Saya jarang menceritakan tentang kelas mengaji saya di rumah setiap malam Isnin hingga Khamis setiap minggu. Setiap malam tersebut saya memakai topi sebagai ustazah dan suami sebagai ustaz. Terasa janggal pada awalnya apabila anak-anak mengaji memanggil dengan panggilan Ustazah.
Sekarang dengan bilangan pelajar hampir 15 orang (belum termasuk anak-anak sendiri). Anak-anak ini adakala menjadikan saya seorang penyabar, namun ada masa juga saya menjadi seperti seekor ibu singa yang kelaparan. Terkocoh-kocoh mengejar masa, solat dan bersiap untuk kelas mengaji jam 8 - 9 setiap malam.
Kelas mengaji ini telah bermula sejak Oktober 2013. Bermula dengan anak jiran-jiran seramai 7 orang dari 5 hingga 12 tahun. Angka itu semakin bertambah walaupun ada yang sudah berpindah dan sudah habis mengaji.
Masih ada ibubapa yang pentingkan khatam al-Quran. Namun bagi saya khatam itu tidak penting. selalu saya ingatkan anak-anak mengaji supaya tidak perlu mengaji dengan Ustazah sampai khatam. Asalkan sudah pandai mengaji dengan baik dan betul tajwidnya sudah cukup. Boleh teruskan mengaji di rumah setiap hari. Walaupun begitu ada kelompongan yang perlu diisi ialah mengajar isi kandungan al-Quran itu sendiri.
Pada awal kelas ini bermula, saya menggunakan Kaedah Al-Baghdadi, kemudian pengukuhan dengan Iqra'. Terutama bagi anak-anak yang baru hendak bermula, saya perlbagaikan kaedah mengikut kesesuaian. Kad imbas banyak digunakan untuk anak-anak kecil seawal usia 5 dan 6 tahun yang baru hendak belajar.
Letih? Bosan? Memang ada. Sehinggakan pernah saya suarakan kepada Tuan Anuar supaya menggajikan sahaja guru al-Quran untuk kelas mengaji ini. Namun buat masa ini kami akan teruskan dengan kelas traditional seperti ini. Sedikit demi sedikit penambahbaikan dan perubahan kami lakukan. Buku Rekod Kehadiran dan Buku Rekod Bacaan setiap pelajar antara penambahbaikan untuk tahun 2015. InsyaaAllah akan ada perubahan dan penambahbaikan di masa akan datang. Mohon doakan kami.
Semasa menulis entri ini, saya teringat seorang anak mengaji berusia 8 tahun. Beliau mula mengaji dengan saya pada penghujung 2013 ketika usianya 6 tahun. Seorang anak lelaki yang berbadan tegap dan mempunyai suara yang kuat. Walaupun pada awalnya beliau perwatakan kasar namun kini saya lihat perubahan yang semakin baik. Beliau merupakan anak pertama dari 3 orang adik beradik. Semuanya lelaki.
Semalam beliau sudah masuk Juzuk ke-2. Bermula dari Iqra' 1, Muqaddam dan sekarang sudah dapat membaca al-Quran dengan baik. Beliau antara anak mengaji yang rajin datang walaupun ketika batuk dan sakit tekak. Saya selalu mendorong anak ini dengan pujian, memberikan ganjaran pahala apabila membaca berulang. Sehinggakan sebelum pulang, tanpa disuruh beliau akan mengemas al-Quran dan kerusi, bersalaman dan memberi salam dengan lembut. Allah, anak ini apabila bercakap lembut itu sudah satu bonus!
terutama apabila berhadapan dengan anak-anak ini. Tips untuk lebih tenang? Guna teknik nabi. Bagaimana caranya? Saya kongsikan di entri yang lain, InsyaaAllah.
No comments:
Post a Comment