Thursday 14 March 2019

Anak membesar sekali sahaja, hargai setiap masa yang ada bersama mereka. Ini adalah penulisan Puan Norasikin di laman fb beliau.

Ada suatu petang saya duduk bersandar di dinding melihat anak-anak bermain. Saya tengok ada seorang anak ni kaki seluar dia dah senteng, seorang lagi dah nampak perutnya kerana singkat baju yang dipakai. Rasanya baru beberapa bulan saya beli, dah tak muat? Apa maknanya. Maknanya mereka dah besar dan semakin membesar.

Ketika tu saya merasakan hari-hari yang saya lalui bersama anak-anak dengan kesibukan. Hidup dengan stress. Semuanya perlu cepat. Cepat kemas rumah, cepat memasak, cepat uruskan anak kecil.  Tanpa sedar saya dah membataskan hubungan ataupun "disconnected" dengan anak yang lain walaupun anak didepan mata kerana saya adalah suri rumah semenjak lahirnya anak ketiga lima tahun lalu.

Saya ada empat anak. Bila masa banyak tertumpu pada si kecil yang berusia tiga tahun terasa kerap bersalah pada tiga kakak lain. Saya mengaku sejak lahir anak ke empat saya semakin jarang bermain bersama anak yang berusia lima dan enam tahun sekarang. Seperti semua tahu, dan saya juga tahu bermain sememangnya pekerjaan bagi kanak-kanak. Kita juga tahu kita harus bermain dengan anak supaya terus kekal berhubung dengan mereka. Tetapi jarang dan terasa berat nak buat.  Kenapa berat nak main dengan anak? Kerapkali malas dan letih dengan rutin harian jadi alasan.

Adakah sebab saya anggap mereka hanya kanak-kanak. Budak-budak apa mereka tahu. Aku dewasa. Banyak kerja menanti.

 "Alah..mainlah sendiri. Apa susah.."

"Pi main jauh jauh..kacau la orang nak buat ghejaa.."

Anak pun main, bila main dengan adik beradik yang lain  terlanggar meja makan, tumpah air atas meja. Dimarah lagi budak tu."Hampa budak, apa tau". Ialah kau dah dewasa. Mereka hanya kanak-kanak. "Tau main sajakan..takdak gheja lainkan... Main.. main.. main..pi ambil kain lap semua tu".

Adakah kerana saya rasa ini saya bebanan. Saya beritahu suami.

 " Kita patut main dengan anak selalu."

Suami menyangkal untuk perkataan selalu "tak payah selalu main. Ada masa demo nak main sendiri. Ada masa demo nak main berdua, ada masa nak main team. Kalu demo nak main dengan kita..kita main la sama.."

Baiklah, suami ada pointnya. Apa yang penting kita kena sama-sama gembira bila main bersama dengan. Bukan hanya sebelah pihak. Perlu bergembira bila main bersama  untuk rembeskan hormon gembira ni.

Main dengan anak salah satu interaksi kita bersama anak. Bermain bersama anak adalah sebagai jambatan perhubungan antara saya dan mereka.  Ya, ada masa anak nak bermain  berseorangan, ada masa perlu bermain dengan rakan dan adik beradik yang lain. Ada masa mereka nak bermain bersama kita. Mereka dambakan kita bermain bersama. Budak-budak takkan beritahu kita, "hari ni hari yang teruk buat saya. Boleh kita bercakap ibu?" Mereka taktahu nak meluah. Mereka selalunya akan cakap "ibu jom main sama-sama?"

Tempohari saya main dengan anak hanya 15min. Anak lima tahun saya sangat gembira. Sampai sekarang dia ungkit seronoknya main dengan saya. Sebenarnya saya hanya melayan dia pretend play. Acah membeli mainan yang dia pura-pura jual.

Jadi saya beritahu diri. Jika anak ajak main saya harus letak telefon ditepi kerana anak perlukan saya ketika itu. Anak tak ajak saya main selalu. Jika diajak bermakna mereka perlukan saya ketika itu. Bermain bersama, sebuah memori yang harus di simpan dalam kotak memori mereka, bukannya memori siaran tv atau youtube terbaik. Saya taknak mereka simpan memori yang mana perlu berkongsi kasih bersama telefon dan kerja rumah yang sememangkan takkan pernah habis.

Main dengan anak. Rasa macam bodoh jugakan kadang tukan? Tapikan percayalah kita je yang fikir begitu. Tidak pada anak-anak. Mereka sangat gembira. Bonus lain saya dapat selepas bermain bersama, saya dapati mereka lebih dapat kerjasama dan mendengar kata.

Saya ingatkan suami, ingatkan diri sendiri sekali lagi. Kalau ada masa terluang mainlah, bersama anak. Tak perlu berlama pun. 10-15min pun sudah membahagiakan anak-anak kemudian sambunglah kerja rumah kembali.

“Children don’t need more things. The best toys a child can have is a parent who gets down on the floor and plays with them.” ~ Anonymous

Masa yang kita luang untuk bermain bersama anak tiada istilah seperti membuang masa atau sia-sia.

Jangan malu bermain dengan anak dan bergurau senda dengan mereka kerana ini adalah sunnah Rasullullah saw. Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan Baginda bersabda kepada Anas bin Malik. "wahai Abu Umair apa yang dilakukan burung kecil itu?".

Baginda juga pernah membiarkan Aishah ra bermain main bersama kanak kanak perempuan yang lain semasa kecil. Aishah ra juga menceritakan bahawa beliau pernah bermain dengan kanak kanak perempuan di sisi Rasullullah saw. Apabila Rasullullah saw masuk ketika mereka sedang bermain, kanak kanak tersebut bersembunyi. Baginda merasa gembira dengan kehadiran mereka dan membiarkan mereka bermain bersama Aishah ra.

Baginda juga pernah menghembuskan air pada wajah kanak-kanak ketika bermain bersama mereka. Iman Bukhari meriwayatkan dari Mahmuf bin Rabi' ra katanya. "Aku telah dihembus dengan satu hembusan air pada wajahku oleh Rasulllulah saw. Baginda melakukan demikian dengan menggunakan air dari timba sedang usiaku pada waktu itu ialah lima tahun ". Rasullulah saw telah menghembuskan air pada wajah Mahmud barangkali untuk bergurau senda bersamanya ataupun untuk memberi keberkatan kepadanya sebagaimana yang biasa baginda lakukan kepada anak-anak para sahabat.

Jadi saya tanya diri. Nabi junjungan yang kita kasihi juga bermain dengan anak-anak, mengapa tidak saya? Tiada alasan. Anak membesar bukan berkali kali. Hanya sekali.

Allahumma salli `ala muhammadin wa`ala ali muhammad.

Rujukan bersama :
Mendidik Anak Gaya Rasullullah saw/Ustaz M.Zamani

#diarimakmak
#playfulparents