Malam itu, seperti biasa anak-anak akan datang membawa buku yang mahu ibu bacakan. Sambil kepala sudah terlentok ke tangan, mata sudah layu.
Ibu, ceritalah.
Ok boleh. Sebelum tu ibu nak tanya boleh?
Siapa anak ibu yang solat hari ni?
Seorang anak menyahut, "Ammar".
Siapa anak ibu yang mengaji quran hari ni?
Anak yang sama menyahut, "Ammar"
Siapa anak ibu yang tolong ibu abah hari ni?
Dua-dua berebut memberitahu apa yang telah mereka lakukan hari ini.
Siapa anak ibu yang baca buku hari ini?
Memang ibu sendiri sudah tahu jawapan mereka. Berebut juga menunjukkan buku yang telah mereka baca pada hari tersebut.
Bagus. Bagus. Anak ibu yang melakukan perbuatan yang ibu sebutkan tadi pasti mendapat pahala kebaikan. Allah sayang anak yang solat, mengaji dan membantu ibu ayah.
Kalau Allah sayang, kita boleh masuk syurga ke ibu?
Itulah cita-cita semua orang yang beriman termasuk kita. Syurga yang super best.
Macam tu, esok Hadi nak solat jugalah.
Ammar pun nak solat penuh.
.
Apabila kita bertanya soalan untuk mendorong anak berakhlak baik, tanya soalan berikut:
1. Soalan yang berkaitan dengan perbuatan baik yang mahu anak lakukan.
2. Soalan tentang akhlak baik yang mudah untuk mereka lakukan.
3. Soalan yang sesuai dengan usia mereka.
Soalan yang ibu tanya tadi adalah berkaitan dengan solat, mengaji, membaca buku dan membantu ibu ayah. Itu semua adalah akhlak baik yang mahu ibu dorong anak lakukan setiap hari.
Dilarang untuk membuat sesi bertanya soalan ini semasa anak merajuk, marah, atau bergaduh dengan adik beradiknya.
Jangan bertanya sekiranya anak ralit bermain, menonton tv atau apa sahaja situasi yang menyebabkan anak kurang fokus.
Pilih masa yang sesuai, sebelum tidur, di dalam kenderaan atau semasa makan bersama.
Sesuai juga untuk mulakan sesi pembelajaran di sekolah dengan bertanya soalan akhlak yang berkaitan dengan pelajar.
Lakukan berulang kali. Ia adalah satu proses dan bukan keajaiaban.
Mudah mudahan anak kita semua didorong dengan kebaikan dan menjadi penyejuk mata.
Satu doa yang bagus untuk diamalkan sentiasa, baca apabila teringat anak-anak kita. Bayangkan wajah mereka.
"Tuhanku, anugerahkan kepadaku (anak) yang termasuk di kalangan orang yang soleh."
Ini adalah doa Nabi Ibrahim AS sebelum dikurniakan anak Nabi Ismail AS.
Mudah mudahan Allah kurniakan kita anak yang soleh. Amin.