Wednesday, 24 December 2014

Tips Pemilihan Tadika Anak

Memilih tadika adalah antara perkara penting apabila anak bakal memasuki usia 4 hingga 6 tahun. Namun ada juga tadika yang mengambil anak dari usia 3 tahun.

Apakah panduan ibubapa untuk memilih tadika bagi anak-anak?


Modul dan Kurikulum

Dalam satu soal selidik yang telah diadakan oleh tim tadika, aspek modul dan kurikulum menjadi pilihan utama ibubapa. Antara skop yang perlu diambilkira:
- Medium Bahasa
- Subjek dan kandungan pelajaran yang diajar di tadika
- Berapa bilangan buku yang anak akan dapat
- Adakah sebarang kerja rumah diberikan

Soalan begini sebagai asas untuk mendapat gambaran keseluruhan pembelajaran di tadika tersebut.


Nilai dan Budaya

Penerapan nilai penting bagi ibubapa yang menekankan aspek pendidikan secara menyeluruh. Bukan sahaja dari segi akademik tetapi juga sahsiah diri anak.
- Pengisian Fardhu Ain, solat dan hafazan bagi ibubapa yang mementingkan pendidikan Islam.
- Nilai budaya dan adab-adab


Guru dan Pendidik

Antara soalan yang biasa di tanya oleh ibubapa apabila mahu mendaftarkan anak ke tadika adalah;
- Berapa bilangan pelajar untuk setiap kelas
- Berapa bilangan semua pelajar dan guru (nisbah)
- Bagaimana sekiranya anak tidak memberi perhatian kepada guru
- Adakah sebarang teknik hukuman yang dikenakan kepada anak-anak


Kaedah Pembelajaran

Biasanya di tadika pembelajaran adalah di dalam kelas secara berpusat. Namun untuk anak 3 dan 4 tahun lebih kepada plaschool.
Ibubapa perlu dibenarkan untuk melawat persekitaran di dalam tadika.
Bagaimana tahap kebersihan, keceriaan, ruang dan fasiliti.
Apakah ibubapa mahu menghantar anak ke tadika yang langsung tiada permainan?


Yuran dan Bajet

Perkara penting yang perlu diambilkira. Memilih tadika yang baik mestilah kena dengan bajet.

Tadika A

Yuran bulanan: RM180
Daycare: RM180
Kelas Membaca: RM50
Kelas Mengaji: RM40
Yuran Pendaftaran dan Tahunan: RM900

Tadika B

Yuran Bulanan: RM230
Daycare: RM180
Kelas Membaca dan Mengaji: Percuma
Yuran Pendaftaram dan Tahunan: RM1100

Contoh pengiraan dan masukkan elemen tambahan yang ditawarkan oleh setiap tadika.
Pilih yang terbaik mengikut kemampuan dan bajet masing-masing.


Nilai Tambahan

Ada ibubapa yang mahu anaknya aktif dalam seni. Sekiranya tadika menawarkan kelas bakat seperti mempertahankan diri atau kebudayaan, pasti lebih menarik minat ibubapa.


Monday, 8 September 2014

Seminar Ajar Anak Membaca Cepat Menggunakan Kaedah Fonik


Pagi-pagi ibu menerima pesanan di aplikasi WhatsApp daripada ibubapa prihatin yang mahu mengajar anak membaca di awal usia. Alhamdulillah ibu teruja mendengarnya. Anak kecil perlu diberi pendedahan awal agar minat membaca terbit dalam diri anak.

Bagaimana untuk mulakan langkah? Bagaimana untuk mengajar anak membaca seawal usia?



Seminar ajar anak cepat membaca menggunakan kaedah fonik. InsyaaAllah ada jawapannya. Satu platform yang baik untuk mengetahui bagaimana cara dan kaedah yang sesuai. Sesuai dihadiri semua ibubapa, guru, individu yang mahu mempelajari kaedah yang sesuai untuk anak kecil cepat membaca. 

Saya sarankan kepada tuan dan puan yang pernah membeli buku daripada saya supaya hadir seminar ini. Apabila membeli buku Set Bacalah Anakku atau Set Read Easy, buku dan vcd panduan mengajar diberikan percuma. Namun belajar secara bersemuka dengan penulis buku adalah lebih mudah difahami.

