Wednesday, 7 October 2015

Mendorong Anak-anak Menggunakan Nama Gaya Nabi Muhammad


Mendorong Anak-anak Menggunakan Nama Gaya Nabi Muhammad.

Nama kita merupakan 'label' bagi kita. Nama kita menunjukkan siapa diri kita. 

Orang kafir Quraisy telah menghantar Suhail bin Amr untuk berunding dengan Nabi Muhammad dalam peristiwa Perjanjian Hudaibiyyah. Suhail bermaksud mudah. Nabi Muhammad memuji Suhail dengan berkata, "“Sungguh beliau meMUDAHkan urusan saudara semua. Setiap kali orang-orang Quraisy mahukan rundingan, mereka pasti menghantar orang ini.” Rekod Sahih al-Bukhari.

Nabi Muhammad juga memuji nama individu tersebut serta nama tempat dan kabilahnya. 

Sebagai contoh, Buraidah adalah salah seorang sahabat Nabi Muhammad. Buraidah bermaksud dingin dan sejuk. Sewaktu berjumpa Nabi Muhammad, beliau memberitahu Nabi Muhammad bahawa namanya adalah Buraidah. Nabi Muhammad berkata kepada Abu Bakar, “Urusan kita akan dingin.” Yakni tenang dan nyaman. 

Nabi Muhammad bertanya, “Saudara dari mana?” Buraidah menjawab, “Dari Aslam.” Aslam bermaksud selamat. Nabi Muhammad berkata kepada Abu Bakar, “Kita akan selamat.” Nabi bertanya lagi, “Dari kumpulan mana?” Buraidah menjawab, “Sahm.” Sahm bermaksud panah. Nabi Muhammad berkata, “Panah saudara akan meluncur keluar.” – Rekod al-Syamail fi al-Nabiy al-Mukhtar oleh al-Husin bin Mas’ud al-Baghawi al-Syafie (m. 515H)

Teknik :
Katakanlah anak kita bernama Aqil. Dia berumur 5 tahun. Aqil bermaksud pintar, bijak cerdik. Dialog boleh dilakukan seperti berikut :
Ibu : Siapa yang bernama Aqil?
Aqil : Saya!
Ibu : Aqil bermaksud bijak. Ibu mendoakan Aqil BIJAK memilih kawan. Pilih kawan-kawan yang suka menolong orang lain.
Aqil : Baik ibu!

Tukar skrip setiap hari dan beritahu maksud namanya memandangkan namanya adalah dalam Bahasa Arab, sehingga anak itu sudah biasa dengan maksud namanya. Apabila dia sudah tahu maksud namanya, ia akan menjadi 'label' bagi dirinya. Teknik ini juga sesuai untuk guru-guru pra sekolah dan sekolah rendah.


Tuesday, 6 October 2015

Memberitahu Anak-Anak Tentang Adab Meminta Izin


Sumber Google
Ibu: Mahukah anak-anak ibu belajar tentang adab-adab yang disebutkan di dalam Quran?

Anak: Nak, nak. Adab apa ibu?

Ibu: Adab yang pertama: Larangan masuk ke bilik ibu dalam 3 waktu kecuali dengan izin.
Ada 3 waktu, anak-anak tidak boleh masuk ke dalam bilik ibu dan abah kecuali dengan izin

Anak: Waktu apa ibu?

Ibu: Waktu pertama sebelum Subuh
Kedua waktu tengahari
Ketiga selepas Isyak

Apabila hendak masuk, perlu minta izin dengan memberi salam.

Begini caranya, "Assalamualaikum, boleh saya masuk?" Selepas diberi keizinan barulah masuk.

Anak: Kenapa begitu ibu?

Ibu: Itu adalah arahan yang telah ditentukan oleh Allah. Ada disebutkan di dalam Surah An-Nur: Ayat 58. Surah ini di ayat pertama, Allah sebutkan bahawa ini adalah surah yang Allah turunkan dan wajibkan hukumnya supaya manusia beringat.

Sebelum subuh - mungkin ibu dan abah belum lagi bangun.
Tengahari - waktu panas, waktu mandi dan menukar pakaian
Selepas Isyak - waktu tidur

Anak: Oh begitu.

Ibu: Adab yang kedua. Apabila kita ke rumah orang. Beri salam 3 kali sahaja. Sebaiknya tempoh masa salam yang pertama dengan salam kedua seperti solat 4 rakaat (sekitar 5 minit). Tuan rumah mungkin sedang solat atau dalam bilik air.

