Sunday, 17 August 2014

Memarahi VS Menerangkan

Anak kecil ditimang-timang, dipeluk dan dicium hampir setiap saat. Lihat sahaja muka bayi, mahu sahaja dipeluk cium. Hilang semua tekanan dan masalah apabila dapat peluk dan cium ahli syurga ini.

Apabila anak semakin besar, 4-5 tahun usianya sudah semakin lincah, pandai meneroka sekeliling. Bedak dijadikan salji, air dilantai dijadikan permainan meluncur. Apabila memegang pen, pensil mula melakar dan menghasilkan karya seni di kertas dan dinding rumah. Mencampurkan semua bahan yang ada di dapur untuk resepi rekaan terbaru dan dimasukkan dalam peti ais untuk lihat hasilnya.

Ini cuma sebahagian kecil penerokaan dan kaji selidik anak-anak. Semakin membesar semakin mencabar. ada sahaja perkara yang mereka lakukan. Pada mereka ianya satu keseronokan tapi kenapa dimarah pula?

Kasihan anak-anak yang semakin membesar. Hampir setiap perkara baru yang mereka lakukan dimarahi ibu. Peluk cium ibubapa semakin berkurangan. Apa puncanya?

Apakah ibu dan ayah sudah tidak sayangkan saya? Sudah tentu tidak. Tetapi kenapa saya selalu dimarahi? Apabila bermain dengan adik, adik ambil barang saya, saya yang kena marah. Adik tumpahkan air, saya yang kena lap. Ani sepahkan mainan, saya yang kena kemas.


Mungkin inilah antara keluhan anak-anak yang semakin membesar. Adakala tindakan ibubapa menyebabkan anak berfikir begitu. Setiap perkara yang ditegur perlu diberi penerangan kenapa tidak boleh. Anak-anak akan lebih memahami setiap situasi. Namun bukan sekali dua, anak-anak perlu diterangkan berkali-kali tentang sesuatu perkara untuk mengingatkan mereka.

Memarahi anak adalah perkara yang biasa bagi segelintir ibubapa, namun jangan sampai mencederakan emosi anak-anak. Ini memberi impak tindakan anak-anak apabila berhadapan situasi sama. Ia boleh terbawa-bawa sehingga anak dewasa sekiranya tidak diubah. 

Saya teringat pada satu hadis yang dipelajari semasa kursus mendorong pelajar menggunakan Teknik Nabi.
Anas bin Malek melaporkan, pada satu masa dia dan orang-orang lelaki lain sedang berada di dalam masjid bersama-sama Nabi Muhammad. Tiba-tiba masuklah seorang lelaki Arab dari kampung ke dalam masjid, lalu lelaki itu berdiri dan membuang air kecil.
Melihat kejadian itu, sahabat-sahabat Nabi yang ada di situ terus mengherdik lelaku tersebut. Sebaliknya Nabi Muhammad berkata,"Jangan buat dia terhenti kencingnya. Biarkan sahaja" Lalu semua yang ada membiarkan sahaja orang kampung itu menghabiskan kencingnya.
Selepas itu Nabi Muhammad memanggil lelaki itu dan berkata kepadanya, "Sesungguhnya di dalam masjid ini tidak boleh kencing atau membuang sedikit pun kotoran, sebaliknya hanya boleh berzikir mengingati Allah, bersembahyang, dan membaca Quran". Kemudian Nabi Muhammad menyuruh salah seorang yang ada pergi mengambil air setimba, lalu disirami kencing itu.
Hadis no 186 dalam kitab ringkasan Sahih Muslim. 

Sudah ada idea bagaimana untuk menerangkan kepada anak-anak apabila membawa mereka ke masjid?


Thursday, 14 August 2014

Rangsang Anak Minat Membaca

"Anak saya sudah 7 tahun tapi masih belum pandai membaca". Antara SMS yang saya terima daripada seorang ibu yang prihatin dengan perkembangan anak mereka. Ianya bermula selepas saya berkongsi bagaimana saya mengajar anak sulung saya dahulu membaca di hujung usia 6 tahun di blog ini.

