Monday, 25 May 2015

Mendorong Anak Menggunakan Pujian

TIP 1: Mendorong Anak dengan Menggunakan Pujian

Salah satu tip untuk mendorong anak mengekalkan kerja baik yang dilakukan adalah menggunakan pujian. Pujian yang diberikan kepada anak itu mempunyai dua peranan:
a) Membetulkan konsep diri, iaitu apa yang dia percaya tentang dirinya
b) Meningkatkan estim diri. Estim diri positif membentuk tingkah laku positif.

Bagaimana teknik memuji yang betul?
1) Berikan pujian kepada usaha, hasil kerja, kerja baik atau prestasi yang ditunjukkan oleh anak-anak.
2) Sebut usaha, hasil kerja dan prestasi secara spesifik
3) Nyatakan ganjaran baik yang diterima apabila perkara itu dilakukan.
4) Pujian serta merta, jangan ditangguhkan pada hari dan masa lain.
5) Pujian diberi secara terbuka apabila ia dilakukan secara terbuka

Contoh skrip memuji:

Skrip 1
"Abang solat awal waktu hari ini (memuji hasil kerja).
Allah dan Nabi menyukai orang-orang yang menjaga solat” (ganjaran baik)

Skrip 2
“Tulisan kamu kemas. (memuji hasil kerja)
Senang cikgu membacanya.” (impak positif)

Skrip 3
“Inilah yang menggembirakan hati ibu. Kemas bilik Muaz (memuji hasil kerja)
Barulah Muaz dan adik-adik boleh belajar dengan selesa.” (impak positif)


Apakah kesan baik apabila pujian diucapkan menggunakan teknik yang betul?
Mendorong anak untuk mengulang kerja baik itu
Mendorong anak untuk melakukan kerja baik yang lain
Mendorong anak lain meniru kerja baik itu


-Ebook Mendorong Tingkah Laku Positif Anak Gen New Aplikasi Teknik Nabi

Saturday, 16 May 2015

Tutup Mata Pada Kesalahan Kecil, Puji Kebaikan

Teks: Wan Rohani Wan Ismail

Kajian menunjukkan masalah tingkah laku anak-anak berkait rapat dengan cara ibu bapa atau guru berinteraksi dengan anak-anak.
.

Sebagai ibu bapa, ada masa buntu apakah tindakan yang wajar untuk memberikan tindak balas terhadap tingkah laku anak-anak. Pada masa itulah Teknik Nabi memainkan peranan dalam memilih tindakan yang betul.

Apabila mula menggunakan teknik ini, ibubapa kurang beban emosi. Anak-anak juga kurang mengalami kecederaan emosi. Bercakap dengan tenang, tutup mata pada kesalahan dan puji kebaikan anak-anak walaupun kecil.
.

Anak-anak yang bank emosi mereka penuh dengan pujian dan kata-kata dorongan menjadi anak yang lebih matang dan tinggi self-estim.

Thursday, 14 May 2015

Menerangkan Peraturan Atau Menghukum?

Teks: Wan Rohani Wan Ismail
Imej: Sumber Google

Saya pernah kongsikan di facebook cerita ini. Perbualan antara saya dan anak perempuan berusia 8 tahun.

------------------------------------------------------

Anak perempuan saya bercerita tadi semasa kami di dalam kereta. 
Beliau mulakan perbualan dengan pertanyaan.

"Ibu, denda itu apa? Dulu masa sekolah tahun lepas, Aiesyah kena denda sebab tidak pandai baca Bahasa Inggeris. Cikgu suruh Aiesyah berdiri atas kerusi".

Saya menjawab spontan, "Denda itu adalah sejenis hukuman".

Aiesyah tidak puas hati, beliau mengadu lagi, katanya;

"Ada kawan Aiesyah datang lambat ke sekolah, cikgu suruh dia berdiri atas meja."

Saya bertanya, "Adakah wajar cikgu denda atau marah pelajar yang datang lewat?"

"Tidak patut kena marah atau denda"

"Jadi apakah yang cikgu sepatutnya lakukan?"

"Beritahu sahajalah!"

"Kenapa?"

"Nanti malulah dengan kawan-kawan yang duduk dalam kelas bila kena denda"

---------------------------------------------------------------
Semasa mengendalikan Bengkel Mendorong Anak Menggunakan Teknik Nabi di Kerteh baru-baru ini, saya terbaca satu artikel yang menarik minat saya untuk berkongsi di sini.

Artikel itu menyebutkan bahawa kajian menunjukkan bahawa menerangkan peraturan adalah lebih berkesan dari hukuman. Nampaknya artikel tersebut selari dengan apa yang diberitahu oleh anak kecil berusia 8 tahun. 

Saya melihat dari sudut bagaimana hukuman itu boleh menjatuhkan self-estim anak. Anak kecil juga ada maruah diri, mereka juga berasa malu diperlakukan sedemikian.

Apabila menerangkan peraturan; 
+ Adakah peraturan itu difahami oleh anak?


+ Adakah peraturan itu disebut dengan jelas dan berulang-ulang?

In shaa Allah saya berkongsi lagi.

Thursday, 23 April 2015

Apabila Anak Mengucapkan In shaa Allah

Minggu lepas anak-anak bantu ibu kemas bilik masing-masing dan ruang tamu. Mereka telah alihkan perabot dan alatan kecil seperti meja belajar dan ampaian tuala mengikut citarasa sendiri. Walaupun anak-anak jarang berkemas, namun mereka pandai berkemas dan ada citarasa susun atur sendiri.

Hujung minggu selepas itu, saya mendengar anak-anak bercakap sesama mereka tentang apa yang mereka mahu lakukan.

