Tuesday, 29 September 2015

Tugas Ibu VS Tugas Guru


Sepanjang pengalaman saya menjadi guru bermula pada tahun 1999, hingga kini dengan cahaya mata mencecah 6 orang, pernah Ayah saya bertanya.

"Di rumah, kamu ajar anak mengaji?"
Saya geleng.

Jawab saya, "Saya minta ayahnya yang ajar"

"Kamu tak bolej ajar?"

"Bukan"

"Emmm.. Abah tahu. Kamu tak sabar ya?"

"Ya. Saya 'geram' bila anak sendiri tak tahu baca. Sudahlah saya ini Cikgu. Ajar anak sendiri lebih susah daripada ajar anak orang lain pulak. Anak orang lain cepat saja boleh pandai bila saya ajar."

"Memanglah. Kamu mahu cepat anak kamu pandai. Pandai macam kamu sekarang kan? Dulu masa kamu kecil, mana ada pandai macam sekarang."

Saya lihat Abah hanya senyum-senyum melihat saya yang terkulat-kulat.


- Sumber Facebook Puan Noraminah Omar.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------

Pada Bengkel Menegur Anak Gaya Nabi 10 Oktober ini, kami akan melatih ibu bapa bagaimana menegur anak yang tidak mahu mendengar suruhan. Ia salah satu dari 8 teknik teguran.

+ apa yang ditegur
+ bila teguran itu diberi
+ apa kata-kata teguran yang boleh digunakan
+ apa kata-kata teguran yang tidak boleh digunakan
+ teguran terbuka atau senyap-senyap
+ teguran secara verbal atau non-verbal


Daftar di sini bit.ly/menegurgayanabi

Sunday, 27 September 2015

3 Tips Ringkas Meleraikan Pergaduhan Anak-Anak

Apabila anak-anak bergaduh, memang pening kepala dibuatnya, terutama anak yang semakin besar.

Bergaduh adalah perkara lazim berlaku antara adik beradik. Sehingga ada pepatah mengatakan, "Air dicincang tidak akan putus" Namun sebagai ibubapa, kita tidak mahu pergaduhan yang berlaku bakal merobek keharmonian keluarga.

Anak-anak kecil disebabkan perkara kecil dan remeh-temeh mereka boleh bergaduh. Mereka mahu memiliki, tidak mahu berkongsi, rasa seperti kalah dan sebagainya. 

Anak-anak suka berlawan, mereka sentiasa mahu menang. Kalah itu seperti suatu kegagalan yang besar. Padahal tidak dapat tangkap bola sahaja!


Tips 1: 
Tidak perlu masuk campur apabila anak-anak bergaduh manja, biarkan sahaja. Buat-buat tidak nampak. Pandai pula mereka berkawan semula. Namun sekiranya pergaduhan melibatkan kecederaan dan risiko keselamatan, itu lain cerita.

Tips 2:
Elakkan menyalahkan kakak apabila adik menangis. Jangan memberi ganjaran kepada tingkah laku negatif.

"Kakak, tengok apa kakak sudah buat pada adik. Adik sudah menangis. Tidak baik begini!"

Kakak mendapat perhatian. Perhatian adalah suatu bentuk ganjaran yang diterima oleh kakak, walaupun dalam bentuk marah-marah. Bagi mendapat ganjaran dan perhatian lagi, kakak akan mengulang perbuatannya.

Tips 3:
Leraikan pergaduhan dengan menyebut kelebihan anak kepada anak yang lain.

Panggil adik, beritahu adik. "Adik mesti hormat kakak, kakak selalu bacakan adik buku dan mengajar adik mengira."

Panggil pula kakak, beritahu kakak. "Kakak kena sayang pada adik. Adik selalu ikut cakap kakak. Nanti siapa mahu berkawan dengan kakak di dalam rumah ini?"

Dalam banyak kes, buat-buat tidak tahu dan buat-buat tidak nampak anak-anak berkelahi sesama mereka mengurangkan kes pergaduhan kecil.



Friday, 25 September 2015

Pujian Menaikkan Self Estim Anak-Anak

Cara paling mudah untuk menaikkan keyakinan (self-estim) anak-anak adalah dengan pujian. Walaupun anak cuma melakukan perkara kecil.

Pujian adalah alat paling ampuh untuk digunakan sebagai ganjaran positif bagi tingkah laku baik anak-anak.

Apabila adik jatuh semasa bermain, abang datang bantu angkat adik. Sambil menenangkan adik, abang menepuk kuat badan adik membuang pasir halus yang melekat.

