Thursday 27 August 2015

Mendorong Pelajar Solat Tanpa Menyuruh Mereka Solat

Pelik. Bagaimana mendorong pelajar solat tanpa menyuruh mereka solat?

Ini adalah pengalaman saya sendiri. Kelas mengaji saya berlangsung setiap malam Isnin hingga Khamis setiap minggu. Pada malam Isnin lepas saya tergerak hati untuk tanyakan pelajar, "Sudah solat Maghrib ke semua ni?" (Ini bukan menggunakan Teknik Nabi)

Semua pelajar diam, ada beberapa pelajar yang menjawab tak dengan nada suara yang perlahan dan tersipu-sipu. "Oh patut lah sampai awal" (Ini juga bukan skrip Teknik Nabi). Walaupun saya terkejut dengan jawapan pelajar saya yang terdiri daripada kanak-kanak 5 - 12 tahun. 12 tahun itu sudah besar, ada beberapa orang sudah pun baligh.

Selepas semua duduk dan membaca Al-Fatihah, saya bertanya," Siapakah di sini yang Solat Maghrib sebelum datang kelas mengaji?" semua diam. Kemudian saya bertanya lagi,"Siapakah di sini yang susun selipar sebelum masuk?" hanya dua orang yang berkata saya. Memang sengaja saya bertanyakan soalan ini kerana saya perhatikan kasut dan selipar bergelimpangan seperti dibuka oleh orang yang dikejar hantu.

Saya diam memerhatikan gelagat pelajar-pelajar ini, Kemudian saya bertanya lagi,"Siapakah di sini yang bersalam dengan kedua ibubapa sebelum datang?" Hanya dua atau tiga orang sahaja yang mengangkat tangan dan berkata saya. Saya diam memerhati tanpa menunjukkan memek muka bersetuju atau tidak setuju.


Selepas semua diam saya berkata,"Sesungguhnya sesiapa yang melakukan perbuatan yang Ustazah sebutkan tadi, sudah tentu mendapat ganjaran pahala kebaikan."

Air muka kanak-kanak mula berubah, mereka tersenyum. Ada yang berkata, esok saya tak akan lupa untuk solat. Tiba-tiba bangun seorang pelajar 7 tahun keluar. Hairan. Rupa-rupanya beliau menyusun semua selipar yang berserakan di luar rumah. Tanpa menyuruh, anak ini terdorong untuk melakukan kebaikan.

Soalan yang sama saya tanya pada hari Selasa dan Hari Rabu. Apa yang mengejutkan saya, pada hari Rabu, sudah ramai yang mengangkat tangan selepas soalan yang sama saya utarakan. 

Sekiranya tuan puan pernah mengikuti Bengkel Teknik Nabi, ini adalah teknik menggunakan skrip bertanya soalan akhlak.


Kredit gambar www.pinterest.com

Tuesday 11 August 2015

Ibu Jangan Mati Dahulu

Teks oleh Wan Rohani Wan Ismail


Semasa kami menikmati juadah petang, Aiesyah datang memeluk tangan kanan saya seraya berkata, "Ibu jangan mati dahulu, Aiesyah nak ibu muda selalu, jangan tua-tua."

Saya terkesima sekejap dengan kata-kata anak 8 tahun itu. Saya membalas,"Aiesyah, tidak semestinya orang yang tua mati dahulu. Ingat lagi semasa kita melihat kubur kanak-kanak 3 tahun."

Kemudian, Aiesyah mencelah,"Itu mesti kes kemalangan, kan ibu?"

"Ajal maut hanya Allah yang tentukan, hanya Allah yang tahu bila dan bagaimana ajal kita nanti."

Aiesyah dan Umar serentak bertanya,"Ajal itu apa ibu?"

Sengaja saya sebutkan perkataan yang jarang-jarang anak dengar supaya mereka belajar sesuatu yang baru.

"Ajal itu apabila nyawa sudah bercerai dengan jasad. Apabila nyawa ditarik keluar, maka matilah kita. Siapakah malaikat yang kerjanya mencabut nyawa?"

"Malaikat Izrail mencabut nyawa." Poster senarai malaikat memang ada di sebelah meja makan kami.

Anak-anak ada juga tanyakan tentang hari kebangkitan, namun saya simpan dahulu entri tersebut di waktu yang lain, In shaa Allah.




Sunday 9 August 2015

Berbahasa Yang Betul Menghormati Orang Lain

Teks: Wan Rohani Wan Ismail

Minggu lepas saya ke bengkel kereta untuk menukar 'break pad' kereta comel saya yang sudah berbunyi-bunyi.

Saya: Tuan, brek kereta saya sudah berbunyi
Tuan bengkel: Brek sudah habis (katanya sambil melihat tayar kereta saya). Duduk dulu, nanti kita tukar.
Saya: Tuan, berapa ringgit tukar brek?
(Lurusnya saya bertanya, memandangkan saya jarang bawa kereta ke bengkel. Selalunya suami yang uruskan.)
Tuan bengkel: RM70 semua sekali.

Sesekali saya memerhatikan pekerja tuan bengkel menguruskan kereta saya. Mahu juga saya melihat bagaimana keadaan brek yang sudah habis itu.

Apabila tuan bengkel melihat saya menjeling ke arah kereta, beliau berkata. "Kami beli barang sekejap lagi boleh  terus pasang. Makan karipap atas meja tu" 

Hampir 45 minit jumlah masa saya di bengkel melayan dua anak kecil, Tuan bengkel datang dan menunjukkan ibujari, tanda kereta sudah siap.

Saya membuka dompet dan menghulurkan wang RM70, tuan bengkel itu menghulurkan RM5 sambil berkata,"RM65 sahaja"


Saya mengambil nota hijau itu dengan senyuman, untung tuan kedai baik, pemurah pula. Inilah untungnya menggunakan bahasa yang baik, orang suka. Mudah sahaja diberikan diskaun tanpa perlu meminta-minta.