Umar: Aiesyah, hari ini kita bersihkan bilik ibu pula, nak?

Aiesyah: Emmm....

Umar: Minggu lepas kita sudah kemaskan bilik kita dan ruang depan, bilik ibu sahaja yang belum kemas.

Aiesyah: Boleh juga tu.

Ibu: Nanti petang, boleh tolong ibu bersihkan halaman rumah?

Umar: Macamana mahu bersihkan, ibu?

Ibu: Mudah sahaja, tolong kutip sampah dan sapu halaman, itu sahaja.

Umar: Ok, beres.

Ibu: Ok

Umar: Eh, In shaa Allah. Kena cakap In shaa Allah ibu, bukan ok, bukan beres.

Ibu: Baik, In shaa Allah.


Ya In shaa Allah. Sebagai ibu sepatutnya saya yang mengingatkan tentang itu. Anak yang berusia 6 tahun itu semakin faham bila perlu disebutkan In shaa Allah.

Petang itu, mereka tidak bersihkan halaman kerana asyik bermain basikal.


Monday, 20 April 2015

Tangani Anak Nakal

Teks oleh: Wan Rohani Wan Ismail

"Saya tidak tahu nak buat apa lagi"
"Anak saya ni nakal sangat, bila kita cakap dia buat tak tahu"

Keluh seorang ibu kepada saya semasa kami berjumpa di majlis rumah terbuka. Saya senyum sahaja, tidak tahu bagaimana untuk memulakan bicara.

Saya bukan pakar kanak-kanak, pengalaman masih sangat cetek. Namun saya percaya setiap anak yang dianugerahkan ada keistimewaan tersendiri. Ibubapa adalah pendidik dan pembimbing yang diamanahkan untuk menyemai serta membaja benih kebaikan dalam diri anak-anak.


Sebagai ibu yang bekerja di rumah, kesabaran selalu diuji. Adakala terikut juga dengan panahan syaitan dan nafsu amarah. Jadi perkongsian ini untuk ingatan diri sendiri, bagaimana menangani anak nakal.

1. Tiada istilah anak nakal
Tukar 'anak nakal' kepada 'anak kreatif' atau 'anak bijak' supaya sel-sel otak menterjemahkan yang sama. Setiap kali abang usik adik, tukar dari skrip "Jangan usik adik" kepada "Abang main dengan adik baik-baik". Setiap kali ibu menyebut, ia adalah doa. Ingat bahawa Allah akan mengikut apa yang kita sangka.


2. Jangan menjerit
Bercakap sambil menjerit sangat memalukan. Cukuplah menjerit, anak-anak juga punya harga diri. Mereka tidak nampak seperti berkecil hati tetapi memberi kesan dalam minda separa sedar. Apabila anak sudah biasa disuruh mendengar dengan jeritan bimbang anak tidak akan mendengar dengan cara lembut.

3. Beri perhatian
Adakala anak bertindak keterlaluan hanya untuk menagih perhatian daripada ibubapa. Apabila pulang ke rumah, berilah masa kepada anak-anak. Dengar apa yang mereka beritahu, pandang wajah dan berikan perhatian kepada apa yang dicakapkan. Bertanya kepada mereka, cakna apa yang berlaku. Teladani Rasulullah yang berpaling seluruh tubuh apabila bercakap. 
Tips mengendalikan anak yang sukar untuk mengikut arahan, duduk biar level kita dan anak sama dengan kata lain rendahkan badan, pegang muka dan pandang mata anak. Biar mata bertentang mata pada aras yang sama. Cakap dengan nada yang perlahan dan jelas. 
4. Puji mereka
Berilah perhatian kepada kelakuan baik anak. Puji serta merta. Apabila melihat abang ambilkan mainan adik yang jatuh, usah tunggu terus puji, "Ibu kagum abang tolong ambilkan mainan adik yang jatuh. Abang memang abang yang baik, ibu suka". 
Jangan perli dengan berkata, "Amboi baik sangatlah abang tu!" atau pujian yang bercampur dengan kenyataan negatif seperti ini, "Nanti lepas ambil mainan, usik adik pula".

Doa yang boleh diamalkan

5. Doakan anak-anak
Sentiasa doakan anak-anak apabila teringat. Bukan hanya selepas solat. Mohon Allah dorongkan kita menjadi ibubapa dan kawan terbaik untuk anak-anak. Moga anak-anak sentiasa lembut hati dan dijauhkan dari kebatilan yang berada di sekeliling mereka.

6. Tidurkan anak-anak
Lazimnya anak-anak suka tidur berteman. Ambil masa berkualiti ini untuk bercakap dengan anak-anak, selami hati mereka. Bercerita kisah teladan atau kisah kita masa kecil dahulu sebagai pengajaran buat mereka. Bacakan Al-Fatihah, Selawat, An-Nasyrah dan Surah Thoha 1-5 ke ubun-ubun anak semasa mereka tidur.

7. Sediakan makanan yang baik
Makanan yang diambil sedikit sebanyak memberi kesan. Kurangkan pengambilan gula atau coklat sekiranya anak kita sedia aktif. Berikan makanan yang baik daripada air tangan sendiri. Sesekali suapkan anak-anak makan.

8. Bacakan Al-Quran dan Hadis di rumah
Hadis adalah kata-kata Rasulullah yang penuh hikmah. Membacanya boleh melembutkan hati.

Berilah perhatian dan kasih sayang kepada anak, jika kasih sayang itu adalah ubat, maka ubat ini adalah yang terbaik untuk menyembuhkan segala penyakit yang ada

Apakah kita banyak senyum atau masam di depan anak-anak? Renungkan.