Thursday 9 July 2015

Memberikan Ganjaran Sosial Pahala Kebaikan: 3 Dalam 1


Teks: Wan Rohani Wan Ismail

Petang semalam, kedua anak saya tidak berpuasa. Mereka sendiri memberitahu dengan jujur. Saya tidak marah. Saya tidak kritik. Mereka berdua masih dalam proses latihan.

Saya mencuba skrip baru dengan berkata,"Sesungguhnya orang yang tidak berpuasa boleh mendapat pahala kebaikan. Contohnya seperti membantu orang yang berpuasa."

"Seperti?" 

"Seperti mengangkat baju di ampaian."

Anak perempuan 8 tahun itu segera mengambil kunci, membuka jeriji dan mengangkat semua baju di ampaian.

Apabila Aiesyah masuk sahaja ke dalam rumah, saya terus memuji,"Sesungguhnya Aiesyah telah melakukan perkara kebaikan dengan membantu orang yang berpuasa. Malaikat di sebelah bahu kanan Aiesyah telah mencatat pahala untuk Aiesyah."

"Betul ke ibu?"

"Betul."

Tidak lama selepas itu, Aiesyah berkata sesuatu,"Ibu, hampir berbuka ni, boleh Aiesyah hidangkan makanan?"

"Boleh. Bersihkan tangan dahulu."

"Ok"

10 minit kemudian, saya dan Umar masuk ke dapur. Makanan sudah terhidang semuanya. Tinggal lagi mangkuk kecil untuk bubur dan cawan belum ada.


Aiesyah meluru ke arah saya dan bertanya, "Ibu, banyak pahala Aiesyah dapat?"

"Mestilah banyak. Cuma pahala ini kita tidak nampak sahaja."

Tiba-tiba Umar bersuara, "Umar pun nak pahala"

"Umar boleh tolong ambilkan mangkuk kecil dan cawan."

Silap saya tidak memuji Umar selepas dia membawakan mangkuk dan cawan. Waktu sudah hampir berbuka, sudah tidak ingat yang lain.

Selesai berbuka, MasyaAllah dengan tidak semena-mena, Aiesyah mengambil semua pinggan dan cawan kotor ke sinki. Tanpa disuruh dia mencuci kesemuanya.

Saya sungguh terkesima, bukan tidak pernah Aiesyah bantu saya cuci pinggan dan kemas meja. Namun kali ini lain sedikit.

Saya hanya puji sekali, namun kebaikan berganda tiga.

3 dalam 1



No comments:

Post a Comment