Sunday, 27 December 2015

Kanak-Kanak Belajar Daripada Pengalaman Sendiri

Kanak-Kanak Belajar Daripada Pengalaman Sendiri

Anak-anak mudah belajar apabila mengalami sendiri perkara tersebut.


Sebagai contoh:
1. Anak melihat gambar gajah
2. Anak melihat replika gajah
3. Anak melihat gajah

Dalam 3 situasi ini, pengalaman yang mana membuatkan anak-anak lebih faham dan tahu tentang gajah?


Gajah adalah haiwan yang selalu disebut atau haiwan yang mudah dilihat di dalam buku kanak-kanak terutama buku mengenal haiwan atau buku perkataan pertama saya. Malah gajah juga adalah haiwan yang ada disebutkan di dalam Quran di dalam Surah Al-Fiil.

Anak-anak lazimnya tahu tentang gajah, rupa gajah, gajah ada belalai, telinga gajah besar. Namun sekiranya anak tidak melihat sendiri mereka tidak dapat membayangkan sebesar mana gajah tersebut.

Beberapa bulan lepas, kami sempat singgah di Pusat Intervensi Gajah di Temerloh. Apabila melihat sendiri gajah secara live (hands on experience) anak-anak lebih tahu detail tentang gajah. Semasa di sana, kami membiarkan sahaja anak-anak memerhati dan bercakap sesama mereka.

Apabila pulang, anak-anak mula melukis haiwan tersebut. Kali ini lukisan mereka lebih detail. Siap dengan bulu-bulu di badan gajah, makanan yang gajah makan serta bilangan anak kaki gajah (yang bulat seperti jari/kuku). Sehinggakan kami sendiri terkejut dengan pemerhatian detail anak-anak.

Jujurnya saya sendiri tidak tahu bilangan anak kaki gajah walaupun sudah berusia lebih 30-an ini.

Sekarang baru saya faham kenapa pengalaman sebenar itu lebih bermakna kepada kanak-kanak.


Tuesday, 27 October 2015

Konsep Tauhid Melalui Story Telling

Perbualan semalam bersama anak lelaki 6 tahun selepas beliau membuat latihan dikir barat yang akan dipersembahkan di Festivel Sastera Kanak-Kanak esok 29 Oktober 2015.

Umar: Ibu, sembah berhajat itu apa?

Ibu: Emm, Umar agak-agak apa?

Umar: Entahlah. Sembah berhala tu Umar tahulah maksudnya sembah patung. Mana boleh kita sembah berhala kan ibu?

Ibu: Betul. Kenapa pula kita hendak sembah patung yang dicipta sendiri oleh manusia.

Umar: Orang yang sembah berhala tu ingat patung itu Tuhan. Tuhanlah yang cipta kita, mana ada manusia cipta Tuhan.

Ibu: Betul, betul, betul.

-----------------------------------------------------------------------

Cerita sembahan berhala banyak dicatatkan di dalam kisah-kisah Nabi. Golongan penyembah berhala sukar meninggalkan amalan nenek moyang mereka.

Saya teringat kepada kisah Nabi Ibrahim berdialog dengan kaum beliau.



Di manakah Tuhan?

Apabila melihat bintang bersinar di waktu malam. Inikah Tuhan?
Namun bintang hilang apabila siang menjelang.

Apabila melihat matahari galak memancarkan sinar. Inikah Tuhan?
Namun matahari hilang cahaya apabila senja berlabuh.

Lalu di manakah Tuhan?

Kisah Nabi Ibrahim bersama kad cerita kami masukkan ke dalam Modul Huffaz Cilik yang pertama. Anak-anak belajar konsep ketuhanan dengan cara mudah dengan penceritaan menggunakan Kad Cerita Bergambar saiz A3.



Thursday, 15 October 2015

Tips Komunikasi Berpengaruh Anak-Anak


Tips Komunikasi Berpengaruh Anak-Anak
(sambungan)

+ Apabila anak memberitahu sesuatu, jangan menduga-duga perbuatannya. Biarkan mereka beritahu sehingga habis. Lihat dan dengar apa yang zahir sahaja.

