Wednesday, 23 July 2014

Salam Perkenalan

Teks: Wan Rohani

Bismillah

Sudah lama saya mahu aktifkan blog ini. Alhamdulillah saya berdoa ianya menjadi bahan rujukan kepada ibu-ibu muda khususnya dalam mendidik anak di rumah. Juga buat suri yang mahu bekerja di rumah dan jana pendapatan sendiri.

Wan Rohani Wan Ismail nama diberi, dilahirkan di Besut, Terengganu. Saya merupakan anak kelapan dari 12 orang adik beradik. Keluarga saya besar, sekarang semua adik-beradik saya sudah berkeluarga. Apabila semua berkumpul, jumlahnya hampir 70 orang.

Mendapat pendidikan awal di Besut dan bersekolah menengah berasrama di Kuala Terengganu. Melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah dalam bidang Kejuruteraan Komputer Dan Komunikasi (Sistem) di salah sebuah IPTA di Selangor. Semasa belajar saya amat meminati bidang teori litar dan data komunikasi dan selular. Dulu bercita-cita ingin bekerja di syarikat telekomunikasi.

Pengalaman pertama bekerja sebagai pendidik di sebuah sekolah swasta yang menerapkan hafazan sebagai satu modul wajib setiap pelajar. Setiap guru yang mengajar di sekolah tersebut bertanggungjawab mendengar dan menyemak bacaan hafazan pelajar. Hafazan dijalankan setiap pagi sebelum memulakan sesi akademik. Saya tidak terkecuali walaupun mengajar subjek Matematik, Matematik Tambahan, English dan Fizik. Semasa sesi temuduga bukan soalan akademik yang ditanya pengetua sekolah tetapi bacaan quran dan jawi.

Julai 2002 mendapat tawaran sebagai Pegawai Sistem Maklumat (bidang rangkaian) di sebuah badan berkanun kerajaan di ibukota. Selepas 4 tahun saya mula bosan dengan rutin kerja, hati memberontak mahukan pengalaman dan suasana kerja yang baru. Mendapat tawaran sebagai jurutera rangkaian di sebuah syarikat pembekal perkhidmatan internet. Jawatan yang saya idamkan sejak dari zaman belajar.

Selepas dua tahun bekerja di sana, saya mengambil keputusan untuk berhenti. Saya bukan seorang yang suka mengikut sahaja perintah. Saya sentiasa mahukan sesuatu yang baru, idea baru, pengalaman baru. Paling ketara saya memilih untuk bekerja mengikut rentak sendiri. Berulang-alik lebih 100km dengan jalan yang sesak setiap hari sangat membosankan. Sehingga saya terfikir, tiadakah perkara yang lebih baik saya boleh lakukan daripada membazir waktu di dalam kereta seperti ini?

Bermula sebagai seorang perunding kewangan, kemudian saya berjinak-jinak dengan dunia blog. Saya mula menjual pakaian dan aksesori kanak-kanak selepas berjumpa dengan seorang usahawan wanita muda yang memborong sendiri di China. Setahun kemudian saya mula menjual secara borong. Mengikuti rombongan memborong ke Guangzhou, China.


Saya bermula dengan RM500 sahaja, menjual di atas talian kemudian membuka booth jualan sekitar Selangor dan Kuala Lumpur. Banyak pengalaman suka duka yang saya lalui, InsyaaAllah saya kongsikan di dalam entri yang lain.

Sekarang dengan 4 orang anak, saya lebih menumpukan perhatian kepada mereka. Anak-anak adalah aset kekal saya dan suami. Anak sulung saya sekarang belajar di sekolah tahfiz dan 3 yang lain berada sepenuh masa bersama saya di rumah.

Saya sukakan bidang pendidikan awal kanak-kanak. Saya mengajar sendiri anak-anak saya membaca, menulis dan mengaji quran. Saya sangat gemarkan buku. Pelbagai jenis buku menjadi koleksi. Saya gemar membaca buku berkaitan pendidikan awal kanak-kanak, keibubapaan, motivasi dan bina diri, buku berkaitan bisnes, buku agama dan tokoh sejarah Islam.

Menulis juga menjadi tabiat saya, ke mana sahaja pergi pasti ada pen dan buku nota di dalam bag. Saya ada banyak buku catatan mengikut jenis. Antaranya buku impian/cita-cita, buku agama, buku resepi, buku catatan harian dan buku bisnes.

Saya ada banyak impian dalam hidup. Antara yang saya boleh kongsikan adalah saya mahu menjadi penulis. Bermula dengan blog, ebook dan buku, InsyaaAllah. Saya mahu sebarkan kebaikan untuk semua, berkongsi ilmu yang bermanfaat adalah antara misi hidup saya. Saya juga mahu menjadi penceramah bebas, mohon jangan gelakkan saya. Mana tahu ada rezeki saya nanti. Doakan saya.

Sebagai ibu dan suri di rumah, peranannya bukan kecil. Tangan yang menghayun buaian bisa menggoncang dunia. Perhatikan emosi dan tingkah laku anak-anak apabila emosi ibu tidak stabil. Ibu memainkan peranan utama menyebarkan aura positif (positive vibration) kepada keluarganya, suami dan anak-anak.

InsyaaAllah sehingga berjumpa lagi.

Kekal positif, kekal proaktif




No comments:

Post a Comment