Peluang bersemuka dengan Puan Nik Eliani memang tidak harus ibu lepaskan. 

Berminat untuk bersama dalam seminar ini? Mudah sahaja.

Berikan maklumat berikut:
Nama
No Tel
Email

SMS, WhatsApp atau Telegram Puan Wan Rohani 013-282 1450

Ibu akan berikan maklumat lanjut pembayaran. Tempahan confirm selepas bayaran diterima.

InsyaaAllah kita jumpa nanti.

Tuesday, 2 September 2014

Jana Pendapatan Dengan Blog

Teks: Wan Rohani

Bismillah
Alhamdulillah
Terima kasih Allah atas nikmat kesihatan hari ini. Jauh lebih baik dari semalam. Rasa sihat dan segar. Tiada lagi pening kepala, sakit perut, sakit badan. Alhamdulillah.

Banyak perkara yang berlaku pada 3 hari cuti sempena hari kemerdekaan yang lepas. Kakak datang ke rumah dari kampung. Seronok anak-anak bukan main lagi bila bersama sepupu mereka. Hari Ahad kami berjalan ke Bukit Fraser, menikmati udara segar, nyaman dan dingin di atas bukit. Menghantar anak ke sekolah pada Isnin dan tidak sihat pada Selasa.

Memandangkan hari ini adalah hari saya meneruskan cabaran 44 hari selepas 4 hari berehat (lama tu), saya mulakan dengan perkongsian penulisan blog.


Saya suka menulis sejak berada di universiti. Apa yang ada dalam kepala saya luahkan di dalam diari. Sekarang diari itu masih tersimpan dalam kotak yang sudah keluar kutu buku. Tersimpan rapi dan tidak pernah dibelek lagi.

Pada 2009 saya mula berjinak dengan bisnes online dan membina satu blogshop. Blog tersebut masih bertahan sehingga hari ini. Nampaknya perlu penjenamaan baru yang lebih segar. Saya menjual keperluan bayi dan kanak-kanak termasuk lampin moden atau Cloth Diapers. Ramai yang masih baru dengan lampin kain dan bertanya itu dan ini, jadi saya bina satu lagi blog Tinta Wan Anie untuk berkongsi cerita tentang penggunaan kain lampin moden. Sekarang blog ini juga masih saya kemaskini seperti biasa cuma entri tidak semeriah seperti 2009, 2010. Hampir setiap hari segar dengan entri baru. Sekarang masih belum kekalkan momentum 1 hari 1 entri, saya tetapkan seminggu 3 atau 4 entri. Walaupun kurang sedikit namun saya mahu menyediakan pengisian yang lebih bermakna dan bermanfaat untuk pembaca blog.

Walaupun hanya mempunyai blog picisan yang kurang diminati sekarang, dapat juga menambah sedikit pendapatan. Nuffnang dan Google Adsense yang saya masukkan dalam blog membuahkan hasil walaupun blog lama ditinggalkan. Sekarang saya kembali semula menulis berkongsi sesuatu yang lebih baik untuk bacaan umum.

Saya sentiasa terbuka dengan cadangan dan komen dari Tuan dan Puan semua. InsyaaAllah untuk kebaikan bersama.

Saya juga berbesar hati untuk berkongsi bagaimana membina blog dari zero. Saya ajarkan setakat yang saya boleh. Kami ada tim sendiri untuk ibu yang bekerja dari rumah, namun ibu berkerjaya juga dialu-alukan. Whatsapp atau Telegram saya Puan Wan Anie 013-2821450 dan nyatakan Belajar Bina Blog ya!


Friday, 29 August 2014

Bukan Susah Pun Hendak Buat Baik

Bunyi macam pelik sikit entri kali ni. Ceritanya begini, semalam saya keluar dengan anak-anak mencari sarapan. Kebanyakan gerai jualan pagi sudah tutup dan sudah habis makanan. Maklum sahaja jam sudah hampir jam 10 pagi. Kami berhenti di sebuah gerai, hanya nasi lemak biasa sahaja yang ada. Saya minta 3 nasi lemak bungkus.