+ Jangan melabel anak-anak.
   "Isk kakak ini macam nenek, pot pet pot pet."
   "Itulah kamu suka sangat berbohong."

+ Apabila anak menceritakan tentang perbuatan baik yang dilakukan, puji perbuatan itu.

+ Apabila melarang anak melakukan sesuatu, beritahu apa yang mereka tidak boleh buat dan apa yang boleh mereka buat.

Jadi ibubapa berpengaruh, bukan menyuruh-nyuruh.

#NotaParenting

http://wanrohaniismail.blogspot.my/

Wednesday, 14 October 2015

Tips Komunikasi Berpengaruh Anak-Anak


Tips Komunikasi Berpengaruh Anak-Anak

+ Apabila anak menceritakan tentang sesuatu, dengar dan angguk-anggukkan kepala atau berkata ya, ya walaupun apa yang diceritakan itu ada keraguan.

+ Apabila anak bertanya atau mahu berikan respons, gunakan perkataan yang baik. Bahasa positif.

+ Jangan sebut atau ungkit perbuatan buruk yang pernah anak lakukan untuk dijadikan pengajaran. Padam rekod lama.

+ Dengar anak bercakap sehingga habis, jangan mencelah. Tunggu giliran bercakap. Ini mengajar anak supaya mendengar apabila orang bercakap dan tunggu giliran untuk bercakap.

Bersambung...

#NotaParenting

Wednesday, 7 October 2015

Mendorong Anak-anak Menggunakan Nama Gaya Nabi Muhammad


Mendorong Anak-anak Menggunakan Nama Gaya Nabi Muhammad.

Nama kita merupakan 'label' bagi kita. Nama kita menunjukkan siapa diri kita. 

Orang kafir Quraisy telah menghantar Suhail bin Amr untuk berunding dengan Nabi Muhammad dalam peristiwa Perjanjian Hudaibiyyah. Suhail bermaksud mudah. Nabi Muhammad memuji Suhail dengan berkata, "“Sungguh beliau meMUDAHkan urusan saudara semua. Setiap kali orang-orang Quraisy mahukan rundingan, mereka pasti menghantar orang ini.” Rekod Sahih al-Bukhari.

Nabi Muhammad juga memuji nama individu tersebut serta nama tempat dan kabilahnya. 

Sebagai contoh, Buraidah adalah salah seorang sahabat Nabi Muhammad. Buraidah bermaksud dingin dan sejuk. Sewaktu berjumpa Nabi Muhammad, beliau memberitahu Nabi Muhammad bahawa namanya adalah Buraidah. Nabi Muhammad berkata kepada Abu Bakar, “Urusan kita akan dingin.” Yakni tenang dan nyaman. 

Nabi Muhammad bertanya, “Saudara dari mana?” Buraidah menjawab, “Dari Aslam.” Aslam bermaksud selamat. Nabi Muhammad berkata kepada Abu Bakar, “Kita akan selamat.” Nabi bertanya lagi, “Dari kumpulan mana?” Buraidah menjawab, “Sahm.” Sahm bermaksud panah. Nabi Muhammad berkata, “Panah saudara akan meluncur keluar.” – Rekod al-Syamail fi al-Nabiy al-Mukhtar oleh al-Husin bin Mas’ud al-Baghawi al-Syafie (m. 515H)

Teknik :
Katakanlah anak kita bernama Aqil. Dia berumur 5 tahun. Aqil bermaksud pintar, bijak cerdik. Dialog boleh dilakukan seperti berikut :
Ibu : Siapa yang bernama Aqil?
Aqil : Saya!
Ibu : Aqil bermaksud bijak. Ibu mendoakan Aqil BIJAK memilih kawan. Pilih kawan-kawan yang suka menolong orang lain.
Aqil : Baik ibu!

Tukar skrip setiap hari dan beritahu maksud namanya memandangkan namanya adalah dalam Bahasa Arab, sehingga anak itu sudah biasa dengan maksud namanya. Apabila dia sudah tahu maksud namanya, ia akan menjadi 'label' bagi dirinya. Teknik ini juga sesuai untuk guru-guru pra sekolah dan sekolah rendah.