Wan Anie
Berkongsi Ilmu Keibubapaan . Pendidikan Awal Anak . Bekerja Dari Rumah
Tuesday, 13 November 2018
Pujian Sebagai Ganjaran Sosial Positif
Wan Anie
Monday, 12 November 2018
Pujian Diberikan Secara Spesifik
Teknik mendorong anak berakhlak baik akan menerangkan dengan lebih terperinci bagaimana pujian sebagai ganjaran sosial yang mudah diberi.
Wan Anie
13.11.2018
Thursday, 22 February 2018
Bagaimana Menegur Anak Tanpa Ada Yang Berkecil Hati
Pernah kita sebagai ibu atau bapa menegur anak salah membaca, mengira, kemudian habis sahaja belajar anak berlari masuk bilik. Tidak keluar. Selepas sahaja kita menegur dengan tinggikan suara sedikit, berjuraian air mata sambil membaca teresak menahan sendur.
Pernah alami situasi begitu?
Ada tips supaya kedua pihak tidak diganggu emosi terutama semasa sesi itu berlaku.
1. Jangan tegur yang silap, beritahu sahaja yang betul
Apabila kita fokus kepada perkara yang silap, kita mudah naik angin, mudah emosi. Solusinya senang, beritahu sahaja apa yang betul.
Contoh anak mengaji salah bacaan, jangan disebut yang salah, jangan gunakan skrip ini, "Salah lagi, tadi ibu sudah beritahu. Hai, berapa kali nak ulang!"
Betul puan, apabila kita fokus yang salah, ia mengganggu emosi.
Selepas ini terus sahaja sebutkan yang betul TANPA menyebut ayat seperti di atas atau seumpama dengannya.
Apabila kita fokus kepada yang betul, biasanya tiada berbaur emosi. Anak tidak berkecil hati.
Siapa yang tiada pengalaman begitu, terutama waktu kecil dengan guru mengaji. Biarlah, itu pengalaman lama kita. Usah diulang kepada anak-anak.
Perkara yang sama pernah dikongsikan oleh Puan Khadijah Gani di dalam fb beliau.
2. Sentiasa Gunakan Nada Suara Dada
Cuba puan sebut 'bagus, betul' sambil letakkan tangan di dada. Ada rasa getarannya? Jika ada bermakna puan menggunakan suara dada. Tiada rasa? Cuba lagi. Rendahkan lagi tona suara.
Apabila menggunakan suara dada, automatik suara kita direndahkan. Cuba berlatih, 'begini bacaannya'.
3. Tumpu Perhatian Kepada Perkara Yang Berlaku Sekarang
Perasan atau tidak, bebelan berlaku apabila kita mula menyebut perkara yang telah berlalu. Cerita tentang isu atau masalah. Berlatih untuk tumpu kepada solusi atau apa kita nak buat supaya jadi lebih baik.
Cukup tiga tips ini sahaja dahulu.
Jumpa lagi.
22.02.2018
Batang Kali
Friday, 3 November 2017
Pujian Membina Keyakinan Diri Anak
Walaupun anak cuma melakukan perkara kecil.
Pujian adalah alat paling ampuh untuk digunakan sebagai ganjaran positif bagi tingkah laku baik anak-anak.
Apabila adik jatuh semasa bermain, abang datang bantu adik. Sambil menenangkan adik, abang menepuk kuat badan adik membuang pasir halus yang melekat.
Perhatikan gelagat dua beradik itu, kemudian ayah datang menghampiri abang sambil memegang bahu abang, ayah berkata:
"Ayah lihat abang bantu adik tadi, itu adalah perbuatan yang mulia. Ayah bangga mempunyai anak yang suka menolong. Allah mengasihi orang yang mengasihi orang lain."
Tips memberi pujian:
1. Pujian mesti diberikan segera
2. Pujian diberikan secara terbuka
3. Pujian khusus kepada perkara yang dilakukan
4. Tutup mata pada kesilapan (tepuk adik dengan kuat)
#NotaParenting
Saturday, 7 October 2017
Usahawan Bermula Dari Usia Kecil
Hari usahawan sekolah merupakan platform yang bagus untuk memperkenalkan anak pelajar dengan asas bisnes.
Pada hari ini, setiap kelas ada gerai jualan sendiri.
Guru bersama pelajar akan tentukan kelas mereka akan jual apa. Katakan sandwich.
Berapa banyak yang hendak dijual?
Apa bahan mentah yang kita perlukan?
Berapa kos yang diperlukan sebagai modal awal?
Berapa harga sandwich yang kita akan jual?
Anak ada maklumkan bahawa gerai yang mendapat kupon paling banyak menjadi juara.
Kupon terbanyak itu maksudnya apa?
Jualan tertinggi.
Dunia usahawan bukanlah hanya jualan yang paling banyak.
Kita lihat gerai mana yang mendapat perhatian pelanggan dari sudut khidmat pelanggan, gerai mana yang punya usp tersendiri.
Tahun lepas ada pelajar yang memakai apron datang ke meja ibu bapa yang sedang duduk berbual dan menikmati makanan, mereka menunjukkan barang jualan dan mula buat promosi. Inisiatif yang bagus. Lain daripada gerai-gerai yang lain.
Selepas selesai sesi, lihat berapa jualan yang diperoleh. Dari jumlah itu tolak semua perbelanjaan, lihat untung atau rugi.
Jualan - perbelanjaan = Untung / Rugi
Kita percaya sekiranya setiap tahun anak pelajar didedahkan dengan perkara ini, kefahaman dan minat mereka terhadap bisnes akan tertanam. Boleh dicungkil bakat bisnes yang ada pada sesetengah pelajar.
Ada pelajar yang pandai khidmat pelanggan, ramai yang suka beli dengan dia.
Ada pelajar yang cekap menyusun atur ruang dan menyediakan bahan.
Ada pula yang bijak mengira sesuai di bahagian kaunter.
Akan datang, kita boleh sediakan platform yang sesuai sepanjang tahun untuk usahawan cilik mengembangkan bakat mereka. Bukan hanya di hari usahawan sekolah sahaja. Melalui media sosial, blog dan bahan penulisan atau hari usahawan cilik setiap negeri.
Beberapa tahun akan datang anak remaja dan anak muda lebih memonopoli bidang ini mengikut arus zaman. Orang lama dan veteran menjadi mentor dan guru sahaja.
Usahawan bermula dari usia kecil.
Wan Anie
Bermula online ke offline kembali online.
