Monday, 20 April 2015

Tangani Anak Nakal

Teks oleh: Wan Rohani Wan Ismail

"Saya tidak tahu nak buat apa lagi"
"Anak saya ni nakal sangat, bila kita cakap dia buat tak tahu"

Keluh seorang ibu kepada saya semasa kami berjumpa di majlis rumah terbuka. Saya senyum sahaja, tidak tahu bagaimana untuk memulakan bicara.

Saya bukan pakar kanak-kanak, pengalaman masih sangat cetek. Namun saya percaya setiap anak yang dianugerahkan ada keistimewaan tersendiri. Ibubapa adalah pendidik dan pembimbing yang diamanahkan untuk menyemai serta membaja benih kebaikan dalam diri anak-anak.


Sebagai ibu yang bekerja di rumah, kesabaran selalu diuji. Adakala terikut juga dengan panahan syaitan dan nafsu amarah. Jadi perkongsian ini untuk ingatan diri sendiri, bagaimana menangani anak nakal.

1. Tiada istilah anak nakal
Tukar 'anak nakal' kepada 'anak kreatif' atau 'anak bijak' supaya sel-sel otak menterjemahkan yang sama. Setiap kali abang usik adik, tukar dari skrip "Jangan usik adik" kepada "Abang main dengan adik baik-baik". Setiap kali ibu menyebut, ia adalah doa. Ingat bahawa Allah akan mengikut apa yang kita sangka.


2. Jangan menjerit
Bercakap sambil menjerit sangat memalukan. Cukuplah menjerit, anak-anak juga punya harga diri. Mereka tidak nampak seperti berkecil hati tetapi memberi kesan dalam minda separa sedar. Apabila anak sudah biasa disuruh mendengar dengan jeritan bimbang anak tidak akan mendengar dengan cara lembut.

3. Beri perhatian
Adakala anak bertindak keterlaluan hanya untuk menagih perhatian daripada ibubapa. Apabila pulang ke rumah, berilah masa kepada anak-anak. Dengar apa yang mereka beritahu, pandang wajah dan berikan perhatian kepada apa yang dicakapkan. Bertanya kepada mereka, cakna apa yang berlaku. Teladani Rasulullah yang berpaling seluruh tubuh apabila bercakap. 
Tips mengendalikan anak yang sukar untuk mengikut arahan, duduk biar level kita dan anak sama dengan kata lain rendahkan badan, pegang muka dan pandang mata anak. Biar mata bertentang mata pada aras yang sama. Cakap dengan nada yang perlahan dan jelas. 
4. Puji mereka
Berilah perhatian kepada kelakuan baik anak. Puji serta merta. Apabila melihat abang ambilkan mainan adik yang jatuh, usah tunggu terus puji, "Ibu kagum abang tolong ambilkan mainan adik yang jatuh. Abang memang abang yang baik, ibu suka". 
Jangan perli dengan berkata, "Amboi baik sangatlah abang tu!" atau pujian yang bercampur dengan kenyataan negatif seperti ini, "Nanti lepas ambil mainan, usik adik pula".

Doa yang boleh diamalkan

5. Doakan anak-anak
Sentiasa doakan anak-anak apabila teringat. Bukan hanya selepas solat. Mohon Allah dorongkan kita menjadi ibubapa dan kawan terbaik untuk anak-anak. Moga anak-anak sentiasa lembut hati dan dijauhkan dari kebatilan yang berada di sekeliling mereka.

6. Tidurkan anak-anak
Lazimnya anak-anak suka tidur berteman. Ambil masa berkualiti ini untuk bercakap dengan anak-anak, selami hati mereka. Bercerita kisah teladan atau kisah kita masa kecil dahulu sebagai pengajaran buat mereka. Bacakan Al-Fatihah, Selawat, An-Nasyrah dan Surah Thoha 1-5 ke ubun-ubun anak semasa mereka tidur.

