Monday, 14 September 2015

Anak Kecil Mendorong Rakan Sebaya Melakukan Perbuatan Baik

Apabila anak-anak mendorong rakan sebaya mereka melakukan perkara baik.

Kredit gambar link.

Ini adalah kisah dua orang anak syurga 6 dan 8 tahun. Selepas mengemas rumah, menyapu lantai, membuang habuk, menyusun buku dan permainan, dua anak ini bercakap sesama mereka.

"Kita kena letak peraturan supaya kawan-kawan yang datang mengaji membuang habuk di kaki sebelum masuk rumah."

"Betullah, kena letak peraturan ketuk pintu, susun selipar dan susun quran juga."

Menerangkan peraturan kepada anak kecil perlu diulang-ulang. Walaupun hampir setiap hari diingatkan supaya memberi salam dan menyusun selipar namun sukar untuk menjadikannya rutin yang sentiasa diikuti.

Apa yang berlaku mereka mengetuk pintu dengan bunyi ketukan yang kuat dan membingitkan telinga. Bagai mahu pecah pintu dibuatnya. Masuk ke dalam rumah baru mengucapkan salam dan membiarkan selipar bergelimpangan di luar pintu. Bukan itu sahaja, malah Al-Quran dan Iqra' tidak disusun dengan baik.

Apa yang mahu dibuat oleh anak-anak iaitu menulis peraturan adalah sesuatu yang perlu.

Anak-anak mula mengambil kertas putih dan krayon. Adik dan kakak sama membantu menulis peraturan. 
Adik berkata, "Kita kena tulis MOHON dulu."

Ibu yang mendengar mengangguk dan berkata, "Ya setuju."


Dua beradik itu mula menulis:

Mohon

1. Susun Selipar

2. Beri Salam
3. Ketuk 3kali



Mohon
Susun Al-Quran/Iqra Selepas Digunakan.



Mereka mula mendapatkan pita pelekat dan mencari ruangan untuk tampalan. 

Adik memberi cadangan,"Yang ini kita tampal di pintu, baru semua orang nampak."

Kakak pula menambah,"Nanti mereka datang mengaji terus kita beritahu peraturan sebelum mereka masuk. Yang ini pula kita tampal di atas rak Al-Quran."

Ibu hanya mendengar dan memerhati sahaja gelagat dua ahli syurga ini. Sesekali ibu menjawab apabila mereka bertanya. Apabila tahu mereka mahu menampal di luar pintu, habislah tidak berseri lagi. Getus ibu di dalam hati. Namun demi anak-anak yang bersemangat ibu akur juga.

Anak sudah lupa untuk letakkan peraturan lap kaki sebelum masuk. Tidak mengapa, tunggu sahaja bila mereka sudah ingat.
Ini tampalan di muka pintu. Sangat jelas.



Lihat hasil yang anak-anak tulis. Mereka mahukan peraturan dan penerangan yang pendek dan jelas. Mudah untuk mereka dengar dan patuh.

Malam itu apabila kawan-kawan mengaji datang, mereka cepat berlari dan membuka pintu sambil berkata, "Lihat peraturan ini, mohon baca."

MasyaALLAH selepas itu, tiada lagi bunyi ketukan yang membingitkan telinga sehinggalah malam tadi sudah hampir 2 minggu peraturan ditampal. Selipar juga tidak lagi berserakan. Mereka memberi salam dahulu sebelum mengetuk pintu tiga kali sahaja.


Mahukah tuan belajar 8 teknik menegur anak gaya Nabi Muhammad (selawat ke atas baginda)?
+ Menegur anak yang melanggar peraturan
+ Menegur anak yang buat salah, namun banyak helah
+ Menegur anak yang tidak cekap buat kerja
+ Menegur anak yang mencuri dan berbohong
+ Menegur anak yang melakukan kesalahan beramai-ramai
+ Menegur anak yang silap cara kerja
+ Menegur anak yang buat kerja separuh jalan
+ Menegur anak yang lambat melaksanakan arahan

Lihat detail di sini Menegur Anak Gaya Nabi


Monday, 7 September 2015

Ibu, Kenapa Kita Kena Baca Bismillah?

