Friday 30 August 2019

Diplomasi Dengan Anak, Tegas Ada Masanya

Diplomasi atau berunding adalah salah satu sifat yang mahal harganya.

Kanak-kanak yang dididik dengan sifat pandai berunding biasanya senang diterima dan bijak bersosial dengan rakan sebaya mereka.

Contoh sifat berunding ialah apabila anak melihat adik bermain barang kesukaannya, anak boleh tawarkan sesuatu yang lain kepada adik untuk mendapatkan barangnya. Atau anak boleh bercakap baik-baik tanpa merebut barang itu.

Suatu sifat baik boleh dilatih dengan dua perkara;

1. Apabila ibu bapa dan pendidik menunjukkan caranya

2. Apabila ibu bapa dan pendidik sentiasa membuat rundingan yang baik dengan mereka.

Anak lazimnya akan mengikuti sifat dan tingkah laku seperti mana yang mereka lihat atau mereka alami.

Anak begini dilihat lebih matang dan pandai bawa diri. Mereka tahu mengawal emosi dan tidak mudah marah-marah.

Kadang kala sebagai ibu bapa kita perlu bertegas sedikit tanpa perlu marah-marah.


Semalam ada perkongsian daripada seorang pensyarah yang juga bapa. Beliu ceritakan bagaimana beliau bertegas dengan anak-anak sewaktu mereka keluar makan di restoran.

Beliau sudah pesan kepada anak-anak supaya 'behave' dan kawal tingkah laku apabila di restoran. Sementara menunggu makanan tiba, anak-anak beliau berlari di kawasan restoran tersebut.

Beliau berjumpa dengan pelayan, dan bertanya sekiranya makanan belum disiapkan, minta dibatalkan dan beliau mengajak anak-anak pulang ke rumah dengan perut kosong.

Apabila anak bertanya, beliau tegaskan bahawa keputusan perlu dibuat kerana anak-anak tidak dapat kawal tingkah laku, berlari dan mengganggu pelanggan lain di situ.

Jadi makan malam yang diidamkan oleh anak-anak dibatalkan atas faktor mereka sendiri. Semenjak itu anak-anak lebih berhati-hati dan mengawal tingkah laku apabila berada di kedai makan.

Nampaknya tegas dalam mendidik ini perlu supaya anak tahu bahawa kita serius apabila menerangkan sesuatu.

Begitulah, ada masa kita bergurau, namun ada waktu tegas itu perlu mendahului.

Biasanya bapa lebih mudah bersikap begini, itu sebab bapa dilihat lebih serius dan berpengaruh di hadapan anak-anak.

Ibu juga boleh bersikap begitu dengan berlatih. Kurangkan bercakap terus dengan tindakan.

Selamat bercuti menyambut Hari Kemerdekaan Ke-62 dan Salam Maal Hijrah 1441H.

Tinta Wan Anie
30 Ogos 2019.


No comments:

Post a Comment