7. Sediakan makanan yang baik
Makanan yang diambil sedikit sebanyak memberi kesan. Kurangkan pengambilan gula atau coklat sekiranya anak kita sedia aktif. Berikan makanan yang baik daripada air tangan sendiri. Sesekali suapkan anak-anak makan.

8. Bacakan Al-Quran dan Hadis di rumah
Hadis adalah kata-kata Rasulullah yang penuh hikmah. Membacanya boleh melembutkan hati.

Berilah perhatian dan kasih sayang kepada anak, jika kasih sayang itu adalah ubat, maka ubat ini adalah yang terbaik untuk menyembuhkan segala penyakit yang ada

Apakah kita banyak senyum atau masam di depan anak-anak? Renungkan.

Sunday, 19 April 2015

Perkembangan Bahasa Kanak-Kanak Menggunakan Kad Imbas Bergambar

Teks dan foto: Wan Rohani Wan Ismail

Mahukah Puan saya kongsikan satu cara mudah untuk bergembira dengan anak-anak?

Kad Imbas Bergambar ini saya beli 2 tahun lepas. Waktu itu saya hanya menceritakan kepada anak-anak pelajar tentang kisah Si Ayam berdasarkan gambar pada kad. Ia habis di situ. Tidak banyak idea untuk menggunakan kad imbas ini.

Selepas menghadiri bengkel Berfikir Aras Tinggi beberapa bulan lepas, serta sesi perjumpaan dengan guru yang mengamalkan kaedah HOTS ini, idea menggunakannya semakin berkembang.


Rupa-rupanya satu produk Kad Imbas Bergambar ini boleh dipelbagaikan permainan. Sebagai contoh, permainan bahasa, permainan bercerita mengikut imaginasi sendiri, mereka cerita selepas dan sebagainya.

Kali ini saya kongsikan permainan perkembangan bahasa yang saya pernah lakukan bersama anak 6 dan 8 tahun.

Bagaimana permainannya?

1. Pilih satu kad dan letakkan di atas meja.

2. Minta anak perhatikan gambar betul-betul

3. Sebutkan apa-apa sahaja yang terlintas di fikiran apabila melihat tersebut.

4. Tuliskan di kepingan kertas kecil atau sticky note.

Untuk sekeping kad imbas bergambar ini, anak 6 tahun berjaya keluarkan 19 patah perkataan.



Oleh kerana anak lelaki 6 tahun belum pandai menulis jadi saya tolong tuliskan.

Sebagai ibu saya juga belajar sesuatu, contohnya anak saya bertukar janggut kepada misai :D
Saya sendiri tidak tahu apakah perkataan yang tepat, sehingga diberitahu di dalam komen oleh seorang guru. 



Selamat mencuba! In shaa Allah jumpa lagi.

Thursday, 2 April 2015

Menerangkan Apabila Anak Bertanya

Teks: Wan Rohani Wan Ismail

Saya mahu kongsikan sesuatu yang berlaku semalam di antara saya dan dua anak, 6 dan 8 tahun.

Kami keluar membeli sedikit barang di pasaraya kecil berhampiran. Semasa mengambil mandian untuk bayi, anak lelaki 6 tahun berkata, "Umar mahu mandian ini, boleh?"

Anak perempuan 8 tahun pula mengambil satu mandian lagi dan berkata, "Aiesyah mahu yang ini, boleh?" Ibu menggelengkan kepala. Mereka serentak berkata dengan nada memujuk, "Ala, boleh lah ibu." Ibu bawa kedua anak ini ke bahagian rak yang dipenuhi mandian jenama biasa. "Em, kita beli yang ini, 2Liter harganya baru RM8.90. Cuba lihat harga mandian yang Umar dan Aiesyah ambil, berapa harganya?"

Aiesyah meneliti botol mandian dan berkata, "RM7.90. Umar punya RM6.90."

Saya menduga dengan bertanya, "Jadi bagaimana sekarang?"

Kedua mereka memeluk erat mandian yang telah masing-masing pilih. Baik. Kami ke kaunter bayaran.

Pulang ke rumah, saya membuka Buku Belanjawan Kewangan dan mencatit berpelanjaan. Aiesyah datang dan bertanya, "Ibu, tulis apa?"

