Friday, 29 August 2014

Bukan Susah Pun Hendak Buat Baik

Bunyi macam pelik sikit entri kali ni. Ceritanya begini, semalam saya keluar dengan anak-anak mencari sarapan. Kebanyakan gerai jualan pagi sudah tutup dan sudah habis makanan. Maklum sahaja jam sudah hampir jam 10 pagi. Kami berhenti di sebuah gerai, hanya nasi lemak biasa sahaja yang ada. Saya minta 3 nasi lemak bungkus.

Semasa kakak peniaga membungkuskan nasi lemak saya, datang seorang lelaki dari kedai bertentangan. Beliau mahu 2 bungkus nasi lemak. Kakak peniaga kata, "Sekejap saya bungkuskan yang ini dahulu nanti tengok masih cukup atau tidak". Selesai 3 bungkus saya, kakak peniaga beritahu lelaki tadi, tidak cukup untuk bungkusan seterusnya.

"Satu pun tak dapat ke kak?" Tanya lelaki tadi seperti mengharap. "Tak cukup lah dik" jawap kakak peniaga.

Saya berasa simpati dan mahu saja berkata, ambil sahaja 1 bungkus saya punya. Tapi entah kenapa suara tersekat di kerongkong. Saya lihat sahaja lelaki tadi berlalu pergi sambil melintas jalan.

Kakak peniaga membungkuskan semua nasi lemak dan telur yang ada untuk habiskan semua barang jualan beliau. Semakin banyak nasi yang perlu kami habiskan, gesa hati saya.

Dalam kereta, sambil memandu saya berfikir. Kenapa susah sangat mahu tawarkan satu bungkus nasi lemak. Sampai sahaja di rumah, saya dan anak-anak makan nasi lemak bersama. Sebelum itu, saya gorengkan segenggam ikan bilis untuk tambah selera. Nasi lemak sekarang tiada ikan bilis walau puas dikuis satu pun tidak berjumpa.

Oleh kerana nasi tambah yang kakak peniaga tadi letak, nasi masih berbaki dan kami semua sudah kekenyangan. Saya berasa sungguh menyesal. Bukan susahpun hendak buat baik!

Wednesday, 27 August 2014

Apabila Anak Bertanya Tentang Kisah Ajaib

Bismillah

Suatu petang Umar datang dan menyapa ibu.

Umar: Ibu, Frozen tu tipu

Ibu: Betul. Tipu. Mana Umar tahu?

Umar: Abah cakap. Ultraman pun tipu. Boboiboy pun tipu. Manusia mana ada kuasa. Allah sahaja yang ada kuasa.

Ibu: Betul, betul, betul.

Umar: Ibu, Allah ada kuasa halilintar ke?

Ibu: Ada! Kuasa petir halilintar. Allah yang buat tu. Semua orang takut, syaitan pun takut.

Umar: Ooo..

Ibu: Kenapa agaknya manusia buat cerita begitu? Cerita yang menunjukkan manusia ada kuasa.

Umar: Tak tahu

Ibu: Cerita adalah dari khayalan manusia sendiri.

Umar: Khayalan tu apa?

Ibu: Khayalan itu adalah imaginasi daripada otak manusia. Hebatkan otak manusia yang Allah ciptakan, boleh imaginasi macam-macam. Imaginasi boleh tapi percaya tidak boleh.

Umar: Habis, apa yang kita boleh percaya?

Ibu: Kita hanya boleh percaya hanya Allah yang berkuasa atas tiap-tiap sesuatu. Kita juga percaya perkara pelik-pelik hanya yang diceritakan Allah dalam Al-Quran yang disampaikan oleh Rasulullah.

Umar: Apadia?

Ibu: Kisah Nabi Musa dengan tongkat sakti. Umar pernah dengar?

Umar: Tak pernah. Ibu, ceritalah..

Ibu: Sebenarnya bukan tongkat yang berkuasa, tetapi dengan izin Allah tongkat Nabi Musa boleh bertukar menjadi ular yang besar dan boleh membelah laut.

Umar: Ibu, cerita lagi

Ibu: Baik, nanti selepas mandi, solat dan mengaji Quran ibu ceritakan. Cerita ini ada dalam al-Quran Surah Taha.

Gambar koleksi sendiri

Nampaknya anak-anak tidak sabar untuk mendengar kisah dari al-Quran ini. Seusai sahaja mengaji terus minta ibu cerita.

InsyaaAllah, berjumpa lagi.

(Berbeza sedikit dengan skrip perbualan yang asal untuk melazatkan bahasa. Namun cerita dan pesanan yang ingin disampaikan serupa, InsyaaAllah)

Tuesday, 26 August 2014

Ibu, Kenapa Kita Kena Mandi?

Baru semalam saya ada ceritakan tentang menyuruh anak mandi. Lewat petang semalam, hampir jam 7 petang, anak-anak masih lagi belum mandi. Tuala sudah ada di bahu tapi macam biasa akan ambil sedikit masa untuk masuk ke dalam bilik air.


Seusai ibu mandikan baby Ammar, Aiesyah datang dan bertanya, "Ibu, kenapa kita kena mandi?"

Soalan yang baik memang kena pada tempatnya. Otak saya berlegar mencari jawapan yang paling sesuai sambil menyusukan Ammar.

"Allah itu cantik dan Allah sukakan kecantikan." Kata saya memulakan hujah.

"Seseorang yang tidak mandi, cantik atau comot?"

"Comot!" Jawab Aiesyah pantas.

"Betul! Bila seseorang mandi, sabun wangi, gosok gigi, pakai baju yang cantik, sikat rambut, pakai tudung, cantik tak?" Tanya ibu lagi menguji.

"Mestilah cantik" Jawab Aiesyah.

