Thursday 22 February 2018

Bagaimana Menegur Anak Tanpa Ada Yang Berkecil Hati

Teks: Wan Rohani Wan Ismail


Pernah kita sebagai ibu atau bapa menegur anak salah membaca, mengira, kemudian habis sahaja belajar anak berlari masuk bilik. Tidak keluar. Selepas sahaja kita menegur dengan tinggikan suara sedikit, berjuraian air mata sambil membaca teresak menahan sendur.

Pernah alami situasi begitu?

Ada tips supaya kedua pihak tidak diganggu emosi terutama semasa sesi itu berlaku.

1. Jangan tegur yang silap, beritahu sahaja yang betul

Apabila kita fokus kepada perkara yang silap, kita mudah naik angin, mudah emosi. Solusinya senang, beritahu sahaja apa yang betul.

Contoh anak mengaji salah bacaan, jangan disebut yang salah, jangan gunakan skrip ini, "Salah lagi, tadi ibu sudah beritahu. Hai, berapa kali nak ulang!"

Betul puan, apabila kita fokus yang salah, ia mengganggu emosi.

Selepas ini terus sahaja sebutkan yang betul TANPA menyebut ayat seperti di atas atau seumpama dengannya.

Apabila kita fokus kepada yang betul, biasanya tiada berbaur emosi. Anak tidak berkecil hati.

Siapa yang tiada pengalaman begitu, terutama waktu kecil dengan guru mengaji. Biarlah, itu pengalaman lama kita. Usah diulang kepada anak-anak.

Perkara yang sama pernah dikongsikan oleh Puan Khadijah Gani di dalam fb beliau.


2. Sentiasa Gunakan Nada Suara Dada


Cuba puan sebut 'bagus, betul' sambil letakkan tangan di dada. Ada rasa getarannya? Jika ada bermakna puan menggunakan suara dada. Tiada rasa? Cuba lagi. Rendahkan lagi tona suara.

Apabila menggunakan suara dada, automatik suara kita direndahkan. Cuba berlatih, 'begini bacaannya'.


3. Tumpu Perhatian Kepada Perkara Yang Berlaku Sekarang

Perasan atau tidak, bebelan berlaku apabila kita mula menyebut perkara yang telah berlalu. Cerita tentang isu atau masalah. Berlatih untuk tumpu kepada solusi atau apa kita nak buat supaya jadi lebih baik.


Cukup tiga tips ini sahaja dahulu.

Jumpa lagi.

22.02.2018
Batang Kali

No comments:

Post a Comment