"Ibu tulis senarai wang yang keluar." Aiesyah mendekatkan kepala, sambil berkata, "Banyaknya Ibu! Duit sekolah, duit van, duit taska Ammar, semua itu."

"Ya, sebab itu apabila anak-anak mahu sesuatu, mesti tanya dahulu. Ibu, ada duit lebih? Boleh saya mahu ini.. ini."

Umar dan Aiesyah tersenyum mendengar sambil menganggukkan kepala.

Kemudian, Umar berkata, "Ya betul. Ini tidak, nak juga! Nak juga!"

Waktu yang paling baik untuk beritahu sesuatu adalah apabila anak bertanya. Apabila anak-anak bertanya, mereka bersedia untuk mendengar.

Tuesday, 17 March 2015

Menolak Permintaan Anak Menggunakan Ayat Tawaran

Teks dan foto: Wan Rohani Wan Ismail

Cerita 3 ekor biri

Pulang dari bengkel Ahad lepas, Umar menangis sambil menghentak-hentakkan kaki ke lantai.

Saya bertanya,"Apakah yang membuatkan Umar menangis?"


Kata Umar "Nak telefon"

Saya memegang kepalanya sambil ligat memikirkan apakah pilihan yang saya ada untuk memujuk. Saya teringat beberapa helai kertas berwarna hijau dan hitam yang ada di dalam beg sandang belakang.


Saya menggunakan ayat tawaran "Mahukah Umar belajar membuat biri-biri dan katak?" 

Saya bertanya lagi selepas Umar menganggukkan kepala. "Mahu buat biri-biri dahulu atau katak?"

Memujuk anak melupakan gajet hanya dengan kertas, gunting dan gam. 

Malam itu juga Umar melekatkan 3 ekor biri-biri di satu sudut khas dinding. Sengaja saya membiarkan 3 ekor biri-biri tidak melekat dengan kuat supaya anak akan menggerakkan sambil bercerita. Semalam  sudah ada tambahan rumput dan air yang anak-anak tampal sendiri.



---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Cerita ini pernah saya kongsikan di dinding mukabuku (Facebook) dan pernah dimasukkan ke dalam blog Ketua Jurulatih Teknik Nabi, Puan Nurhidayah Jaafar.
Selepas tamat satu siri training, seorang ibu peserta menghampiri saya dan bertanya:
“Puan, bagaimana cara ibu bapa untuk menolak permintaan anak-anak yang meminta sesuatu yang tidak mampu diberikan oleh ibu bapa. Mereka meminta sesuatu yang pada tanggapan ibu bapa tidak bermanfaat seperti permainan PSP, video game, handphone, tablet, itu dan ini.”
Saya menceritakan satu teknik Nabi Muhammad menolak permintaan anak beliau, Fatimah yang diceritakan dalam hadith ini:
Ali bin Abu Talib adalah menantu kepada Nabi Muhammad. Beliau melaporkan bahawa isterinya, Fatimah binti Muhammad, pernah meminta kepada ayahnya supaya dia diberi seorang pembantu rumah. Nabi Muhammad menjawab dengan berkata, “Mahukah ayahanda beritahu sesuatu yang lebih baik untuk anakanda berdua dibandingkan dengan seorang pembantu rumah? Apabila anakanda berdua pergi ke katil kamu, ataupun anakanda pergi ke tempat tidur kamu berdua, bacalah takbir 33 kali, dan baca tasbih 33 kali, dan baca tahmid 33 kali. Itu adalah lebih baik bagi anakanda berdua daripada seorang pembantu rumah.”
– Hadith ini dipetik dari rekod hadith autentik dalam koleksi Bukhari. Diterjemahkan oleh Tim Pengkaji Hadith Psikologi
Aplikasi dari hadith ini adalah:
  1. Tolak permintaan anak itu dengan memberikan alternatif lain.
  2. Menolak permintaan mereka dengan menggunakan ayat tawaran, contohnya; “Mahu ibu beritahu sesuatu yang lebih baik berbanding….?
  3. Pemberian alternatif itu adalah lebih bermanfaat, bermutu dan menguntungkan daripada sesuatu yang diminta.
  4. Tidak memberitahu sebab permintaan anak itu ditolak.

