Wednesday 14 November 2018

Kenali Konsep Diri Anak

Konsep Diri adalah kepercayaan seseorang terhadap dirinya sendiri.

Saya seorang yang penyayang.
Saya suka membantu orang lain.
Saya rajin berkebun.
Saya berani bercakap di hadapan.
Saya bijak dalam Matematik.

Itu semua adalah konsep diri yang terbina dalam diri.

Bagaimana untuk tahu konsep diri anak? Tanyakan kepada mereka atau minta mereka senaraikan.

Saya seorang ........

Daripada senarai tersebut, kita boleh lihat adakah anak mempunyai semua konsep diri yang positif?

Contoh;

Ahmad seorang kanak-kanak periang berusia lima tahun. Ahmad sukar bangun awal pagi.
Oleh kerana setiap pagi ibu dan bapa terpaksa berkejar masa ke tempat kerja, Ahmad sering dimarahi kerana lewat bangun pagi. Ada masanya kerana mengejar masa, Ahmad tidak mandi, hanya menukar baju sekolah.

Ayahnya sering marah, sampai di sekolah guru pula memerli Ahmad, "Jangan jadi macam Ahmad, selalu datang lewat. Sudahlah lewat, tidak gosok gigi pula."

Walaupun begitu Ahmad masih tersengih menunjukkan giginya yang sedikit kuning apabila kawan-kawan mengketawakan dirinya.

Secara tidak langsung konsep diri yang terbentuk dalam diri Ahmad, lambat bangun pagi.

Walaupun begitu, konsep diri boleh berubah.

Dala kes Ahmad tadi, ibu bapa dan guru memainkan peranan mendorong Ahmad supaya dapat bangun pagi.

Bagaimana caranya?

Kita akan lihat dalam beberapa teknik yang akan dikongsi seperti teknik pujian, fokus kepada kebaikan dan bertanya soalan akhlak.


Wan Anie
.

Tuesday 13 November 2018

Pujian Sebagai Ganjaran Sosial Positif

Cara paling mudah untuk menaikkan keyakinan (self-estim) anak-anak adalah dengan pujian. Walaupun anak cuma melakukan perkara kecil.

Pujian adalah alat paling ampuh untuk digunakan sebagai ganjaran positif bagi tingkah laku baik anak-anak.

Apabila adik jatuh semasa bermain, abang datang bantu angkat adik. Sambil menenangkan adik, abang menepuk kuat badan adik membuang pasir halus yang melekat.

Perhatikan gelagat dua beradik itu, kemudian si ayah datang sambil memegang bahu abang, ayah berkata,

"Ayah lihat abang bantu adik tadi, itu adalah perbuatan yang mulia. Ayah bangga mempunyai anak yang suka menolong. Allah mengasihi orang yang mengasihi orang lain"

Tips memberi pujian:
1. Pujian mesti diberikan segera
2. Pujian diberikan secara terbuka
3. Pujian khusus kepada perkara yang dilakukan
4. Tutup mata pada kesilapan (tepuk adik dengan kuat)


Wan Anie
#NotaParenting
http://wanrohaniismail.blogspot.my/

Monday 12 November 2018

Pujian Diberikan Secara Spesifik

"Bagus" atau "Sangat baik" tidak cukup spesifik untuk mempengaruhi tingkah laku anak. Mendorong dengan pujian perlu spesifik dan jelas.

+ Ibu gembira kakak basuh pinggan selepas makan. Ringan kerja ibu.
+ Sukanya ibu lihat kakak berkongsi mainan lego dengan adik. Nanti adik boleh jadi bff kakak.
+ Bagusnya abang cuci dan vakum kereta. Bersih berkilat kereta kita.

Teknik mendorong anak berakhlak baik akan menerangkan dengan lebih terperinci bagaimana pujian sebagai ganjaran sosial yang mudah diberi.

Selain pujian, senyuman, doa, pelukan, kata-kata semangat merupakan ganjaran sosial positif yang tiada kos melaksanakannya namun memberi kesan kepada anak-anak.

Wan Anie
13.11.2018
#NotaParenting

Thursday 22 February 2018

Bagaimana Menegur Anak Tanpa Ada Yang Berkecil Hati

Teks: Wan Rohani Wan Ismail


Pernah kita sebagai ibu atau bapa menegur anak salah membaca, mengira, kemudian habis sahaja belajar anak berlari masuk bilik. Tidak keluar. Selepas sahaja kita menegur dengan tinggikan suara sedikit, berjuraian air mata sambil membaca teresak menahan sendur.

Pernah alami situasi begitu?

Ada tips supaya kedua pihak tidak diganggu emosi terutama semasa sesi itu berlaku.

1. Jangan tegur yang silap, beritahu sahaja yang betul

Apabila kita fokus kepada perkara yang silap, kita mudah naik angin, mudah emosi. Solusinya senang, beritahu sahaja apa yang betul.

Contoh anak mengaji salah bacaan, jangan disebut yang salah, jangan gunakan skrip ini, "Salah lagi, tadi ibu sudah beritahu. Hai, berapa kali nak ulang!"

Betul puan, apabila kita fokus yang salah, ia mengganggu emosi.

Selepas ini terus sahaja sebutkan yang betul TANPA menyebut ayat seperti di atas atau seumpama dengannya.

Apabila kita fokus kepada yang betul, biasanya tiada berbaur emosi. Anak tidak berkecil hati.

Siapa yang tiada pengalaman begitu, terutama waktu kecil dengan guru mengaji. Biarlah, itu pengalaman lama kita. Usah diulang kepada anak-anak.

Perkara yang sama pernah dikongsikan oleh Puan Khadijah Gani di dalam fb beliau.


2. Sentiasa Gunakan Nada Suara Dada


Cuba puan sebut 'bagus, betul' sambil letakkan tangan di dada. Ada rasa getarannya? Jika ada bermakna puan menggunakan suara dada. Tiada rasa? Cuba lagi. Rendahkan lagi tona suara.

Apabila menggunakan suara dada, automatik suara kita direndahkan. Cuba berlatih, 'begini bacaannya'.


3. Tumpu Perhatian Kepada Perkara Yang Berlaku Sekarang

Perasan atau tidak, bebelan berlaku apabila kita mula menyebut perkara yang telah berlalu. Cerita tentang isu atau masalah. Berlatih untuk tumpu kepada solusi atau apa kita nak buat supaya jadi lebih baik.


Cukup tiga tips ini sahaja dahulu.

Jumpa lagi.

22.02.2018
Batang Kali