Sunday, 10 August 2014

Terima Kasih Allah

Teks: Wan Rohani

Bismillah

Salah satu cara untuk mengajar diri bersyukur adalah dengan sentiasa mengucapkan terima kasih. Terima kasih Allah. Ungkapan yang biasa ini payah juga terlantun dari bibir jika tidak dibiasakan.

Terima kasih Allah aku masih bernafas hari ini
Terima kasih Allah Engkau berikan aku kesihatan yang baik
Terima kasih Allah suamiku masih ada, sihat sejahtera
Terima kasih Allah anak-anak masih ada disampingku setiap hari

Apabila menyebut ungkapan terima kasih setiap kali bangun pagi, hati lebih tenang. Kasih sayang kepada pasangan dan anak-anak semakin bertambah. Baru semalam saya mendapat khabar sedih seorang kawan sekolah saya kehilangan anak lelaki beliau buat kali kedua. Jadi amatlah tidak wajar sekiranya saya tidak bersyukur dengan kurniaan 3 anak lelaki yang sihat dan comel.


Kami mahu anak-anak sentiasa berterima kasih dengan apa yang ada. Berterima kasih tandanya bersyukur dan tidak mengeluh dengan yang belum ada. 

Apabila kami makan makanan yang istimewa, seusai makan kami akan sama-sama kata, "Terima kasih Allah, terima kasih ibu sebab masak" jika makan di rumah. "Terima kasih Allah, terima abah sebab belanja" bila makan di luar. 

Kadang kami silap. Berterima kasih bukan hanya apabila mendapat barang baru, makan makanan yang istimewa, mendapat duit lebih. Berterima kasih dengan apa yang ada, juga dengan yang belum ada.

Anak-anak banyak belajar dari kita sendiri sebagai ibubapa. Saya percaya ibubapa yang sentiasa mengucapkan terima kasih kepada anak-anak, lebih mudah diteladani.

Semalam saya menulis dua cerita dalam buku nota untuk entri hari ini, tapi entah kenapa bila memegang keyboard tajuk ini pula yang keluar. InsyaaAllah untuk entri akan datang.

Mohon undur diri, InsyaaAllah berjumpa lagi.


Friday, 8 August 2014

Menyantuni Anak-Anak


Teks: Wan Rohani

Bismillah

Saya teringat satu buku yang pernah dibaca, Aisyah: Keanggunan Sejati. Tertarik dengan buku pink ini kerana Aisyah adalah isteri yang lebih dikasihi Rasulullah berbanding isteri yang lain. Semasa di hujung hayat baginda sentiasa bertanya bilakan giliran di rumah Aisyah, menunjukkan betapa cintanya Rasulullah sentiasa mahu berdamping dengan Aisyah. Beruntungnya kita jika menjadi isteri yang sentiasa dicintai.


Dalam buku tersebut terselit satu kisah yang diceritakan oleh Aisyah tentang Fatimah anakanda Rasulullah.
Aisyah menyatakan, "Tiada seorang pun yang lebih mirip Nabi Muhammad selain Fatimah binti Rasulullah dalam perkara berkaitan sifat, sikap, dan tingkah laku semasa duduk ataupun berdiri. Apabila Fatimah datang kepada Nabi Muhammad, baginda akan berdiri dan menyambutnya, menciumnya lalu mendudukkannya di tempat baginda duduk. Apabila Nabi Muhammad datang kepada Fatimah, beliau akan berdiri menyambut ayahnya, menciumnya, lalu mendudukkan baginda di tempat beliau duduk tadi." Hadis dicatat oleh Tarmizi, Hakim dan Ibnu Hibban.

Lihat betapa baginda Rasulullah menyantuni anakanda Fatimah. Menunjukkan penghormatan yang sangat tinggi di antara anak dan bapa. Bagaimana baginda menyantuni Fatimah, begitu juga Fatimah menyantuni baginda Rasulullah.

Maka benarlah seperti yang kita semua maklum bahawa anak mengikut seperti apa yang dilihat. Apa yang dilihat dan didengar seperti pita rakaman yang melekat di minda bawah sedar anak.
Aisyah berkata, "Pada suatu hari, kami para isteri sedang berkumpul bersama kekasih Allah. Tiada seorang pun yang tidak hadir. Pada masa itu Fatimah datang. Beliau berjalan dengan cara jalan yang sama, saling tidak tumpah seperti cara jalan Nabi Muhammad. Semasa beliau melihat Fatimah, beliau segera menyambutnya dan berkata, "Selamat datang, anakku." Beliau mendudukkan Fatimah di sebelah kanan ataupun kirinya. Kemudian, beliau membisikkan sesuatu kepada Fatimah, lalu Fatimah menangis dan sedih. Apabila melihat Fatimah menangis, beliau kembali membisikkan sesuatu kepadanya. Tiba-tiba Fatimah tertawa.

