Monday, 13 June 2016

Anak-Anak Belajar Melalui Kesemua Deria

Semasa mengisi petrol pagi tadi, saya terbau satu haruman pencuci lantai. Bauan yang pernah saya hidu 3 tahun lepas.

Pencuci ini selalu digunakan oleh pembantu tadika semasa saya mengajar di tadika sepanjang 2013. Betapa deria bau dapat mengimbau kembali segala memori yang berlaku pada tahun tersebut. Kuatnya peranan satu pancaindera yang dianugerahkan Tuhan kepada kita.

Seusai mengisi minyak, ketika memandu saya terfikir. Adakah saya sebagai pendidik dan ibubapa telah menggunakan keseluruhan pancaindera bagi merangsang perkembangan anak-anak? Atau hanya menggunakan deria dengar dan lihat?

Apabila bercakap anak mesti dengar, apabila tunjukkan sesuatu anak perlu lihat.

Bukahkah anak-anak belajar melalui kesemua deria yang dianugerahkan kepada mereka?


Nota Fikir
9 Ramadan 1437H


Sunday, 12 June 2016

Doakan Ibu Sentiasa Kuat

Anak ketiga saya datang menyapa, "Ibu ni asyik tidur sahaja"

"Ibu rehat sekejap"

"Habis kenapa tutup mata?"

"Ibu bertafakur"

"Tafakur tu tidur lah tu"

Memang ibu hampir terlelap tadi, terkejut mendapat sapaan daripada Umar.

Andainya anak-anak tahu, tenaga ibu semakin lemah. Usia kandungan hampir mencecah 34 minggu. Badan ibu semakin lesu walaupun ibu sudah ambil beberapa makanan tambahan untuk membantu kecergasan.

Andai anak-anak tahu, tidur malam ibu sering terganggu. Sukarnya ibu mendapat lena yang panjang. Mengiring ke kanan tidak kena, ke kiri juga sama.

Andai anak-anak tahu, kaki ibu semakin lemah apabila berdiri lama. Menampung beban yang semakin bertambah. Pinggang lenguh.

Perjalanan 40 minggu ini bukan mudah apabila usia semakin meningkat. Anak semakin ramai.

Apabila anak-anak besar kelak, jangan lupa membantu sehabisnya apabila isteri berbadan dua. Perjalanan yang panjang sehingga anak habis menyusu. Ada masa emosi terganggu, usah mengambil hati. Berikan sokongan dan perhatian. Zuriat di dalam rahim juga perlukan belaian dan emosi positif seorang ayah.

Walau memenatkan, namun ibu masih bertahan. Doakan ibu sentiasa kuat meniti minggu-minggu akhir ini.

Wan Anie
34 minggu
8 Ramadan 1437H



Wednesday, 13 April 2016

Ganjaran Markah Sebagai Dorongan


Markah adalah salah satu bentuk ganjaran sosial yang disukai oleh kanak-kanak.

Beberapa hari ini saya perhatikan pelajar kelas mengaji berlumba-lumba untuk mendapat markah penuh iaitu 30 markah.

Habis sahaja mengaji, mereka akan bertanya, "Berapa markah saya, Ustaz?"

Apabila mendengar ada di kalangan mereka yang mendapat markah penuh, mereka menunjukkan reaksi sorak sorai. Bukan kerana dengki atau tidak puas hati, namun bersorak gembira mendengar markah kawan dan berlumba untuk mendapatkan markah penuh juga.

Ada seorang pelajar lelaki berbadan gempal usia 9 tahun. Beliau sebelum ini jarang mengaji lebih daripada sekali. Peningkatan kualiti bacaan pelajar ini semakin baik apabila kami berikan ganjaran markah. Nampaknya ganjaran markah menjadi dorongan kepada beliau untuk mengaji berulang kali dan membetulkan bacaan.

Apabila habis bacaan, pelajar akan bertanya, "Ustaz, berapa markah saya?"

"20 markah"

"Kenapa 20 markah, kenapa tidak 30 markah?"

Pada asalnya kami ingat beliau tidak puas hati kerana tidak mendapat markah penuh. Apa yang berlaku adalah beliau akan perbaiki kelemahan yang ada untuk mendapat markah penuh.

Pelajar ini sudah baik dari sudut bacaan, apa yang kami mahu pertingkatkan adalah bacaan dalam satu nafas. Kami ajarkan cara pernafasan yang betul apabila mengaji ayat demi ayat. Bagaimana untuk berhenti dan memulakan bacaan. Alhamdulillah kualiti bacaan beliau semakin baik.

Pelajar ini apabila masuk sahaja terus mencapai Al-Quran dan mengaji. Sebelum ini suara beliau yang paling kuat, bergurau dan ketawa.

Hairan, ada apa dengan markah?

Walaupun hanya markah, ianya seperti satu pengiktirafan kepada pelajar-pelajar ini.

Apabila kami memuji "Bagus bacaan tadi, bacaan yang seperti ini sudah boleh masuk pertandingan tilawah Al-Quran."