Saya tersentak semasa menikmati secawan kopi apabila anak saya datang dan bertanya soalan di atas.

Sebagai ibu, belum pernah saya terangkan secara terperinci kepada anak-anak kenapa kita perlu mengucapkan Bismillah sebelum memulakan sesuatu.

Saya menghela nafas panjang mencari jawapan yang tepat.

Saya teringat kepada satu video tentang Bismillah yang saya lihat beberapa bulan yang lalu. Kupasa video itu sangat menarik minat saya sehingga saya mencatat sesuatu di dalam kertas. Ya kertas tersebut masih saya simpan.

Bismillah.

Kenapa kita kena baca Bismillah?


1. Allah adalah tempat bergantung manusia

Manusia sifatnya lemah, kita seringkali mendengar kata-kata bahawa manusia sifatnya tidak sempurna. Jadi apabila kita hendak melakukan sesuatu, sudah tentu kita perlu meminta supaya Allah bantu sempurnakan yang kurang sempurna.

2. Allah melihat apa yang kita lakukan

Apabila membaca Bismillah, kita ingat kepada Allah. Apabila kita ingat Allah, Allah ingat kita. Apabila kita ingat Allah kita tahu bahawa Allah melihat apa yang kita lakukan. Sudah tentu kita akan lakukan yang terbaik untuk Allah.

3. Kita lakukan kerana Allah

Bismillah mengingatkan kita bahawa kita melakukan sesuatu hanya kerana Allah.

4. Allah menjaga kita

Dengan membaca Bismillah kita rasa selamat, kerana kita tahu bahawa Allah menjaga kita.

Saya lakarkan Bismillah dalam bentuk peta minda. Ini baru Bismillah belum lagi Ar-Rahman dan Ar-Rahim.

Allahuakbar.

Teks oleh Wan Rohani Wan Ismail
http://wanrohaniismail.blogspot.com



Thursday, 27 August 2015

Mendorong Pelajar Solat Tanpa Menyuruh Mereka Solat

Pelik. Bagaimana mendorong pelajar solat tanpa menyuruh mereka solat?

Ini adalah pengalaman saya sendiri. Kelas mengaji saya berlangsung setiap malam Isnin hingga Khamis setiap minggu. Pada malam Isnin lepas saya tergerak hati untuk tanyakan pelajar, "Sudah solat Maghrib ke semua ni?" (Ini bukan menggunakan Teknik Nabi)

Semua pelajar diam, ada beberapa pelajar yang menjawab tak dengan nada suara yang perlahan dan tersipu-sipu. "Oh patut lah sampai awal" (Ini juga bukan skrip Teknik Nabi). Walaupun saya terkejut dengan jawapan pelajar saya yang terdiri daripada kanak-kanak 5 - 12 tahun. 12 tahun itu sudah besar, ada beberapa orang sudah pun baligh.

Selepas semua duduk dan membaca Al-Fatihah, saya bertanya," Siapakah di sini yang Solat Maghrib sebelum datang kelas mengaji?" semua diam. Kemudian saya bertanya lagi,"Siapakah di sini yang susun selipar sebelum masuk?" hanya dua orang yang berkata saya. Memang sengaja saya bertanyakan soalan ini kerana saya perhatikan kasut dan selipar bergelimpangan seperti dibuka oleh orang yang dikejar hantu.

Saya diam memerhatikan gelagat pelajar-pelajar ini, Kemudian saya bertanya lagi,"Siapakah di sini yang bersalam dengan kedua ibubapa sebelum datang?" Hanya dua atau tiga orang sahaja yang mengangkat tangan dan berkata saya. Saya diam memerhati tanpa menunjukkan memek muka bersetuju atau tidak setuju.


Selepas semua diam saya berkata,"Sesungguhnya sesiapa yang melakukan perbuatan yang Ustazah sebutkan tadi, sudah tentu mendapat ganjaran pahala kebaikan."

