Markah adalah salah satu bentuk ganjaran sosial yang disukai oleh kanak-kanak.
Beberapa hari ini saya perhatikan pelajar kelas mengaji berlumba-lumba untuk mendapat markah penuh iaitu 30 markah.
Habis sahaja mengaji, mereka akan bertanya, "Berapa markah saya, Ustaz?"
Apabila mendengar ada di kalangan mereka yang mendapat markah penuh, mereka menunjukkan reaksi sorak sorai. Bukan kerana dengki atau tidak puas hati, namun bersorak gembira mendengar markah kawan dan berlumba untuk mendapatkan markah penuh juga.
Ada seorang pelajar lelaki berbadan gempal usia 9 tahun. Beliau sebelum ini jarang mengaji lebih daripada sekali. Peningkatan kualiti bacaan pelajar ini semakin baik apabila kami berikan ganjaran markah. Nampaknya ganjaran markah menjadi dorongan kepada beliau untuk mengaji berulang kali dan membetulkan bacaan.
Apabila habis bacaan, pelajar akan bertanya, "Ustaz, berapa markah saya?"
"20 markah"
"Kenapa 20 markah, kenapa tidak 30 markah?"
Pada asalnya kami ingat beliau tidak puas hati kerana tidak mendapat markah penuh. Apa yang berlaku adalah beliau akan perbaiki kelemahan yang ada untuk mendapat markah penuh.
Pelajar ini sudah baik dari sudut bacaan, apa yang kami mahu pertingkatkan adalah bacaan dalam satu nafas. Kami ajarkan cara pernafasan yang betul apabila mengaji ayat demi ayat. Bagaimana untuk berhenti dan memulakan bacaan. Alhamdulillah kualiti bacaan beliau semakin baik.
Pelajar ini apabila masuk sahaja terus mencapai Al-Quran dan mengaji. Sebelum ini suara beliau yang paling kuat, bergurau dan ketawa.
Hairan, ada apa dengan markah?
Walaupun hanya markah, ianya seperti satu pengiktirafan kepada pelajar-pelajar ini.
Apabila kami memuji "Bagus bacaan tadi, bacaan yang seperti ini sudah boleh masuk pertandingan tilawah Al-Quran."
Senyum meleret sampai ke telinga. Masya Allah.
Itulah teknik ganjaran yang kita ikut berdasarkan hadis. Bagaimana Nabi Muhammad (selawatlah ke atas baginda) memberi ganjaran kepada sahabat yang melakukan kerja betul.
Apa yang Nabi Muhammad lakukan sudah tentu ada hikmah dan pengajaran terbaik. Sekiranya apabila kita lakukan teknik itu tidak berkesan, kefahaman dan teknik yang kita gunakan itu tidak betul. Tukar skrip, ubah teknik.
No comments:
Post a Comment