comments:

Post a Comment