Tujuan saya tiada lain ketika itu hanyalah mahu berkongsi bahawa dengan kesungguhan, semuanya tidak mustahil. Mengambil masa sepenuhnya semasa cuti sekolah hujung tahun 2011 mengajar anak yang akan memasuki sekolah rendah membaca. Jangan malu dan rasa tertekan sekiranya mengalami situasi serupa, dengan pelbagai bahan bantu yang ada di pasaran sekarang. Tinggal lagi mahu dengan tidak mahu.

Antara kesilapan yang pernah saya lakukan dalam mendidik anak, tidak menghiraukan perkembangan anak dan hanya menyerahkan tanggungjawab tersebut bulat-bulat kepada guru di tadika.

Apabila menerima aduan daripada ramai ibu di luar sana, saya tahu bahawa saya tidak berseorangan ketika itu. Saya pegang pada kata-kata, tiada istilah lewat apabila kita mahu mulakan. Just do it!

Saya kagum dengan ibu yang prihatin, meluangkan masa mengajar anak-anak di rumah apabila ada waktu terluang. Salah satu tanggungjawab yang mesti dipikul oleh ibu dan bapa adalah memberikan pendidikan awal. Mengajar anak membaca adalah sebahagian kecil daripada tugasan mendidik yang lebih besar seperti mengajar anak mengenal Allah dan Rasul, solat, membaca al-Quran, akhlak dan adab.


Mengajar anak membaca juga berlaku secara tidak langsung
Saya selalu sarankan kepada ibu-ibu yang bertanya supaya biasakan membaca buku di depan anak-anak. Jadikan membaca buku cerita kepada mereka satu rutin. Anak yang didedahkan dengan buku sejak kecil lebih gemar membaca dan mudah membaca. Mulakan dari bayi dengan memperkenalkan buku yang sesuai seperti buku jenis kain.


Perpustakaan mini di rumah
Sediakan ruangan buku-buku di rumah. Kajian menunjukkan, rumah yang memiliki sekurang-kurangnya 20 buah buku ilmiah, menghasilkan anak-anak yang mempunyai kecenderungan bagi memasuki universiti. Pembacaan yang dimulakan di rumah adalah titik awal menimbulkan minat sukakan buku dan ilmu di kalangan anak-anak.

Hari tanpa TV
Gantikan hari tanpa TV di rumah dengan aktiviti membaca. Secara tidak langsung menggalakkan minat membaca serta mengurangkan minat menonton.

Kurangkan penggunaan Internet
Mengurangkan penggunaan Internet juga membantu anak gemar membaca. Penggunaan Internet perlu diawasi supaya anak tidak mengakses laman yang tidak sepatutnya. Hadkan masa anak-anak bagi tujuan ini.

Lawati perpustakaan awam berdekatan
Sesekali bawa anak ke perpustakaan awam. Terdapat banyak pilihan buku yang sesuai untuk anak-anak. Luangkan masa sebulan sekali menghabiskan masa dan melakukan aktiviti di sana.

InsyaaAllah sedikit usaha kita mampu mengubah persepsi anak-anak tentang buku dan ilmu.

Teks oleh Wan Rohani


Belajar Daripada Kehidupan


Saya ingin kongsikan satu puisi yang ditulis oleh Dorothy Law Nolte, Children Learn What They Live