Saya bertanya kepada Fatimah, Kekasih Allah hanya berbisik kepadamu dan tidak kepada isteri yang lain, lalu kamu menangis? Selepas Nabi Muhammad pergi, saya bertanya kepada Fatimah, "Apakah yang pesuruh Allah bisikkan kepadamu?" Fatimah menjawab, saya tidak boleh ,membuka rahsianya.

Selepas kewafatan Nabi Muhammad, saya bertanya kepada Fatimah sekali lagi, "Kamu perlu beritahu saya apa yang dibisikkan pesuruh Allah pada masa itu." Fatimah menjawab, "Baiklah, Saya boleh beritahumu sekarang. Kali pertama beliau berbisik, beliau berkata malaikat Jibrail selalunya datang sekali ataupun dua kali setahun menyemak bacaan Qurannya. Tetapi tahun ini ia datang dua kali. Pesuruh Allah mengagak beliau akan dipanggil mengadap Allah tidak lama lagi. Beliau berkata, 'Taatlah kepada perintah Allah dan bersabarlah. Saya adalah penghulu terbaik buatmu.' Pada masa itulah saya menangis seperti yang kamu lihat pada masa itu. melihatkan tangisanku, Nabi Muhammad kembali berbisik kepadaku. Beliau berkata, 'Wahai Fatimah, sukakah kamu menjadi ketua para wanita yang baik Islamnya di kalangan umatku?' lalu saya tertawa sebagaimana yang kamu lihat." Kisah ini dicatat oleh Bukhari, Muslim, Tarmizi dan Ibnu Majah.

Tidak mampu menjadi ibubapa sebaik baginda, namun itulah contoh teladan sepanjang zaman. Lihat bagaimana Rasulullah menceritakan hal baginda kepada Fatimah, kemudian menggembirakan hati Fatimah yang sedih.

InsyaaAllah berjumpa lagi.

Thursday, 7 August 2014

Selesaikan Hutang Kad Kredit

Bismillah

Sejak semalam saya terfikir untuk tulis tentang hutang. Pada mulanya mahu tangguhkan dulu tajuk yang serius, mahu tulis yang santai-santai sahaja dulu. Namun bila difikirkan balik, pengurusan kewangan dan hutang ini menjadi topik penting yang tidak boleh diambil mudah. Apalagi sekiranya tuan dan puan berhajat untuk bekerja sendiri, memulakan perniagaan atau bekerja di rumah.

Hutang kad kredit sekiranya tidak diurus dengan baik boleh mengheret kita kepada hutang sampai tua. Keazaman untuk selesaikan semua hutang mesti kuat. Contohnya mahu bereskan semua hutang dalam tempoh masa tertentu. Ilmu tentang pengurusan kewangan perlu dicari dan dipelajari. 

Saya pasti ramai di luar sana yang mahu melangsaikan segala hutang dengan segera tapi tidak tahu bagaimana cara. Mahukan tuan dan puan sekiranya saya memperkenalkan satu ebook yang memberikan 12 teknik cara menyelesaikan hutang kad kredit?

InsyaaAllah hutang kita boleh selesai tanpa perlu bayar semua hutang itu, atau guna duit orang lain untuk membayarnya.


Klik sahaja gambar ebook untuk baca lebih lanjut.



Ebook ini ditulis oleh sifu kewangan saya Tuan Shamsuddin Kadir. Tuan dan puan boleh ikuti beliau di facebook atau layari www.ShamsuddinKadir.com

Banyak tips dan ilmu berguna yang selalu beliau kongsikan.

Sekian dulu, InsyaaAllah bertemu lagi.

Tuesday, 5 August 2014

Teknik Memuji Berkesan

Manusia memang mudah nampak keburukan dari kebaikan yang ditunjukkan seseorang. Ibubapa lebih banyak menegur, memarahi dan menasihati kesilapan anak-anak berbanding memuji kebaikan yang mereka lakukan. Suami isteri boleh bermasam muka kerana sedikit kesilapan, hingga terlupa pada beribu kebaikan yang dicurahkan selama ini.



Saya teringat kata-kata Prof Dr. Muhaya, sekiranya kita selalu nampak keburukan orang lain, bermakna dalam diri kita penuh sifat negatif. Sekiranya kita hanya nampak kebaikan orang lain, dalam diri subur dengan sifat positif. Fikirkan kita manusia yang mana?

