Berkongsi Ilmu Keibubapaan . Pendidikan Awal Anak . Bekerja Dari Rumah
Tuesday, 1 August 2017
Menerangkan Apa Yang Perlu Dilakukan, Bukan Hanya Melarang
Tuesday, 13 June 2017
Bentuk Sikap Anak Dari Kecil
Ibu sakit pinggang.
Anak itu memegang berus pencuci longkang sambil berkata, "Mari Ammar buat"
Kemudian dia menggerakkan berus itu ke kiri dan kanan. Usianya baru mencecah 3 tahun. Sebelum itu sudah dicabut rumput di sekitar longkang.
Hampir dua jam kami berenam mengerjakan longkang yang berlumut dan berlumpur.
Boleh sahaja upah orang datang bersihkan, namun kami lebih suka bergotong-royong anak beranak. Biasanya apabila melakukan kerja begitu semua orang akan turun padang.
Waktu begini kami dapat perhatikan sikap dan tingkah laku setiap anak.
+ Ada yang mulanya bersungguh kemudian mengelat.
+ Ada yang bersemangat dari awal sampai akhir.
+ Ada pula yang akan buat bila berduet, mesti ada orang yang teman. Hai, macam ini pun ada!
Sikap boleh dilatih sejak anak kecil melalui kerja-kerja begini. Ini antara perkara yang akan membentuk ciri-ciri apabila mereka dewasa kelak.
Sekiranya mereka bekerja, bersungguh dalam menjalankan kerja. Jika bekerja sendiri tidak mudah putus asa. Apabila berbisnes buat sampai jadi.
Tuesday, 9 May 2017
Selamat Datang Ramadan Kareem
Saya doa kita semua terutama Tuan/Puan yang membaca nota ini sempat bertemu dengan Ramadan kali ini.
Tahun ini dua minggu pertama puasa adalah cuti sekolah.
Sudah tentu ibubapa sudah mula merancang apakah yang mahu dilakukan semasa anak-anak cuti nanti.
Thursday, 23 February 2017
Tips tangani anak bercakap kasar
Berkata kasar adalah tingkah laku negatif.
Ini antara tips yang boleh dijadikan panduan apabila anak bercakap kasar.
Tips 1: Hanya beri perhatian dan respons pada tingkah laku yang baik/positif.
Tips 2: Sekiranya anak berkata kasar ketika sedang marah, biarkan sahaja dahulu. Menasihati orang yang sedang marah ibarat mencurah air ke daun keladi.
Tips 3: Gunakan waktu anak dalam keadaan seronok, gebira, tenang. Waktu begini anak mudah dipengaruhi.
Tips 4: Ikut apa yang Rasulullah (selawatlah ke atas baginda). Sentiasa mebalas kebaikan walaupun dilempar dengan keburukan. Cerita bagaimana Rasulullah memberi makan wanita tua yang selalu bercakap buruk dan kasar tentang Nabi.
Tips 5: Dalam Quran, antara perkataan yang banyak kali diulang adalah 'muhsinin' iaitu orang yang membuat kebaikan. Allah mengasihi orang yang berbuat kebaikan. Ganjaran pahala dan syurga. Sentiasa ingatkan anak dan diri sendiri.
Tips 6: Awasi kata-kata yang keluar daripada mulut ibubapa. Jangan jadi seperti ketam yang mengajar anak berjalan lurus.
Tips 7: Sentiasa mendoakan kebaikan untuk anak. Antara doa yang boleh diamalkan adalah:
"Ya Allah, jauhkan kebatilan yang ada di sekeliling anakku (sebutkan nama anak)"
"Ya Allah, lindungi dan pelihara kami dari hasutan syaitan yang sentiasa menyesatkan."
Tips 8: Didik anak supaya sentiasa membuat penilaian sendiri ke atas setiap perbuatan, kata-kata dan apa yang mereka mahu lakukan. Ini berkaitan kawalan diri dan emosi.
Orang yang tenang sentiasa menang.
Thursday, 13 October 2016
Belajar Dari Orang Lain
Semasa menunggu giliran dipanggil berjumpa doktor, kelihatan satu keluarga, ibu bersama dua anak. Seorang anak lelaki dan perempuan lingkungan usia 10 dan 8 tahun.
Anak lelaki tersebut berjalan ke sana ke sini. Adakala menumbuk dinding klinik, menghentakkan kaki. Sesekali dia bersama adiknya bermain di dalam kiub kecil yang dikhaskan untuk kanak-kanak kecil.
Setiap kali anak itu berlari atau melompat, setiap kali itu juga ibunya menjeling, memanggil dan menarik tangan anaknya. Barangkali tidak mahu anaknya mengganggu orang lain yang berada di situ. Apabila anaknya berlari beliau bertegas dengan berkata,"Walk, just walk"
Saya teringat kepada kisah Redha yang pernah saya tonton. Filem berkaitan kanak-kanak autistik yang sukar difahami perbuatan dan tingkah laku oleh orang luar. Episod ketika mereka membawa anak keluar makan masih saya ingat. Satu keluarga yang juga makan di situ mengatakan anak mereka biadab, tidak sopan. Sedih.
Seperti melihat seekor itik berenang, kelihatan sangat tenang di atas permukaan air. Ada orang yang mungkin memandang serong melihat ibu yang tidak henti mendiamkan anak. Ada yang meihat ibu itu garang dan sangat tegas dengan anak sendiri.
Setiap dari kita punya cerita berbeza. Orang lain hanya melihat luaran seperti melihat seekor itik yang kelihatan tenang berenang di atas permukaan air. Hakikatnya di dalam air, kaki itik berkayuh laju.
Cabaran, ujian dan dugaan yang dihadapi tiada siapa yang tahu. Simpati dengan ibu bapa yang tabah punya anak istimewa. Bukan mudah.
Kita yang melihat jangan mudah menilai dan memberi hukuman. Hidup ini begitulah. Tuhan berikan ujian berbeza mengikut kemampuan hambaNya.
Apabila melihat sesuatu yang tidak kena, berdoa untuk kebaikan bukan menyalahkan.
Tinta Wan Anie
Masih belajar menjadi ibu yang baik