  • Apabila anak banyak dikritik, mereka belajar mengutuk
  • Apabila anak banyak mengalami permusuhan, mereka belajar berseteru
  • Apabila anak banyak mengalami ketakutan, mereka belajar prihatin
  • Apabila anak banyak dikasihani, mereka belajar mengasihi diri sendiri
  • Apabila anak banyak dicemuh, mereka belajar menjadi pemalu
  • Apabila anak banyak mengalami perasaan cemburu, mereka belajar iri hati
  • Apabila anak banyak mengalami hal yang memalukan, mereka belajar berasa bersalah
  • Apabila anak banyak diberikan dorongan, mereka belajar mempercayai diri
  • Apabila anak menikmati toleransi, mereka belajar sabar
  • Apabila anak banyak dipuji, mereka belajar menghargai
  • Apabila anak diterima dikasihi, mereka belajar mengasihi
  • Apabila anak diberikan perhatian, mereka belajar yakin diri
  • Apabila anak berasa diakui, mereka belajar mempunyai sasaran
  • Apabila anak diajar memberi, mereka belajar bermurah hati
  • Apabila anak dibiasakn jujur, mereka belajar mengatakan yang sebenarnya
  • Apabila anak merasakan keadilan, mereka belajar bersikap adil
  • Apabila anak banyak diberikan kemurahan dan pertimbangan, mereka belajar menghormati
  • Apabila anak berasa tenteram, mereka percaya diri dan orang sekeliling
  • Apabila anak merasakan persahabatan dalam kehidupan mereka, mereka belajar bahawa dunia ini adalah tempat yang menyenangkan

Anak-anak belajar daripada perkara yang mereka lihat, alami dan rasai.


Tuesday, 12 August 2014

Anak Saya Nakal Lah!


"Saya tidak tahu nak buat apa lagi"
"Anak saya ni nakal sangat, bila kita cakap dia buat tak tahu"

Keluh seorang ibu kepada saya semasa kami berjumpa di majlis rumah terbuka. Saya senyum sahaja, tidak tahu bagaimana untuk memulakan bicara.

Saya bukan pakar kanak-kanak, pengalaman masih sangat cetek. Namun saya percaya setiap anak yang dianugerahkan ada keistimewaan tersendiri. Ibubapa adalah pendidik dan pembimbing yang diamanahkan untuk menyemai serta membaja benih kebaikan dalam diri anak-anak.


Sebagai ibu yang bekerja di rumah, kesabaran selalu diuji. Adakala terikut juga dengan panahan syaitan dan nafsu amarah. Jadi perkongsian ini untuk ingatan diri sendiri, bagaimana menangani anak nakal.

1. Tiada istilah anak nakal
Tukar 'anak nakal' kepada 'anak kreatif' atau 'anak bijak' supaya sel-sel otak menterjemahkan yang sama. Setiap kali abang usik adik, tukar dari skrip "Jangan usik adik" kepada "Abang main dengan adik baik-baik". Setiap kali ibu menyebut, ia adalah doa. Ingat bahawa Allah akan mengikut apa yang kita sangka.


2. Jangan menjerit
Bercakap sambil menjerit sangat memalukan. Cukuplah menjerit, anak-anak juga punya harga diri. Mereka tidak nampak seperti berkecil hati tetapi memberi kesan dalam minda separa sedar. Apabila anak sudah biasa disuruh mendengar dengan jeritan bimbang anak tidak akan mendengar dengan cara lembut.

3. Beri perhatian
Adakala anak bertindak keterlaluan hanya untuk menagih perhatian daripada ibubapa. Apabila pulang ke rumah, berilah masa kepada anak-anak. Dengar apa yang mereka beritahu, pandang wajah dan berikan perhatian kepada apa yang dicakapkan. Bertanya kepada mereka, cakna apa yang berlaku. Teladani Rasulullah yang berpaling seluruh tubuh apabila bercakap. 
Tips mengendalikan anak yang sukar untuk mengikut arahan, duduk biar level kita dan anak sama dengan kata lain rendahkan badan, pegang muka dan pandang mata anak. Biar mata bertentang mata pada aras yang sama. Cakap dengan nada yang perlahan dan jelas. 
4. Puji mereka
Berilah perhatian kepada kelakuan baik anak. Puji serta merta. Apabila melihat abang ambilkan mainan adik yang jatuh, usah tunggu terus puji, "Ibu kagum abang tolong ambilkan mainan adik yang jatuh. Abang memang abang yang baik, ibu suka". 
Jangan perli dengan berkata, "Amboi baik sangatlah abang tu!" atau pujian yang bercampur dengan kenyataan negatif seperti ini, "Nanti lepas ambil mainan, usik adik pula".

