Sunday, 19 April 2015

Perkembangan Bahasa Kanak-Kanak Menggunakan Kad Imbas Bergambar

Teks dan foto: Wan Rohani Wan Ismail

Mahukah Puan saya kongsikan satu cara mudah untuk bergembira dengan anak-anak?

Kad Imbas Bergambar ini saya beli 2 tahun lepas. Waktu itu saya hanya menceritakan kepada anak-anak pelajar tentang kisah Si Ayam berdasarkan gambar pada kad. Ia habis di situ. Tidak banyak idea untuk menggunakan kad imbas ini.

Selepas menghadiri bengkel Berfikir Aras Tinggi beberapa bulan lepas, serta sesi perjumpaan dengan guru yang mengamalkan kaedah HOTS ini, idea menggunakannya semakin berkembang.


Rupa-rupanya satu produk Kad Imbas Bergambar ini boleh dipelbagaikan permainan. Sebagai contoh, permainan bahasa, permainan bercerita mengikut imaginasi sendiri, mereka cerita selepas dan sebagainya.

Kali ini saya kongsikan permainan perkembangan bahasa yang saya pernah lakukan bersama anak 6 dan 8 tahun.

Bagaimana permainannya?

1. Pilih satu kad dan letakkan di atas meja.

2. Minta anak perhatikan gambar betul-betul

3. Sebutkan apa-apa sahaja yang terlintas di fikiran apabila melihat tersebut.

4. Tuliskan di kepingan kertas kecil atau sticky note.

Untuk sekeping kad imbas bergambar ini, anak 6 tahun berjaya keluarkan 19 patah perkataan.



Oleh kerana anak lelaki 6 tahun belum pandai menulis jadi saya tolong tuliskan.

Sebagai ibu saya juga belajar sesuatu, contohnya anak saya bertukar janggut kepada misai :D
Saya sendiri tidak tahu apakah perkataan yang tepat, sehingga diberitahu di dalam komen oleh seorang guru. 



Selamat mencuba! In shaa Allah jumpa lagi.

Thursday, 2 April 2015

Menerangkan Apabila Anak Bertanya

Teks: Wan Rohani Wan Ismail

Saya mahu kongsikan sesuatu yang berlaku semalam di antara saya dan dua anak, 6 dan 8 tahun.

Kami keluar membeli sedikit barang di pasaraya kecil berhampiran. Semasa mengambil mandian untuk bayi, anak lelaki 6 tahun berkata, "Umar mahu mandian ini, boleh?"

Anak perempuan 8 tahun pula mengambil satu mandian lagi dan berkata, "Aiesyah mahu yang ini, boleh?" Ibu menggelengkan kepala. Mereka serentak berkata dengan nada memujuk, "Ala, boleh lah ibu." Ibu bawa kedua anak ini ke bahagian rak yang dipenuhi mandian jenama biasa. "Em, kita beli yang ini, 2Liter harganya baru RM8.90. Cuba lihat harga mandian yang Umar dan Aiesyah ambil, berapa harganya?"

Aiesyah meneliti botol mandian dan berkata, "RM7.90. Umar punya RM6.90."

Saya menduga dengan bertanya, "Jadi bagaimana sekarang?"

Kedua mereka memeluk erat mandian yang telah masing-masing pilih. Baik. Kami ke kaunter bayaran.

Pulang ke rumah, saya membuka Buku Belanjawan Kewangan dan mencatit berpelanjaan. Aiesyah datang dan bertanya, "Ibu, tulis apa?"

"Ibu tulis senarai wang yang keluar." Aiesyah mendekatkan kepala, sambil berkata, "Banyaknya Ibu! Duit sekolah, duit van, duit taska Ammar, semua itu."

"Ya, sebab itu apabila anak-anak mahu sesuatu, mesti tanya dahulu. Ibu, ada duit lebih? Boleh saya mahu ini.. ini."

Umar dan Aiesyah tersenyum mendengar sambil menganggukkan kepala.

Kemudian, Umar berkata, "Ya betul. Ini tidak, nak juga! Nak juga!"

Waktu yang paling baik untuk beritahu sesuatu adalah apabila anak bertanya. Apabila anak-anak bertanya, mereka bersedia untuk mendengar.

Tuesday, 17 March 2015

Menolak Permintaan Anak Menggunakan Ayat Tawaran

Teks dan foto: Wan Rohani Wan Ismail

Cerita 3 ekor biri

Pulang dari bengkel Ahad lepas, Umar menangis sambil menghentak-hentakkan kaki ke lantai.