"Sebab itu kita kena mandi sekurang-kurangnya dua kali sehari untuk menjaga kebersihan dan memastikan diri kita sentiasa cantik dan kemas." Sambung ibu sambil tersenyum.

"Oh, begitu"

Dalam kepala ibu terlupa mahu highlight kan tentang kebersihan. Boleh ibu kaitkan dengan hadis kebersihan sebahagian daripada iman yang pernah Aiesyah belajar di Pasti dulu. Tidak mengapa, asalkan Aiesyah berpuashati dengan jawapan ringkas ibu. InsyaaAllah lain masa boleh kaitkan dengan isu kebersihan pula apabila minta anak-anak kemaskan bilik. Ting! Idea.



Monday, 25 August 2014

Memahami Anak

Sebagai ibu, ada masa saya rasa seperti orang asing dengan anak sendiri. Biasanya perasaan ini muncul apabila saya bercakap atau menyuruh sesuatu, anak buat tidak tahu. Sekarang baru saya faham perasaan ibu saya apabila saya tidak laksanakan apa yang ibu saya minta.

Ada masa bila saya minta sesuatu, anak-anak menjawab dan memberi alasan mereka sendiri. Petang semalam, selesai menyusukan baby Ammar, saya minta Aiesyah bawakan kerusi baby untuk saya letak dan tidurkan baby. "Boleh tak ibu bawa baby ke sini dan letakkan baby di tempat kerusi baby berada" jawab Aiesyah.

Memang betul pun apa yang Aiesyah katakan, adakala saya sebagai ibu perlu bijak apabila meminta sesuatu dari anak-anak. Mereka juga tidak suka disuruh-suruh. Bila saya fikirkan semula, banyak sangatkah permintaan saya kepada anak-anak?

Setiap hari saya perlu ulang banyak kali perkara yang sama, suruh anak-anak mandi, kemas bilik, kemas barang mainan yang bersepah, suruh mengaji dan macam-macam lagi. Sehingga saya sendiri rasa jemu dan akhirnya saya buat tidak tahu sahaja. Anak-anak sebenarnya buat apa yang saya minta tapi tidak ditunaikan serta merta. 


Anak-anak bukan robot, niat saya untuk mendisiplinkan mereka. Namun ada masa perlu juga ada tolak ansur. Apabila menyuruh sesuatu, saya mahu result segera. Sedangkan mereka juga ada pilihan sendiri. 


Apabila anak meminta sesuatu, berikan syarat

Ini bukanlah solusi terbaik, namun ia berkesan serta merta. Contohnya bila anak-anak minta untuk pasangkan sesuatu cerita, ibu minta mereka solat terlebih dahulu. On the spot anak-anak akan buat. Jangan biasa dengan amalan bersyarat ini, sesekali tidak mengapa.


Terangkan kepada anak, bukan memarahi

Sabar adalah satu sifat yang perlu dipupuk dan dibaja. Sebagai ibu seringkali sifat sabar tercabar. Belajar untuk bertenang, ambil nafas panjang, hembus sambil istighfar dan selawat. Marah adalah tindakan spontan, bila ditahan, InsyaaAllah boleh dikawal. Terangkan kepada anak kenapa perlu mereka buat itu dan ini. Lama-kelamaan anak akan memahami.


Mendekati jangan menjauhi

Ada anak yang meluahkan emosi dengan mengamuk dan menangis apabila permintaannya tidak dipenuhi. Dua hari lepas Umar mengamuk apabila tidak dapat barang yang dia mahu berebut dengan kakaknya Aiesyah. Saya yang berada di dalam bilik air ketika itu mendengar bunyi pintu bilik air diketuk dan ditendang dengan kuat. Mula-mula saya mahu biarkan sahaja dia begitu sehingga amarahnya reda sendiri. Namun tidak sampai hati menjauhkan diri daripada anak yang perlukan 'seseorang' untuk diluahkan perasaan kecewa. 

Saya keluar dari bilik air dan memegang bahu Umar, bertanya kepadanya bagaimana ibu boleh tolong. Umar masih menangis dan beritahu dia mahu 'barang itu'. Saya tenangkan dia dengan memeluk sekuat hati. Anak yang meronta sukar dipeluk. Bila tangisannya reda, saya pujuk untuk mandikan dia. Usai mandi dia sudah ceria seperti biasa.

Cukup setakat ini dahulu, InsyaaAllah lain masa kita berjumpa lagi.

Puasa Syawwal 1435H

Teks: Wan Rohani

Isnin 25 Ogos 2014 bersamaan 29 Syawwal 1435H.

Alhamdulillah selesai 6 hari puasa di bulan Syawwal, masih berbaki lagi 17 hari. Perlahan kayuh mulakan dari awal. Tidak mahu lagi berlengah-lengah menggantikan puasa yang wajib. Tahun lepas belum habis Syawwal sudah selesai puasa qada', tahun ini memang tidak mampu untuk habiskan bulan ini.

Esok adalah hari terakhir Syawwal. Ambil peluang berpuasa 6 hari di bulan ini kerana besar pahalanya. Berpuasa sebulan di bulan Ramadhan dan 6 hari di bulan Syawwal seperti berpuasa setahun.

Walaupun Ammar Hafiz belum lagi 3 bulan dan menyusu badan sepenuhnya, bukan alasan untuk menangguhkan puasa ganti. InsyaaAllah boleh, 2 atau 3 hari seminggu secara santai. Hari ini bangun terlewat sedikit, sedar lagi 5 minit azan Subuh. Tidak sempat bersahur. Saya perlu ambil kurma dan makan sedikit nasi semasa sahur untuk tenaga sepanjang hari. InsyaaAllah bekalan susu untuk Ammar mencukupi.