Perhatikan gelagat dua beradik itu, kemudian si ayah datang sambil memegang bahu abang, ayah berkata, "Ayah lihat abang bantu adik tadi, itu adalah perbuatan yang mulia. Ayah bangga mempunyai anak yang suka menolong. Allah mengasihi orang yang mengasihi orang lain"

Tips memberi pujian:
1. Pujian mesti diberikan segera
2. Pujian diberikan secara terbuka
3. Pujian khusus kepada perkara yang dilakukan
4. Tutup mata pada kesilapan (tepuk adik dengan kuat)


Tuesday, 22 September 2015

Berdoa Secara Terbuka Mendorong Anak Solat


Apabila anak semakin membesar, cabaran mendidik bertambah besar.

Pelbagai strategi dan teknik dipelbagaikan untuk mendorong anak-anak solat tanpa perlu menyuruh atau mempengaruhi mereka dengan ganjaran luar.


Solat memerlukan dorongan intrinsik yang kuat (Dorongan Intrinsik adalah dorongan atau tindakan yang tidak dipengaruhi oleh akibat atau ganjaran luar. Melakukan sesuatu kerana mengikut gerak hati.

Kredit gambar Jannahslist.com

Malam itu selepas berkumandang azan Maghrib, ibu mengajak anak-anak solat bersama. Namun anak-anak tidak mengendahkan, masing-masing ralit membina menara menggunakan kad.

Seusai ibu solat, anak-anak masih dengan aktiviti mereka. Bagaimana mahu mendorong anak-anak ini solat tanpa perlu memberikan arahan. Kita tidak mahu menyuruh-nyuruh anak solat setiap kali masuknya waktu solat. Bagaimana mahu menanam kesedaran tentang solat di dalam diri anak-anak? Bagaimana mendorong anak menjadikan solat itu satu tanggungjawab yang perlu dilunaskan tanpa perlu disuruh-suruh?

Kali ini skrip yang digunakan sedikit berbeza. Saya pujuk anak yang lebih besar dahulu untuk solat. Saya katakan kepada kakak, "Aiesyah, Aiesyah sudah besar. Ibu sudah tidak perlu lagi mengingatkan Aiesyah untuk solat setiap kali masuk waktu." Aiesyah diam. 

Saya menyambung, "Boleh Aiesyah solat Maghrib sekarang, sekejap lagi nak mula kelas mengaji."

Kemudian, Aiesyah mula bersuara,"Ya Aiesyah solat."

Apabila mendengar Aiesyah berkata begitu, saya diam dan hanya menunggu. Tidak mahu menyuruh lagi. Beberapa minit kemudian, Aiesyah bangun melangkah ke bilik air mengambil wudhuk. Kemudian menunaikan solat di ruangan tamu berhampiran tempat mereka bermain tadi.

Alhamdulillah kakak sudah solat, saya sudah merancang untuk berdoa secara terbuka memandangkan kakak solat berhampiran dengan dengan tempat adik bermain.

Selesai sahaja kakak Aiesyah solat, saya terus berdoa dengan kuat.

"Ya Allah berilah kebaikan kepada anak-anak ibu yang solat. Jadikan anak-anak ini anak yang soleh dan solehah"

Aiesyah memandang saya dengan senyuman. Umar (adik) juga memandang saya. Lagaknya seperti tidak berpuashati dengan doa tadi. Umar pun berkata, "Alaa.. Umar pun nak jugak!"

Lantas Umar bangun dan melunaskan tanggungjawab menunaikan solat. Seperti biasa, sebelum solat Umar akan bertanya solat apa dan berapa rakaat.

Usai Umar solat, saya mengulangi doa tadi seperti di atas. Kemudian mereka berdua mengemas mainan dan mengambil Quran memulakan kelas mengaji.

Nota: Berdoa adalah salah satu bentuk ganjaran sosial positif.


Teks oleh Wan Rohani Wan Ismail

Wednesday, 16 September 2015

Terangkan Kesan Dan Akibat Yang Mudah Difahami Anak-Anak

Nota Parenting

Anak kecil belum pandai membezakan perilaku baik ataupun buruk. Mereka tidak dapat berfikir akibat daripada perbuatan yang mereka lakukan.

Tanggungjawab ibubapa dan pendidik menerangkan kesan dan akibat yang boleh difahami oleh anak dengan mudah. Apabila anak melakukan kesilapan kecil, biarkan sahaja. Buat-buat tidak nampka. Apabila mahu menegur, ada tekniknya. Jangan ditengking, jangan diherdik.

Anak yang kerap dimarahi, lama-kelamaan mereka tidak peduli. Kekecewaan menjadikan mereka mudah melawan, membantah, mudah marah dan memberontak.