Thursday, 9 July 2015

Memberikan Ganjaran Sosial Pahala Kebaikan: 3 Dalam 1


Teks: Wan Rohani Wan Ismail

Petang semalam, kedua anak saya tidak berpuasa. Mereka sendiri memberitahu dengan jujur. Saya tidak marah. Saya tidak kritik. Mereka berdua masih dalam proses latihan.

Saya mencuba skrip baru dengan berkata,"Sesungguhnya orang yang tidak berpuasa boleh mendapat pahala kebaikan. Contohnya seperti membantu orang yang berpuasa."

"Seperti?" 

"Seperti mengangkat baju di ampaian."

Anak perempuan 8 tahun itu segera mengambil kunci, membuka jeriji dan mengangkat semua baju di ampaian.

Apabila Aiesyah masuk sahaja ke dalam rumah, saya terus memuji,"Sesungguhnya Aiesyah telah melakukan perkara kebaikan dengan membantu orang yang berpuasa. Malaikat di sebelah bahu kanan Aiesyah telah mencatat pahala untuk Aiesyah."

"Betul ke ibu?"

"Betul."

Tidak lama selepas itu, Aiesyah berkata sesuatu,"Ibu, hampir berbuka ni, boleh Aiesyah hidangkan makanan?"

"Boleh. Bersihkan tangan dahulu."

"Ok"

10 minit kemudian, saya dan Umar masuk ke dapur. Makanan sudah terhidang semuanya. Tinggal lagi mangkuk kecil untuk bubur dan cawan belum ada.


Aiesyah meluru ke arah saya dan bertanya, "Ibu, banyak pahala Aiesyah dapat?"

"Mestilah banyak. Cuma pahala ini kita tidak nampak sahaja."

Tiba-tiba Umar bersuara, "Umar pun nak pahala"

"Umar boleh tolong ambilkan mangkuk kecil dan cawan."

Silap saya tidak memuji Umar selepas dia membawakan mangkuk dan cawan. Waktu sudah hampir berbuka, sudah tidak ingat yang lain.

Selesai berbuka, MasyaAllah dengan tidak semena-mena, Aiesyah mengambil semua pinggan dan cawan kotor ke sinki. Tanpa disuruh dia mencuci kesemuanya.

Saya sungguh terkesima, bukan tidak pernah Aiesyah bantu saya cuci pinggan dan kemas meja. Namun kali ini lain sedikit.

Saya hanya puji sekali, namun kebaikan berganda tiga.

3 dalam 1



Wednesday, 24 June 2015

Latihan Menangguhkan Kepuasan

Teks: Wan Rohani Wan Ismail

Berpuasa adalah salah satu latihan dalam menangguh kepuasan.

Anak-anak tahu peraturan berpuasa, mereka hanya boleh berbuka apabila masuk waktu Maghrib. Namun setiap anak berbeza.

Ada anak yang kurang sabar. Mereka tidak tahan berlapar dan dahaga. Mereka mendesak untuk minum sedikit air dan sebagainya.

Ada anak yang sanggup tahan. Mereka menangguhkan kepuasan berbuka dengan menanti waktu berbuka. Mereka akan mendapat makanan yang lebih lazat apabila berbuka pada waktunya. Mereka tidak makan atau minum walau tiada sesiapa melihat.

Perhatikan gelagat anak-anak. Anak-anak mempunyai karakter yang berbeza-beza.

Menangguhkan kepuasan adalah salah satu sifat pejaya.


Tuesday, 23 June 2015

Anak Teruja Dengan Ganjaran Pahala

Teks: Wan Rohani Wan Ismail


Aiesyah: Esok Aiesyah mahu solat penuh

Ibu: Bagusnya. Niat yang baik sudah mendapat pahala. Malaikat di kanan bahu Aiesyah sudah mencatit niat baik yang Aiesyah mahu lakukan.


Umar nampaknya tidak mahu mengalah.

Umar: Umar dapat 27 pahala, tadi Umar solat di masjid.

Ibu: Ya betul. Solat berjemaah mendapat 27 ganjaran pahala.

Aiesyah: Aiesyah pun solat berjemaah juga.

Ibu: In shaa Allah kita masuk syurga bersama-sama, ada rumah di dalam syurga berjiran dengan Rasulullah.

Rupanya, anak-anak suka berlumba melakukan amalan baik apabila mereka tahu ganjaran positif yang diterima.

Sebagai ibu, saya tidak memihak kepada mana-mana anak-anak. Sekiranya kedua anak menceritakan kebaikan saya puji. Apabila mereka mengadu tentang adik beradik yang lain, saya mendengar dan berkata ya, ya, ya. Ada masa saya cuma mahu diam, namun seringkali anak mendesak untuk mendapatkan perhatian. Saya katakan ya sambil menganggukkan kepala.

Kebaikan solat berjemaah di dalam Jurnal Aktiviti 6 Ramadhan.


Sunday, 21 June 2015

Ganjaran Sebagai Pengukuh Positif

Teks: Wan Rohani Wan Ismail

Ganjaran adalah pengukuh positif yang mendorong penerima mengulangi tingkah laku

Sesetengah ganjaran mendorong penerimanya mengulangi tingkah lakunya. Sebagai contoh anak-anak yang diberi gula-gula supaya berhenti menangis. Pada masa hadapan anak akan menangis lagi untuk mendapatkan gula-gula. Gula-gula menjadi pengukuh positif anak-anak untuk mengulang tingkah laku menangis.

Begitu juga, murid-murid yang diberi perhatian oleh guru apabila mereka melakukan kesalahan. Mendapatkan perhatian guru adalah salah satu bentuk ganjaran yang menjadi pengukuh positif murid mengulang tingkah laku yang sama di masa akan datang.

Tuesday, 16 June 2015

Mudahnya Menggunakan Skrip Pujian

Teks: Wan Rohani Wan Ismail

Situasi di rumah selepas makan.

Ibu: Siapa anak ibu yang mahu bantu mengemas meja?

Anak-anak semua diam.

Ibu: Ibu agihkan kerja. Aiesyah kemas dan lap meja.

Aiesyah: Boleh.

Ibu: Umar bantu sapu lantai selepas Kakak Aiesyah lap meja.

Umar: Ok!

Ibu: Abang Hakim basuh pinggan.

Umar: Alaa... Umar mahu basuh pinggan.

Hakim: Itu kerja Hakim. Umar sapu lantai.

Usai makan, masing-masing melakukan kerja seperti yang diberitahu. MasyaAllah, meja bersih bersinar, lantai tiada berhabuk, sinki bersih dan berkilat.

Ibu: Alangkah bagusnya perbuatan-perbuatan ini.

Ibu berjalan perlahan sambil mencuit meja yang berkilat, menggerakkan kaki merasa lantai yang licin dan melihat sinki berkilat.

Sungguh. Mudah sahaja menggunakan skrip Teknik Nabi. Sebut perbuatan anak yang baik. Puji serta merta.