Senyum meleret sampai ke telinga. Masya Allah.

Itulah teknik ganjaran yang kita ikut berdasarkan hadis. Bagaimana Nabi Muhammad (selawatlah ke atas baginda) memberi ganjaran kepada sahabat yang melakukan kerja betul.

Apa yang Nabi Muhammad lakukan sudah tentu ada hikmah dan pengajaran terbaik. Sekiranya apabila kita lakukan teknik itu tidak berkesan, kefahaman dan teknik yang kita gunakan itu tidak betul. Tukar skrip, ubah teknik.


Monday, 7 March 2016

Mendorong Anak Melakukan Kerja Rumah

Perkongsian pengalaman memuji gaya Nabi Muhammad (bacalah selawat) oleh Puan Roslina Sobri.

Assalamualaikum.saya  mohon berkongsi pengalaman ini dengan anda semua.Secara dengan konsisten,saya menggunakan teknik nabi untuk mendorong anak saya bila dia mengemas ruang tamu.Umurnya 5 tahun.Sudilah kiranya saya berkongsi bahawa bila kita mendorong anak dengan teknik dorongan gaya Nabi Muhammad s.a.w,memang rasa percaya diri pada anak-anak sangat meningkat.Jati diri atau persepsi dia mengenai dirinya akan berubah.
Kita lihat dahulu bagaimana teknik Nabi mendorong melakukan kerja baik.
Saya kongsikan bagaimana teknik mendorong anak melakukan kerja baik.Teknik ini saya aplikasikan selalu supaya dia kemas ruang tamu sendiri,supaya dia yakin yang dia mampu mengemas ruang tamu sendiri dan supaya dia selalu nak kemas lagi sendiri.Sesuai dengan umurnya..baru 5 tahun.

Anak saya sangat suka aktiviti menggunting (montessori learning).Dia akan ambil gunting dan gunting-gunting kertas sehingga bersepah.Bukan senang lepas main nak suruh dia kemas semula.Bukan saya tak boleh sapu.Saya nak mendorong dia buat sendiri.

Puji perbuatannya yang baik


“Pandai anak mummy menggunting. Menggunting menguatkan otot dijari tangan. Nanti cantik tulisan bila dah pandai menulis”
Saya beritahu dia,sebelum ini dia pandai mengemas ruang tamu.Ayahnya juga memuji bila dia kemas ruang tamu – Puji hasil kerja walaupun tak seberapa atau salah.
“Noura tolong sapu kertas-kertas yang berselerak.Mummy tahu Noura pandai menyapu dan kemas depan.Mummy tutup pintu ruang tamu. Nanti bila dah kemas Noura panggil mummy ke ruang tamu. Buat surprise!”
Saya tutup pintu..tunggu lama…alahai anak. =)

mendorong-anak-dengan-teknik-nabi-13
Dia dah kemas sikit.Saya minta izin untuk masuk. Dia tengah menjalankan proses mengemas.Saya puji hasil kerjanya.
“Wah,Alhamdulillah dah kemas sikit.Jom-jom kita kemas lagi sampai bersih.”
“Nak tak mummy tolong Noura mengemas?”
Itu tugasan dia,kita minta izin ingin membantunya. She will take the pride. Dia angguk
mendorong-anak-dengan-teknik-nabi-14
Siap kemas.Pejam mata pada kesalahan-kesalahan kecil.Puji serta merta HASIL KERJA dan USAHAnya.
“Wow!Kemas terus ruang tamu Noura kemas”.
Muka bangga,self esteem meningkat.Dia ada percaya diri yang dia memang mampu kemas ruang tamu.Saya dah lama buat,sampai dia memang rasa dia pandai kemas ruang tamu tu.Lepas ni Insyaallah mummy ada pembantu kemas ruang tamu.
Sekian.Selamat berkongsi manfaatnya

Wednesday, 24 February 2016

Memuji Anak Tidak Perlu Melambung Tinggi, Asalkan Melekat Di Sanubari

Seawal jam 5.30 pagi anak-anak telah bangun, mandi dan bersiap. Apabila azan Subuh berkumandang, anakanda berdua telah bersedia untuk mengikuti ayah mereka ke masjid.

Apabila mereka kembali ke rumah, ibu mereka bertanya;

"Apakah yang menyebabkan anakanda berdua bangun awal dan solat di masjid pagi ini?"

Hampir serentak, anak-anak menjawab, "Kami mahu 27 pahala"

Mendengar itu, ibunya terus berkata, "(Subhanallah) Maha Suci Allah yang telah memberi hidayah kepada anakanda berdua membuatkan ayah dan ibunya redha."

Anakanda berdua itu keluar dari rumah menuju ke sekolah dengan wajah berseri-seri.

----------------------------------------------------------------------------

Ini adalah salah satu contoh skrip memuji yang boleh digunakan apabila anak-anak melakukan perintah Allah tanpa disuruh. Mereka terdorong melakukannya dengan dorongan dalam diri mereka sendiri (intrinsik).

Pujian tidak perlu melambung tinggi asalkan melekat di sanubari.