Jika mahu lahirkan insan cemerlang, tidak kira anak, rakan mahupun pekerja maka perlu suburkan kebaikan dalam diri mereka. Salah satu cara nak suburkan kebaikan adalah dengan memuji supaya mereka merasa seronok dan mengulangi kebaikan tersebut. Memarahi seseorang tidak perlukan kemahiran, tapi untuk memuji perlu kemahiran. Bagaimana cara memuji yang meninggalkan kesan kepada anak dan membuatkan mereka mengulangi perlakuan itu, mengulangi perlakuan itu, mengulangi perlakuan itu!


Segerakan Pujian
- Segera memuji semasa kebaikan itu dilakukan. Apabila melihat anak bersusah payah memegang penyapu dan menguis nasi yang diteraburkan mereka sendiri "Ha... macam ni lah anak ibu, suka tolong ibu kemas, senang kerja ibu bila hakim selalu tolong ibu macam ni"

Puji bila ada Orang Lain
- Pujilah abang di depan adik, pujilah suami di depan anak-anak kesannya lebih besar berbanding pujian seorang diri. Bangga bila ada yang tahu kebaikan yang dilakukannya.

Puji dengan Ikhlas
- Anak kecil pun dapat merasakan ini, keikhlasan dalam memuji. Puji dengan sepenuh hati bukan sindiran, lebih terkesan jika ibu puji anak dengan memegang kepala anak atau menepuk bahu, mencium dahi dan sebagainya.

Puji secara Specifik
- Pujian secara spesifik dan bukannya umum. Misalnya jika anak menunjukkan lukisan yang dihasilkan tidak cukup dengan hanya berkata "Wah, cantiknya lukisan adik!" Tetapi nyatakan lebih terperinci "Wah, cantiknya lukisan adik, pandai adik warnakan pokok dengan warna hijau dan rumah dengan warna kelabu"

Tidak disulami Kata-kata Negatif
- Jika hendak memuji, puji sahajalah tidak perlu dimasukkan yang negatif
"Wah, rajinnya anak ibu kemas meja, jangan harini jer, esok buat lagi yer"

Menggunakan Orang Ke-3
- Ayah berkata kepada anaknya "Semalam ibu ada cakap yang kamu sudah berubah sejak balik dari kursus haritu, solat 5 waktu pun terjaga, ibu dan ayah gembira sangat"


"Praise your child openly, reprehend them secretly" - W.Cecil

InsyaaAllah berjumpa lagi.

Monday, 4 August 2014

Anak Yang Baik Adalah Anugerah

Bismillah

Seminggu kami pulang ke kampung meraikan Hari Raya bersama keluarga tercinta. Seminggu masih belum mencukupi untuk melawat semua saudara yang ada. Terasa cepat masa berlalu, belum puas berada di desa nan permai.

Perjalanan balik lebih membosankan berbanding perjalanan pulang ke kampung. Ikutkan hati mahu sahaja lama-lama di kampung. Apakan daya tuntutan kerja dan sekolah anak perlu diutamakan.

Biasanya dalam perjalanan ke mana-mana, ada sahaja perkara yang kami bincangkan bersama. Pengisian masa supaya perjalanan terisi dengan perkara yang berfaedah, bertukar pendapat, memahami dan menyelami hati pasangan. Antara waktu berkualiti kami berdua adalah semasa dalam perjalanan, boleh berbual bersama. Tiada gangguan gajet apabila suami memandu. Tiada bunyi bising apabila sistem audio kereta kami tidak digunakan.

Banyak perkara yang mengajar kami erti syukur. Anak-anak dan kehidupan. Bersyukur Allah kurniakan kami anak-anak yang sihat dan baik. Di kala ada ibubapa lain pening kepala memikirkan masalah anak mereka. Allah kurniakan kami anak yang baik bukan kerana kami pandai didik anak tetapi kerana kurniaan rezeki rahmat Allah kepada kami. Sama seperti hidayah yang Allah kurniakan kepada kita semua.

Allah tidak beri kita kemewahan yang melimpah tetapi kecukupan yang tidak perlu kita meminta-minta. Betapa banyaknya nikmat dan rezeki yang Allah beri, cuma kita yang tidak bersyukur.

Jika kita payah bersyukur dengan kurniaan yang sedikit, apakah kita akan bersyukur dengan yang banyak?



Sesungguhnya Allah lebih tahu.

Kekal positif, kekal proaktif.