Doa yang boleh diamalkan

5. Doakan anak-anak
Sentiasa doakan anak-anak apabila teringat. Bukan hanya selepas solat. Mohon Allah dorongkan kita menjadi ibubapa dan kawan terbaik untuk anak-anak. Moga anak-anak sentiasa lembut hati dan dijauhkan dari kebatilan yang berada di sekeliling mereka.

6. Tidurkan anak-anak
Lazimnya anak-anak suka tidur berteman. Ambil masa berkualiti ini untuk bercakap dengan anak-anak, selami hati mereka. Bercerita kisah teladan atau kisah kita masa kecil dahulu sebagai pengajaran buat mereka. Bacakan Al-Fatihah, Selawat, An-Nasyrah dan Surah Thoha 1-5 ke ubun-ubun anak semasa mereka tidur.

7. Sediakan makanan yang baik
Makanan yang diambil sedikit sebanyak memberi kesan. Kurangkan pengambilan gula atau coklat sekiranya anak kita sedia aktif. Berikan makanan yang baik daripada air tangan sendiri. Sesekali suapkan anak-anak makan.

8. Bacakan Al-Quran dan Hadis di rumah
Hadis adalah kata-kata Rasulullah yang penuh hikmah. Membacanya boleh melembutkan hati.

Berilah perhatian dan kasih sayang kepada anak, jika kasih sayang itu adalah ubat, maka ubat ini adalah yang terbaik untuk menyembuhkan segala penyakit yang ada

Apakah kita banyak senyum atau masam di depan anak-anak? Renungkan.

Mohon kongsikan tips yang lain di ruangan komen di bawah. InsyaaAllah semoga membantu dan berjumpa lagi.

Teks oleh Wan Rohani



Sunday, 10 August 2014

Terima Kasih Allah

Teks: Wan Rohani

Bismillah

Salah satu cara untuk mengajar diri bersyukur adalah dengan sentiasa mengucapkan terima kasih. Terima kasih Allah. Ungkapan yang biasa ini payah juga terlantun dari bibir jika tidak dibiasakan.

Terima kasih Allah aku masih bernafas hari ini
Terima kasih Allah Engkau berikan aku kesihatan yang baik
Terima kasih Allah suamiku masih ada, sihat sejahtera
Terima kasih Allah anak-anak masih ada disampingku setiap hari

Apabila menyebut ungkapan terima kasih setiap kali bangun pagi, hati lebih tenang. Kasih sayang kepada pasangan dan anak-anak semakin bertambah. Baru semalam saya mendapat khabar sedih seorang kawan sekolah saya kehilangan anak lelaki beliau buat kali kedua. Jadi amatlah tidak wajar sekiranya saya tidak bersyukur dengan kurniaan 3 anak lelaki yang sihat dan comel.


Kami mahu anak-anak sentiasa berterima kasih dengan apa yang ada. Berterima kasih tandanya bersyukur dan tidak mengeluh dengan yang belum ada. 

Apabila kami makan makanan yang istimewa, seusai makan kami akan sama-sama kata, "Terima kasih Allah, terima kasih ibu sebab masak" jika makan di rumah. "Terima kasih Allah, terima abah sebab belanja" bila makan di luar. 

Kadang kami silap. Berterima kasih bukan hanya apabila mendapat barang baru, makan makanan yang istimewa, mendapat duit lebih. Berterima kasih dengan apa yang ada, juga dengan yang belum ada.

Anak-anak banyak belajar dari kita sendiri sebagai ibubapa. Saya percaya ibubapa yang sentiasa mengucapkan terima kasih kepada anak-anak, lebih mudah diteladani.

Semalam saya menulis dua cerita dalam buku nota untuk entri hari ini, tapi entah kenapa bila memegang keyboard tajuk ini pula yang keluar. InsyaaAllah untuk entri akan datang.

Mohon undur diri, InsyaaAllah berjumpa lagi.