Saya bertanya,"Apakah yang membuatkan Umar menangis?"


Kata Umar "Nak telefon"

Saya memegang kepalanya sambil ligat memikirkan apakah pilihan yang saya ada untuk memujuk. Saya teringat beberapa helai kertas berwarna hijau dan hitam yang ada di dalam beg sandang belakang.


Saya menggunakan ayat tawaran "Mahukah Umar belajar membuat biri-biri dan katak?" 

Saya bertanya lagi selepas Umar menganggukkan kepala. "Mahu buat biri-biri dahulu atau katak?"

Memujuk anak melupakan gajet hanya dengan kertas, gunting dan gam. 

Malam itu juga Umar melekatkan 3 ekor biri-biri di satu sudut khas dinding. Sengaja saya membiarkan 3 ekor biri-biri tidak melekat dengan kuat supaya anak akan menggerakkan sambil bercerita. Semalam  sudah ada tambahan rumput dan air yang anak-anak tampal sendiri.



---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Cerita ini pernah saya kongsikan di dinding mukabuku (Facebook) dan pernah dimasukkan ke dalam blog Ketua Jurulatih Teknik Nabi, Puan Nurhidayah Jaafar.
Selepas tamat satu siri training, seorang ibu peserta menghampiri saya dan bertanya:
“Puan, bagaimana cara ibu bapa untuk menolak permintaan anak-anak yang meminta sesuatu yang tidak mampu diberikan oleh ibu bapa. Mereka meminta sesuatu yang pada tanggapan ibu bapa tidak bermanfaat seperti permainan PSP, video game, handphone, tablet, itu dan ini.”
Saya menceritakan satu teknik Nabi Muhammad menolak permintaan anak beliau, Fatimah yang diceritakan dalam hadith ini:
Ali bin Abu Talib adalah menantu kepada Nabi Muhammad. Beliau melaporkan bahawa isterinya, Fatimah binti Muhammad, pernah meminta kepada ayahnya supaya dia diberi seorang pembantu rumah. Nabi Muhammad menjawab dengan berkata, “Mahukah ayahanda beritahu sesuatu yang lebih baik untuk anakanda berdua dibandingkan dengan seorang pembantu rumah? Apabila anakanda berdua pergi ke katil kamu, ataupun anakanda pergi ke tempat tidur kamu berdua, bacalah takbir 33 kali, dan baca tasbih 33 kali, dan baca tahmid 33 kali. Itu adalah lebih baik bagi anakanda berdua daripada seorang pembantu rumah.”
– Hadith ini dipetik dari rekod hadith autentik dalam koleksi Bukhari. Diterjemahkan oleh Tim Pengkaji Hadith Psikologi
Aplikasi dari hadith ini adalah:
  1. Tolak permintaan anak itu dengan memberikan alternatif lain.
  2. Menolak permintaan mereka dengan menggunakan ayat tawaran, contohnya; “Mahu ibu beritahu sesuatu yang lebih baik berbanding….?
  3. Pemberian alternatif itu adalah lebih bermanfaat, bermutu dan menguntungkan daripada sesuatu yang diminta.
  4. Tidak memberitahu sebab permintaan anak itu ditolak.

Sunday, 22 February 2015

Menerangkan vs Memarahi

Teks: Wan Rohani Wan Ismail

Anak kecil ditimang-timang, dipeluk dan dicium hampir setiap saat. Lihat sahaja muka bayi, mahu sahaja dipeluk cium. Hilang semua tekanan dan masalah apabila dapat peluk dan cium ahli syurga ini.

Apabila anak semakin besar, 4-5 tahun usianya sudah semakin lincah, pandai meneroka sekeliling. Bedak dijadikan salji, air dilantai dijadikan permainan meluncur. Apabila memegang pen, pensil mula melakar dan menghasilkan karya seni di kertas dan dinding rumah. Mencampurkan semua bahan yang ada di dapur untuk resepi rekaan terbaru dan dimasukkan dalam peti ais untuk lihat hasilnya.

Ini cuma sebahagian kecil penerokaan dan kaji selidik anak-anak. Semakin membesar semakin mencabar. ada sahaja perkara yang mereka lakukan. Pada mereka ianya satu keseronokan tapi kenapa dimarah pula?

Kasihan anak-anak yang semakin membesar. Hampir setiap perkara baru yang mereka lakukan dimarahi ibu. Peluk cium ibubapa semakin berkurangan. Apa puncanya?