Semasa kakak peniaga membungkuskan nasi lemak saya, datang seorang lelaki dari kedai bertentangan. Beliau mahu 2 bungkus nasi lemak. Kakak peniaga kata, "Sekejap saya bungkuskan yang ini dahulu nanti tengok masih cukup atau tidak". Selesai 3 bungkus saya, kakak peniaga beritahu lelaki tadi, tidak cukup untuk bungkusan seterusnya.

"Satu pun tak dapat ke kak?" Tanya lelaki tadi seperti mengharap. "Tak cukup lah dik" jawap kakak peniaga.

Saya berasa simpati dan mahu saja berkata, ambil sahaja 1 bungkus saya punya. Tapi entah kenapa suara tersekat di kerongkong. Saya lihat sahaja lelaki tadi berlalu pergi sambil melintas jalan.

Kakak peniaga membungkuskan semua nasi lemak dan telur yang ada untuk habiskan semua barang jualan beliau. Semakin banyak nasi yang perlu kami habiskan, gesa hati saya.

Dalam kereta, sambil memandu saya berfikir. Kenapa susah sangat mahu tawarkan satu bungkus nasi lemak. Sampai sahaja di rumah, saya dan anak-anak makan nasi lemak bersama. Sebelum itu, saya gorengkan segenggam ikan bilis untuk tambah selera. Nasi lemak sekarang tiada ikan bilis walau puas dikuis satu pun tidak berjumpa.

Oleh kerana nasi tambah yang kakak peniaga tadi letak, nasi masih berbaki dan kami semua sudah kekenyangan. Saya berasa sungguh menyesal. Bukan susahpun hendak buat baik!

Wednesday, 27 August 2014

Apabila Anak Bertanya Tentang Kisah Ajaib

Bismillah

Suatu petang Umar datang dan menyapa ibu.

Umar: Ibu, Frozen tu tipu

Ibu: Betul. Tipu. Mana Umar tahu?

Umar: Abah cakap. Ultraman pun tipu. Boboiboy pun tipu. Manusia mana ada kuasa. Allah sahaja yang ada kuasa.

Ibu: Betul, betul, betul.

Umar: Ibu, Allah ada kuasa halilintar ke?

Ibu: Ada! Kuasa petir halilintar. Allah yang buat tu. Semua orang takut, syaitan pun takut.

Umar: Ooo..

Ibu: Kenapa agaknya manusia buat cerita begitu? Cerita yang menunjukkan manusia ada kuasa.

Umar: Tak tahu

Ibu: Cerita adalah dari khayalan manusia sendiri.

Umar: Khayalan tu apa?

Ibu: Khayalan itu adalah imaginasi daripada otak manusia. Hebatkan otak manusia yang Allah ciptakan, boleh imaginasi macam-macam. Imaginasi boleh tapi percaya tidak boleh.

Umar: Habis, apa yang kita boleh percaya?

Ibu: Kita hanya boleh percaya hanya Allah yang berkuasa atas tiap-tiap sesuatu. Kita juga percaya perkara pelik-pelik hanya yang diceritakan Allah dalam Al-Quran yang disampaikan oleh Rasulullah.

Umar: Apadia?

Ibu: Kisah Nabi Musa dengan tongkat sakti. Umar pernah dengar?

Umar: Tak pernah. Ibu, ceritalah..

Ibu: Sebenarnya bukan tongkat yang berkuasa, tetapi dengan izin Allah tongkat Nabi Musa boleh bertukar menjadi ular yang besar dan boleh membelah laut.

Umar: Ibu, cerita lagi

Ibu: Baik, nanti selepas mandi, solat dan mengaji Quran ibu ceritakan. Cerita ini ada dalam al-Quran Surah Taha.

Gambar koleksi sendiri

Nampaknya anak-anak tidak sabar untuk mendengar kisah dari al-Quran ini. Seusai sahaja mengaji terus minta ibu cerita.

InsyaaAllah, berjumpa lagi.

(Berbeza sedikit dengan skrip perbualan yang asal untuk melazatkan bahasa. Namun cerita dan pesanan yang ingin disampaikan serupa, InsyaaAllah)