Air muka kanak-kanak mula berubah, mereka tersenyum. Ada yang berkata, esok saya tak akan lupa untuk solat. Tiba-tiba bangun seorang pelajar 7 tahun keluar. Hairan. Rupa-rupanya beliau menyusun semua selipar yang berserakan di luar rumah. Tanpa menyuruh, anak ini terdorong untuk melakukan kebaikan.

Soalan yang sama saya tanya pada hari Selasa dan Hari Rabu. Apa yang mengejutkan saya, pada hari Rabu, sudah ramai yang mengangkat tangan selepas soalan yang sama saya utarakan. 

Sekiranya tuan puan pernah mengikuti Bengkel Teknik Nabi, ini adalah teknik menggunakan skrip bertanya soalan akhlak.


Kredit gambar www.pinterest.com

Tuesday, 11 August 2015

Ibu Jangan Mati Dahulu

Teks oleh Wan Rohani Wan Ismail


Semasa kami menikmati juadah petang, Aiesyah datang memeluk tangan kanan saya seraya berkata, "Ibu jangan mati dahulu, Aiesyah nak ibu muda selalu, jangan tua-tua."

Saya terkesima sekejap dengan kata-kata anak 8 tahun itu. Saya membalas,"Aiesyah, tidak semestinya orang yang tua mati dahulu. Ingat lagi semasa kita melihat kubur kanak-kanak 3 tahun."

Kemudian, Aiesyah mencelah,"Itu mesti kes kemalangan, kan ibu?"

"Ajal maut hanya Allah yang tentukan, hanya Allah yang tahu bila dan bagaimana ajal kita nanti."

Aiesyah dan Umar serentak bertanya,"Ajal itu apa ibu?"

Sengaja saya sebutkan perkataan yang jarang-jarang anak dengar supaya mereka belajar sesuatu yang baru.

"Ajal itu apabila nyawa sudah bercerai dengan jasad. Apabila nyawa ditarik keluar, maka matilah kita. Siapakah malaikat yang kerjanya mencabut nyawa?"

"Malaikat Izrail mencabut nyawa." Poster senarai malaikat memang ada di sebelah meja makan kami.

Anak-anak ada juga tanyakan tentang hari kebangkitan, namun saya simpan dahulu entri tersebut di waktu yang lain, In shaa Allah.




Sunday, 9 August 2015

Berbahasa Yang Betul Menghormati Orang Lain

Teks: Wan Rohani Wan Ismail

Minggu lepas saya ke bengkel kereta untuk menukar 'break pad' kereta comel saya yang sudah berbunyi-bunyi.

Saya: Tuan, brek kereta saya sudah berbunyi
Tuan bengkel: Brek sudah habis (katanya sambil melihat tayar kereta saya). Duduk dulu, nanti kita tukar.
Saya: Tuan, berapa ringgit tukar brek?
(Lurusnya saya bertanya, memandangkan saya jarang bawa kereta ke bengkel. Selalunya suami yang uruskan.)
Tuan bengkel: RM70 semua sekali.

Sesekali saya memerhatikan pekerja tuan bengkel menguruskan kereta saya. Mahu juga saya melihat bagaimana keadaan brek yang sudah habis itu.

Apabila tuan bengkel melihat saya menjeling ke arah kereta, beliau berkata. "Kami beli barang sekejap lagi boleh  terus pasang. Makan karipap atas meja tu" 

Hampir 45 minit jumlah masa saya di bengkel melayan dua anak kecil, Tuan bengkel datang dan menunjukkan ibujari, tanda kereta sudah siap.

Saya membuka dompet dan menghulurkan wang RM70, tuan bengkel itu menghulurkan RM5 sambil berkata,"RM65 sahaja"


Saya mengambil nota hijau itu dengan senyuman, untung tuan kedai baik, pemurah pula. Inilah untungnya menggunakan bahasa yang baik, orang suka. Mudah sahaja diberikan diskaun tanpa perlu meminta-minta.