Apakah ibu dan ayah sudah tidak sayangkan saya? Sudah tentu tidak. Tetapi kenapa saya selalu dimarahi? Apabila bermain dengan adik, adik ambil barang saya, saya yang kena marah. Adik tumpahkan air, saya yang kena lap. Adik sepahkan mainan, saya yang kena kemas.


Mungkin inilah antara keluhan anak-anak yang semakin membesar. Adakala tindakan ibubapa menyebabkan anak berfikir begitu. Setiap perkara yang ditegur perlu diberi penerangan kenapa tidak boleh. Anak-anak akan lebih memahami setiap situasi. Namun bukan sekali dua, anak-anak perlu diterangkan berkali-kali tentang sesuatu perkara untuk mengingatkan mereka.

Memarahi anak adalah perkara yang biasa bagi segelintir ibubapa, namun jangan sampai mencederakan emosi anak-anak. Ini memberi impak tindakan anak-anak apabila berhadapan situasi sama. Ia boleh terbawa-bawa sehingga anak dewasa sekiranya tidak diubah. 

Saya teringat pada satu hadis yang dipelajari semasa kursus mendorong pelajar menggunakan Teknik Nabi.
Anas bin Malek melaporkan, pada satu masa dia dan orang-orang lelaki lain sedang berada di dalam masjid bersama-sama Nabi Muhammad. Tiba-tiba masuklah seorang lelaki Arab dari kampung ke dalam masjid, lalu lelaki itu berdiri dan membuang air kecil.
Melihat kejadian itu, sahabat-sahabat Nabi yang ada di situ terus mengherdik lelaku tersebut. Sebaliknya Nabi Muhammad berkata,"Jangan buat dia terhenti kencingnya. Biarkan sahaja" Lalu semua yang ada membiarkan sahaja orang kampung itu menghabiskan kencingnya.
Selepas itu Nabi Muhammad memanggil lelaki itu dan berkata kepadanya, "Sesungguhnya di dalam masjid ini tidak boleh kencing atau membuang sedikit pun kotoran, sebaliknya hanya boleh berzikir mengingati Allah, bersembahyang, dan membaca Quran". Kemudian Nabi Muhammad menyuruh salah seorang yang ada pergi mengambil air setimba, lalu disirami kencing itu.
Hadis no 186 dalam kitab ringkasan Sahih Muslim. 

Sudah ada idea bagaimana untuk menerangkan kepada anak-anak apabila membawa mereka ke masjid?

Tuesday, 17 February 2015

Mendorong Anak Suka Membaca/Mengaji

Apabila mahu mendorong anak membaca atau mengaji al-Quran, sebutkan 3 perkara ini:

1. Sebut kerja baik yang mahu disuruh
2. Sebut impak positif apabila kerja itu dilakukan
3. Impak negatif tidak disebut

Contoh skrip;

"Aiman, mari kita mengaji. Apabila Aiman rajin mengaji, Aiman dapat mengaji dengan lancar. Nanti boleh jadi imam."

"Adik, lepas mandi kita baca buku ya. Nanti adik lancar membaca, boleh baca buku cerita pula."

Impak yang positif akan mendorong anak melakukan kerja baik. Jangan disebut impak negatif atau menggunakan ugutan.

Contoh skrip menyebut impak negatif;

"Aiman, mari mengaji. Kalau Aiman malas mengaji, nanti Aiman tidak pandai membaca al-Quran. Ustaz mengaji marah Aiman nanti."


Contoh skrip menggunakan ugutan.

"Adik, lepas mandi baca buku. Tak baca buku, ibu tidak mahu ajak adik pergi taman."


Semasa mengajar anak membaca atau mengaji, teknik tidak menegur kesalahan digunakan. Tidak menegur kesalahan supaya anak tidak merasa rendah diri atau malu di depan adik-beradik atau kawan-kawan mereka.

Bagaimana teknik tidak menegur kesalahan dilakukan?

1. Tidak menegur atau kritik dengan berkata, "salah tu!", "Isk, tadi sudah cakap" apabila anak tersalah.
2. Sebutkan sahaja yang betul atau diam dan tunjukkan tempat di mana anak perlu ulang atau sebut semula.
3. Puji bacaan anak yang betul.
4. Puji usaha anak rajin membaca. Puji sikap anak yang suka belajar dan sebut impak positif.



InsyaaAllah jumpa lagi.