Sunday, 22 February 2015

Menerangkan vs Memarahi

Teks: Wan Rohani Wan Ismail

Anak kecil ditimang-timang, dipeluk dan dicium hampir setiap saat. Lihat sahaja muka bayi, mahu sahaja dipeluk cium. Hilang semua tekanan dan masalah apabila dapat peluk dan cium ahli syurga ini.

Apabila anak semakin besar, 4-5 tahun usianya sudah semakin lincah, pandai meneroka sekeliling. Bedak dijadikan salji, air dilantai dijadikan permainan meluncur. Apabila memegang pen, pensil mula melakar dan menghasilkan karya seni di kertas dan dinding rumah. Mencampurkan semua bahan yang ada di dapur untuk resepi rekaan terbaru dan dimasukkan dalam peti ais untuk lihat hasilnya.

Ini cuma sebahagian kecil penerokaan dan kaji selidik anak-anak. Semakin membesar semakin mencabar. ada sahaja perkara yang mereka lakukan. Pada mereka ianya satu keseronokan tapi kenapa dimarah pula?

Kasihan anak-anak yang semakin membesar. Hampir setiap perkara baru yang mereka lakukan dimarahi ibu. Peluk cium ibubapa semakin berkurangan. Apa puncanya?

Apakah ibu dan ayah sudah tidak sayangkan saya? Sudah tentu tidak. Tetapi kenapa saya selalu dimarahi? Apabila bermain dengan adik, adik ambil barang saya, saya yang kena marah. Adik tumpahkan air, saya yang kena lap. Adik sepahkan mainan, saya yang kena kemas.


Mungkin inilah antara keluhan anak-anak yang semakin membesar. Adakala tindakan ibubapa menyebabkan anak berfikir begitu. Setiap perkara yang ditegur perlu diberi penerangan kenapa tidak boleh. Anak-anak akan lebih memahami setiap situasi. Namun bukan sekali dua, anak-anak perlu diterangkan berkali-kali tentang sesuatu perkara untuk mengingatkan mereka.

Memarahi anak adalah perkara yang biasa bagi segelintir ibubapa, namun jangan sampai mencederakan emosi anak-anak. Ini memberi impak tindakan anak-anak apabila berhadapan situasi sama. Ia boleh terbawa-bawa sehingga anak dewasa sekiranya tidak diubah. 

Saya teringat pada satu hadis yang dipelajari semasa kursus mendorong pelajar menggunakan Teknik Nabi.
Anas bin Malek melaporkan, pada satu masa dia dan orang-orang lelaki lain sedang berada di dalam masjid bersama-sama Nabi Muhammad. Tiba-tiba masuklah seorang lelaki Arab dari kampung ke dalam masjid, lalu lelaki itu berdiri dan membuang air kecil.
Melihat kejadian itu, sahabat-sahabat Nabi yang ada di situ terus mengherdik lelaku tersebut. Sebaliknya Nabi Muhammad berkata,"Jangan buat dia terhenti kencingnya. Biarkan sahaja" Lalu semua yang ada membiarkan sahaja orang kampung itu menghabiskan kencingnya.
Selepas itu Nabi Muhammad memanggil lelaki itu dan berkata kepadanya, "Sesungguhnya di dalam masjid ini tidak boleh kencing atau membuang sedikit pun kotoran, sebaliknya hanya boleh berzikir mengingati Allah, bersembahyang, dan membaca Quran". Kemudian Nabi Muhammad menyuruh salah seorang yang ada pergi mengambil air setimba, lalu disirami kencing itu.
Hadis no 186 dalam kitab ringkasan Sahih Muslim. 

Sudah ada idea bagaimana untuk menerangkan kepada anak-anak apabila membawa mereka ke masjid?