Anak: Lamanya...

Ibu: Ya itu adabnya, sekiranya kita tidak mahu menunggu atau tiada jawapan atau disuruh pulang, maka kembali lah kita.

Anak: Ketuk pun kena 3 kali ke ibu?

Ibu: Sebaiknya begitu. Semakin tinggi penghormataan ke atas seseorang, semakin perlahan ketukan. Contohnya ketuk dengan 1 jari atau kuku sahaja.

Anak: (praktis ketuk dengan 1 jari dan kuku) Oh tak boleh ketuk kuat-kuat.

Ibu: Ya. Semasa memberi salam. Kita dilarang menghadap pintu, bimbang terlihat aurat penghuni rumah atau sesuatu yang tidak sepatutnya.

Anak: Jadi kena berdiri macam mana?

Ibu: Mengiring ke kanan atau ke kiri.

Ibu: Oh, ada satu lagi. Apabila orang bertanya, "Siapa ini?" Maka hendaklah kita jawab dan sebutkan nama, "Saya Umar" atau "Saya Aiesyah"

Anak: Itulah, ini bila orang tanya, malu-malu.

Anak: Dia pun sama.

Ibu: Dah cukup untuk kali ini. Lain kali kita sambung adab yang lain pula.


Apabila anak mendengar dan menekuni apa yang ibu beritahu, seperti mendengar ibu bercerita.


Rujukan utama adalah Kitab Tarbiyatul Aulad Fil Islam - Abdullah Nasih Ulwan

Wednesday, 30 September 2015

Bagaimana Teknik Marah Tanpa Kata-Kata?

Semasa kelas mengaji semalam, anakanda berdua sembunyi di dalam bilik. Mereka berdua berkomplot untuk tidak mahu mengaji. 

Saya mengarahkan dua beradik tersebut solat dan masuk ke dalam bilik supaya tidak mengganggu pelajar-pelajar lain yang sedang mengaji.


Selepas membaca Al-Fatihah dan doa pembuka, ketika anak-anak mengaji sedang mendendangkan bacaan pertama. Anakanda berdua itu datang daripada belakang saya mengadap kawan-kawan mereka yang sedang mengaji. 

Saya perhatikan anak-anak mengaji gelak sambil memandang ke arah belakang saya. Aish, rupa-rupanya anakanda berdua membuat lawak mega di belakang. Dengan meletakkan baju sejuk di atas kepala, berjalan seperti orang tua dan memegang batang penyapu seperti nenek kebayan lagaknya.


Kawan-kawan mereka di hadapan saya bergelak ketawa memerhatikan lakonan tersebut.

Saya baran melihat kelakuan itu walaupun dalam hati menahan gelak supaya tidak terburai keluar. Tingkah laku itu tidak salah, namun situasi itu tidak sesuai.

Memang geram. Ikut hati mahu sahaja saya ambil penyapu tersebut dan mengangkatnya tinggi. Sabar, sabar, memujuk hati sendiri.

Teringat kepada teknik menunjukkan emosi marah biar muka menjadi merah. Saya pandang salah seorang anakanda (mahu juling mata jika pandang dua anakanda serentak) sambil menunjukkan emosi marah. Saya menahan getar di dada, membuntangkan mata sambil mengetap bibir.

Saya beraksi begitu sehingga anakanda berdua mengundur diri dan masuk ke dalam bilik. Selepas itu mereka tidak keluar lagi dengan aksi lucu.

Ini adalah salah satu cara menegur anak menghentikan tingkah-laku yang tidak elok. Susah juga untuk saya lakukan teknik ini. Jangan keluarkan walau sepatah kata. Diam. Ketap bibir kuat-kuat.

Apabila menunjukkan emosi marah melalui memek muka, anak tidak kecil hati. Mereka tahu kita tidak suka dengan apa yang mereka lakukan pada waktu itu.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Mahukah Tuan dan Puan belajar Teknik Menegur Anak Gaya Nabi Muhammad (selawat ke atas baginda)

+ Menegur anak yang melanggar peraturan
+ Menegur anak yang buat salah, tetapi banyak helah
+ menegur anak yang tidak cekap buat kerja
+ Menegur anak yang mencuri dan berbohong
+ Menegur anak yang melakukan kesalahan beramai-ramai
+ Menegur anak yang silap cara kerja
+ Menegur anak yang buat kerja separuh jalan
+ Menegur anak yang lambat melaksanakan arahan

Tuan-Puan akan dapat aplikasi terus selepas balik dari bengkel tersebut. 

