Wednesday 20 January 2016

Peranan Di Rumah Menjadikan Anak Seorang Yang Meringankan Beban Orang Lain

Apabila malam, badan mula lesu, terasa mahu baring sahaja. Apakan daya kadangkala anak kecil perlukan perhatian.

Alangkah beruntungnya apabila anak kecil merengek, anak yang lebih besar menawarkan diri untuk membantu.

"Ammar menangis ibu"
"Ammar sudah mengantuk tu, dia hendak susu"
"Biar Aiesyah buatkan susu untuk Ammar"

Aiesyah ke dapur, menyiapkan susu adik Ammar seperti biasa. Sudah hafal sukatan air panas, susu dan air kosong. Selepas itu, disuakan susu kepada adik sambil membaringkan adik di tempat tidurnya. 

Pernah juga sebelum ini, ketika sedang solat, Aiesyah mandikan adiknya yang berusia 1 tahun 7 bulan itu. Usai solat ibu bertanya, "Aiesyah mandikan baby Ammar?"

"Ya, tadi Ammar berak sampai bocor kena seluar, Aiesyah mandikan terus."
"Aiesyah selalu mudahkan urusan ibu, Allah akan sentiasa mudahkan urusan Aiesyah"

Aiesyah senyum menampakkan kedua lesung pipitnya.

Sebagai ibubapa, kita bersyukur sekiranya anak banyak membantu urusan di rumah. 

Apabila anak-anak kecil diberikan peranan dan tanggungjawab, mereka belajar menjadi orang yang berdikari, bertanggungjawab dan meringankan beban orang lain.

Anak yang diberi tugas-tugas kecil semasa mereka kecil lebih bertanggungjawab menjalankan tugas yang lebih besar apabila mereka semakin membesar.

Anak yang usianya baru 5 atau 6 tahun sudah boleh menjaga adik yang berusia setahun.
Mereka boleh menyuap adik makan, bermain dengan adik, lap meja, sapu sampah, buang sampah, bancuh air dan sebagainya.

Semakin membesar, semakin mencabar tugasan yang perlu mereka sempurnakan.

Anak yang berusia  8 tahun sudah boleh mandikan adik, bancuhkan susu untuk adik, pakaikan adik lampin, kemaskan bilik, basuh bilik air dan sebagainya.

Sejak hari pertama persekolahan, anak-anak melihat jadual dan menyusun buku mereka sendiri. Kami cuma pantau sahaja apa yang perlu. Jujurnya saya sendiri tidak tahu bagaimana untuk melihat jadual harian mereka lengkap dengan jadual matapelajaran dan jadual bawaan buku. Anak yang usianya belum lagi mencecah 9 tahun lebih pakar bab ini. Banyak kali kami perhatikan kakak membantu adik siapkan jadual sekolah.


Pada sesetengah orang, ianya tiada apa-apa, namun pada saya, perbuatan kecil itu banyak manfaatnya.

Anak membantu orang lain dengan sukarela tanpa perlu diminta atau disuruh-suruh.

Sungguh saya lihat, anak-anak yang diberi tanggungjawab sejak kecil bukan sahaja menjadi anak yang berdikari, mereka juga membesar menjadi insan yang suka membantu meringankan beban orang lain.


Monday 18 January 2016

Bacakan Buku Cerita : Cara Ajar Anak Membaca

Sebelum ini di dalam entri ini, saya ada kongsikan tentang set buku membaca yang saya gunakan untuk anak saya yang sulung (2011) sudah 5 tahun lepas. Anak sulung saya sudah berusia 11 tahun sekarang.

Mengajar membaca perlu dipelbagaikan mengikut kesesuaian anak. Cara setiap anak belajar berbeza. Saya tidak ajar membaca secara formal kepada anak kedua, walaupun begitu anak sudah boleh membaca pada usianya 5 tahun. Saya perhatikan anak kedua saya sangat gemar membaca buku walaupun ketika beliau masih kecil dan masih tidak pandai membaca.

Ya saya gemar membelikan buku cerita kepada anak-anak ketika itu selepas anak sulung saya sudah pandai membaca. Saya silap, sepatutnya saya perkenalkan buku-buku kepada anak sulung saya lebih awal.

Saya perhatikan anak kedua saya pandai membaca selepas melihat blok-blok tulisan. Ini berlaku ketika saya membacakan buku cerita kepadanya. Anak akan minta saya ulang beberapa kali ayat dan mula membunyikan beberapa sukukata yang beliau ingat.

Walaupun anak kedua saya ini mempunyai isu dengan rutin sekolahnya. Semasa usianya 5 tahun, dia hanya sempat ke sekolah 4/5 bulan sahaja. Selebihnya anak di rumah, waktu itu saya aktif menjalankan perniagaan di dalam talian di rumah. Semasa usianya 6 tahun, beliau masih dikira sebagai anak yang mendapat tempat teratas dari sudut membaca dan menjawab soalan.

Jadi jangan sesekali memperlekehkan kemampuan anak. Belikan buku cerita dan bacakan kepada anak-anak walaupun anak masih belum boleh membaca. Jadikan ia sebagai rutin.

Untuk anak yang sudah pandai membaca dan mahu galakkan mereka suka membaca, caranya berbeza. Saya akan kongsikan di dalam entri yang lain.


Sumber google ini