Klik sahaja pada link di atas.

Penyertaan awal akan mendapat ebook ini secara percuma.


Tuesday, 29 September 2015

Tugas Ibu VS Tugas Guru


Sepanjang pengalaman saya menjadi guru bermula pada tahun 1999, hingga kini dengan cahaya mata mencecah 6 orang, pernah Ayah saya bertanya.

"Di rumah, kamu ajar anak mengaji?"
Saya geleng.

Jawab saya, "Saya minta ayahnya yang ajar"

"Kamu tak bolej ajar?"

"Bukan"

"Emmm.. Abah tahu. Kamu tak sabar ya?"

"Ya. Saya 'geram' bila anak sendiri tak tahu baca. Sudahlah saya ini Cikgu. Ajar anak sendiri lebih susah daripada ajar anak orang lain pulak. Anak orang lain cepat saja boleh pandai bila saya ajar."

"Memanglah. Kamu mahu cepat anak kamu pandai. Pandai macam kamu sekarang kan? Dulu masa kamu kecil, mana ada pandai macam sekarang."

Saya lihat Abah hanya senyum-senyum melihat saya yang terkulat-kulat.


- Sumber Facebook Puan Noraminah Omar.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------

Pada Bengkel Menegur Anak Gaya Nabi 10 Oktober ini, kami akan melatih ibu bapa bagaimana menegur anak yang tidak mahu mendengar suruhan. Ia salah satu dari 8 teknik teguran.

+ apa yang ditegur
+ bila teguran itu diberi
+ apa kata-kata teguran yang boleh digunakan
+ apa kata-kata teguran yang tidak boleh digunakan
+ teguran terbuka atau senyap-senyap
+ teguran secara verbal atau non-verbal


Daftar di sini bit.ly/menegurgayanabi

Sunday, 27 September 2015

3 Tips Ringkas Meleraikan Pergaduhan Anak-Anak

Apabila anak-anak bergaduh, memang pening kepala dibuatnya, terutama anak yang semakin besar.

Bergaduh adalah perkara lazim berlaku antara adik beradik. Sehingga ada pepatah mengatakan, "Air dicincang tidak akan putus" Namun sebagai ibubapa, kita tidak mahu pergaduhan yang berlaku bakal merobek keharmonian keluarga.

Anak-anak kecil disebabkan perkara kecil dan remeh-temeh mereka boleh bergaduh. Mereka mahu memiliki, tidak mahu berkongsi, rasa seperti kalah dan sebagainya. 

Anak-anak suka berlawan, mereka sentiasa mahu menang. Kalah itu seperti suatu kegagalan yang besar. Padahal tidak dapat tangkap bola sahaja!


Tips 1: 
Tidak perlu masuk campur apabila anak-anak bergaduh manja, biarkan sahaja. Buat-buat tidak nampak. Pandai pula mereka berkawan semula. Namun sekiranya pergaduhan melibatkan kecederaan dan risiko keselamatan, itu lain cerita.

Tips 2:
Elakkan menyalahkan kakak apabila adik menangis. Jangan memberi ganjaran kepada tingkah laku negatif.

"Kakak, tengok apa kakak sudah buat pada adik. Adik sudah menangis. Tidak baik begini!"

Kakak mendapat perhatian. Perhatian adalah suatu bentuk ganjaran yang diterima oleh kakak, walaupun dalam bentuk marah-marah. Bagi mendapat ganjaran dan perhatian lagi, kakak akan mengulang perbuatannya.

Tips 3:
Leraikan pergaduhan dengan menyebut kelebihan anak kepada anak yang lain.

Panggil adik, beritahu adik. "Adik mesti hormat kakak, kakak selalu bacakan adik buku dan mengajar adik mengira."

Panggil pula kakak, beritahu kakak. "Kakak kena sayang pada adik. Adik selalu ikut cakap kakak. Nanti siapa mahu berkawan dengan kakak di dalam rumah ini?"

Dalam banyak kes, buat-buat tidak tahu dan buat-buat tidak nampak anak-anak berkelahi sesama mereka mengurangkan kes pergaduhan kecil.